Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 10, 2015

Seminar Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan

Oleh Lawrence Matusin, SOCCOM Telupid
Telupid : Santo Martin Telupid sekali lagi telah menjadi tuan rumah bagi Seminar Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan yang diadakan dari 24hb-26hb Julai baru-baru ini.
Seminar ini telah disertai oleh 147 orang peserta yang diwakili oleh empat paroki dalam Keuskupan Sandakan. Turut serta ialah 4 religious; Sr Appollonia fsic, Sr Slyvia fsic, Sr Martha fsic dan Sr Maria rgs, fasilitator utama seminar tersebut.
Hari pertama seminar, 24hb Julai, didahului dengan Misa Kudus dan seterusnya sesi dimulakan dengan suai kenal tetapi dengan cara yang berbeza dan menarik sekali. Selepas acara suai kenal berakhir setiap peserta yang mewakili paroki masing-masing diberikan masa untuk mengongsikan secara ringkas aktiviti yang telah mereka laksanakan di paroki masing-masing berserta dengan perancangan yang telah dibincangkan.
Hari kedua seminar, 25hb Julai, dimulakan dengan doa pagi. Selepas itu Sr Maria rgs memberi perkongsian tentang panggilan dan peranan KWK. Di antara isi ceramah, beliau menerangkan Kerasulan Wanita yang ada pada masa kini adalah pendorong kehidupan kekudusan untuk semua wanita. Dengan contoh kehidupan yang mereka tunjukkan akan menyebabkan orang lain mengenal akan cinta kasih Tuhan.
Pada sesi yang seterusnya, penceramah membawa semua peserta mengenali dan mendalami hati Yesus dan Maria yang boleh menjadi model yang baik buat wanita masa kini. “Tuhan berilah aku air itu” yang merupakan tema seminar tersebut membawa semua peserta berkongsi sesama sendiri tentang pengertian dan erti petikan ini di dalam kehidupan peribadi masing-masing.
Pada sesi berikutnya yang dijalankan pada waktu petang para peserta diberikan peluang untuk menunjukkan kreativiti mereka secara solo dan berkumpulan dengan mencipta sesuatu yang menarik hanya dengan menggunakan sehelai kain sarung. Hasil yang ditunjukkan amat menarik sekali kerana hasil ciptaan mereka secara langsung memberi simbol dan makna yang indah terutama dalam kehidupan dan pelayanan.
Sesi pada malam hari iaitu Malam Solidariti Wanita juga menarik kerana para peserta diberi peluang untuk merenung keperluaan peribadi masing-masing dan menggungkapkan permintaan peribadi tersebut di dalam kertas yang bercorakkan bunga dan diapung di atas air di dalam sebuah bekas.
Pada hari terakhir, 26hb Julai, Sr Maria rgs telah membawa peserta sekali lagi merenung perancangan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang. Perancangan tersebut agak berbeza dari perancangan sebelum ini kerana kebanykan daripadanya memberi focus kepada masalah wanita masa kini contohnya penindasan dan memperdagangkan kaum wanita.
Sesi penutup agak menyentuh hati peserta apabila Sr Maria rgs sendiri membasuh kaki beberapa peserta yang dipilih.
Secara keseluruhan seminar ini telah memberi impak yang positif di kalangan para peserta yang hadir. Adalah diharapkan seminar seperti ini akan dijalankan pada setiap tahun kerana seminar ini bukan saja memberi semangat kepada wanita yang baru melayani tetapi juga memberi kesegaran rohani dan juga kekuatan iman dalam melakukan tugas-tugas pelayanan. 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent