Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 1, 2009

Misa Krisma 2009


Lazimnya, Misa Krisma diadakan sekali setahun di Katedral sesebuah Diosis pada pagi Khamis Suci di mana semua paderinya wajib hadir. Namun demikian, bagi Diosis Sandakan, misa tersebut dijalankan lebih awal iaitu pada 27hb Mac 2009 atas sebab-sebab pastoral serta juga pada waktu pagi hari tersebut Mesyuarat Para Paderi telah berlansung di Bilik Mesyuarat Diosis Sandakan. Apatah lagi pada hari sebelumnya pula, Sakramen Pertobatan secara sempena persediaan menyambut hari Paska telah mengambil tempat di Gereja St Joseph, Batu 2, Sandakan. Di samping itu, perayaan Misa Krisma ini dapat mengumpul umat beriman khususnya dari Paroki Katedral St Mary bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap paderi-paderi Diosis Sandakan.


Misa yang bertempat di Katedral St Mary itu dirayakan dalam gabungan Bahasa Inggeris, Melayu dan Cina. Sebuah lagu yang bertajuk Priestly People bersesuaian dengan orang kudus iaitu para paderi dinyanyikan sebagai pengiring upacara pembukaan. Semasa khutbahnya, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom menekankan bahawa pada masa kini pelayanan sebagai paderi sedang berhadapan dengan pelbagai krisis. Bapa Uskup mengatakan bahawa seseorang paderi memberi contoh sebenar kepada para umat Kristus dalam pelayanannya. Melihat kepada situasi era ini, bilangan paderi yang semakin berkurangan mengugat kekukuhan Gereja kita. Terangnya lagi, jika tiada paderi maka tidak akan ada Ekaristi, seterusnya tiada misi atau Gereja. Dengan demikian, kewujudan para paderi adalah amat penting bagi mengembangkan pelayanan paderi yang sememangnya menjadi tulang belakang bagi Gereja kita agar memastikan kita sentiasa hidup berlandaskan ajaran Kristian iaitu ajaran Kristus sendiri. Bapa Uskup juga ada mengatakan mengenai belia yang harus menanamkan sikap sentiasa terbuka untuk menerima panggilan Tuhan. Para ibubapa pula turut digesa untuk mempromosikan panggilan Tuhan kepada anak-anak mereka dan bukannya bersikap seperti segelintir ibubapa yang menghalang anak mereka daripada menjadi seorang pekerja di ladang Tuhan. Ini amat dikesali kerana mereka lebih memandang kepada pencapaian duniawi seperti berpendidikan tinggi, berjawatan tinggi dalam sesuatu pekerjaan ataupun mampu memiliki harta yang berlimpah ruah. Oleh itu, Bapa Uskup berharap pada masa akan datang mereka akan mengikis sikap sedemikian bagi kebaikan Gereja kita. Selain itu, Bapa Uskup juga menyentuh tentang proses pembentukan Majlis Pastoral Paroki (MPP) bagi semua paroki Diosis Sandakan yang sedang giat dijalankan. Beliau meluahkan rasa puas hatinya terhadap perjalanan proses tersebut. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para bakal ahli MPP yang sanggup mendedikasikan waktu, bakat dan kebendaan untuk memberi komitmen terhadap badan tersebut.

Setelah khutbah tersebut, enam orang paderi bersama Msgr. Nicholas Ong tampil ke hadapan bagi menjalani upacara memperbaharui janji-janji pelayanan sebagai paderi di hadapan Bapa Uskup. Dalam upacara ini juga para paderi telah menerima doa dan sokongan daripada para umat. Acara tersebut dapat meyakinkan para paderi dalam pelayanan mereka agar menjadi lebih tabah dan komited dalam perjalanan pelayanan mereka. Kemudian, upacara berikutnya ialah pemberkatan minyak Krisma. Selain minyak krisma, Bapa Uskup juga memberkati dua jenis minyak lain iaitu minyak untuk para katekumen dan minyak bagi orang sakit. Minyak suci krisma adalah untuk digunakan semasa sakramen pembaptisan, penguatan, imamat dan pemberkatan altar. Manakala, bagi dua minyak lain itu yang pertamanya adalah untuk para katekumen dewasa dan bayi dan yang kedua pula bagi pengurapan orang sakit.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent