Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 13, 2015

Perayaan Hari Paroki St. Dominic Ke-63

Artikel oleh Mazdollyna Majalin Eborok
Gambar oleh Farnandes, Arnold dan Dominggus
Lahad Datu : Pesta Hari Paroki St Dominic, Lahad Datu yang ke-63 telah dirayakan pada Ahad 9hb Ogos 2015. Suasana Gereja St Dominic dan persekitarannya dihiasi berwarna-warni sesuai dengan perayaan hari penting bagi Paroki St. Dominic. 

Rt Rev Julius Dusin Gitom, Bapa Uskup, Keuskupan Sandakan telah merayakan Misa Kesyukuran Hari Paroki St. Dominic yang ke-63, bersama Rev Fr Simon Kontou, rektor Gereja St Dominic, Fr. Marcellinus Pongking, pembantu rektor dan Deacon Stanley William Matakim. Para umat yang memenuhi ruang dalam dan luar gereja yang sama-sama memainkan peranan dalam menjayakan perayaan Pesta Hari Paroki ini mencerminkan kesatuan yang erat sebagai satu komuniti yang utuh.

Pewartaan Injil dipetik dari Injil Yohanes 6 : 41- 51, di mana bacaan tersebut mengingatkan kita bahawa barangsiapa yang percaya akan Dia akan memperoleh hidup yang kekal kerana hanya Dialah roti kehidupan dunia. Bapa Uskup Julius menyarankan bahawa sebagai satu keluarga yang besar, dalam perjalanan iman kita, sudah pasti ada suka dukanya, ada yang membanggakan dan ada yang kurang menggembirakan. Oleh itu, inilah kesempatan kita untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan kekuatan demi mengolah langkah maju ke hadapan. Segalanya tentu dapat dicapai asalkan kita percayakan kepadaNya.

Pada akhir misa, sdra Patrick Chong, Pengerusi penganjur Hari St. Dominic turut diberikan kesempatan untuk memberikan sepatah dua kata. Beliau mengalu-alukan kehadiran semua umat khususnya Bapa Uskup Julius yang sudi meluangkan masa bersama umat St Dominic. Kehadiran Uskup Julius adalah satu perangsang bagi semua umat setempat.

Seterusnya, Rev Fr Simon Kontou selaku Rektor Paroki dalam ucapannya berkata bahawa beliau sangat berbesar hati atas penyertaan dan sokongan padu para umat yang datang dari jauh dan dekat. Beliau amat bangga dengan usahasama umat dalam persediaan dan persiapan perayaan Pesta Hari Paroki kali ini. 

Menurut Bapa Uskup pula dalam ucapan beliau, keunikan Keuskupan Sandakan adalah kepelbagaian kaum yang menjadi identiti kita. Namun bagaimanapun, ia tidak menghalang kita untuk berjalan bersama sebagai satu keluarga yang besar di dalam iman Yesus Kristus. Beliau turut percaya pembentukan komuniti-komuniti kecil seperti KKD merupakan salah satu intipati penting untuk gereja terus berkembang .
Selesai sahaja misa pada pagi tersebut, ia disusuli dengan acara pentas di astaka terbuka. Pelbagai persembahan, tarian dan nyanyian daripada para umat termasuk KKD dipersembahkan.  

Pengacara majlis kita yang ceria lagi humor iaitu Angelika Luna dan Arnoldus menghidupkan suasana majlis kita kali ini. Walaupun di bawah sinaran matahari yang terik, ia tidak mengahalang para umat dalam bergembira di hari yang penuh makna ini.  Berpenyertaan serta kerjasama para umat telah menjayakan acara tersebut.
Sebagai umat Kristus yang berasal dari pelbagai kaum di Keuskupan Sandakan menjadikan kita unik. Dalam pelayanan, adalah menjadi keutamaan kita untuk bersatu dalam menghidupi iman kepercayaan kita. Dalam perayaan Hari St Dominic kali ini, jelas bahawa para umat mampu menghidupi cinta kasih Yesus.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent