Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 7, 2009

Rekoleksi Musim Puasa Kerasulan Wanita Katolik


REKOLEKSI MUSIM PUASA – KERASULAN WANITA KATOLIK
KATEDRAL ST MARY SANDAKAN


Kerasulan Wanita Katolik Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah mengadakan rekoleksi musim puasa selama satu hari pada 4hb April 2009 bertempat di Pusat Kateketikal Fr. Mulders. Rekoleksi ini disertai oleh 30 orang ahli Kerasulan Wanita dari Katedral St. Mary, Gereja St. Mark Batu 12 Jalan Utara, Gereja St. Petrus Sungai Manila dan Gereja St. Paul Ulu Dusun. Rekoleksi bermula pada jam 7:00 pagi dengan pendaftaran para peserta yang hadir.

Sesi dimulakan pada jam 8:00 pagi dengan Doa Pagi dan Doa Rosari yang dipimpin oleh Sister Appolonia. Seterusnya Sister Appolonia memulakan ceramah dengan satu pertanyaan “Apakah yang kamu harap untuk dapat dari rekoleksi ini?” Dengan pertanyaan ini, dapat membuka minda dan hati para peserta untuk lebih fokus dalam rekoleksi ini. Sister juga mengingatkan bahawa rekoleksi adalah masa untuk hening, lebih mendengarkan suara Tuhan dan berkomunikasi dengan Tuhan secara peribadi.

Bersesuaian dengan musim puasa ini, Sister memperkongsikan beberapa cara berpuasa yang lebih bermakna. ‘Puasa’ bukan bererti tidak makan dan minum sahaja, tetapi dalam konteks yang lebih menjurus kepada kesedaran dan disiplin kita dalam pembentukan peribadi yang lebih kristiani. Kita haruslah berpuasa dari marah dan dendam, kita kena berpuasa dari menghakimi orang lain. Kita juga harus berpuasa dari suka bersungut-sungut, berpuasa dari merasa putus asa dan kecewa, berpuasa dari suka mengumpat, berpuasa dari kebiasaan-kebiasaan yang negatif yang tidak memberi manfaat. Dengan kesedaran seperti ini, kita dapat melihat kembali ke dalam diri kita, sejauh mana dan sebaik mana kita membentuk diri dan seterusnya iman kita dalam mengikuti ajaran-ajaran Kristus.

Dalam sesi seterusnya Sister Liliana memberi satu lagi kesedaran kepada para peserta bahawa untuk bertumbuh dan membentuk sesuai dengan kehendak Tuhan adalah sangat payah. Kita umpamakan diri kita sebagai sepohon pokok yang dicantas, tentulah sakit namun apabila ia mula bertumbuh dengan tunas yang baru sudah pasti nampak cantik. Oleh itu dengan kesedaran kita untuk mahu berubah dan mahu dibentuk menjadi peribadi yang berkenan di hati Tuhan, dimana pertobatan akan membawa kita lebih dekat dengan Tuhan. Menyedari bahawa Tuhan telah menciptakan kita dengan penuh Cintakasih dan sempurna. Namun seringkali kita merosakkan imej yang Tuhan ciptakan itu dengan mengambil jalan yang salah (berbuat dosa). Kita merosakkan rencana Tuhan dalam hidup kita dan dalam pelayanan kita. Kita seringkali tidak belajar untuk membina jambatan yang mampu menghubungkan sesama kita tetapi kita lebih suka membina dinding yang memisahkan di antara kalangan umat beriman. Seharusnya kita mesti bertumbuh dan berbuah. Dan pelayanan kita, mestilah berterusan dan tidak sekadar bermusim.

Sister Liiana juga mengajukan beberapa soalan untuk renungan peribadi. Untuk lebih menyelami makna Prapaska, Sister Liliana telah membimbing dalam sesi Doa dan Renungan Jalan Salib. Sebagai rumusan, Sister Appolonia mengambil petikan dari Gal. 5:14 yang menekankan bahawa ‘Hukum yang terutama adalah KASIH’. Sepantasnyalah kita menanamkan ‘Kasih’ itu dalam diri kita masing-masing dan mempraktikkannya dalam kehidupan dan pelayanan kita dalam gereja, kerana dalam Yohanes 14:15, Yesus menyatakan “jikalau engkau mengasihi Aku, turutilah perintah Ku”.

Rekoleksi pada hari itu diakhiri dengan perkongsian dari beberapa peserta. Rekoleksi ini juga telah memberi banyak kesedaran dan menambah pengetahuan para peserta dalam pembangunan rohani.

oleh Brenda De Guzman, Gereja St Paul Ulu Dusun

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent