Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 7, 2014

Rabu Abu Di Gereja St. Mark, Sandakan

Pilis Malim


Sandakan: RABU, 5hb Mac, 2014, ratusan umat Katolik dari pelbagai keturunan telah membanjiri Gereja St. Mark untuk menunaikan kewajipan menghadiri perayaan Misa Kudus Hari Rabu Abu. Rabu Abu juga menandakan hari pertama masa Pra-Paska, yang menandai mulanya masa tobat 40 hari sebelum Hari Raya Paska.
Perayaan Misa Kudus Abu Rabu telah diselebran oleh Rev Fr. Sunny Chung. Bacaan pertama dari Yoel Bab 2 ayat 12 hingga 18, dengan intinya 'Koyakkanlah hatimu dan janganlah pakaianmu' diwartakan oleh Sdra Richard Majapun. Bacaan kedua dari 2 Korintus Bab 5 ayat 20 hingga Bab 6 ayat 2, 'Berilah dirimu didamaikan dengan Allah. Sesungguhnya hari ini merupakan hari penyelamatan' diwartakan oleh Sdra Benly Tuzan. Pewartaan Injil diambil dari Injil Matius Bab 6 ayat 1 hingga 6 dan ayat 16 hingga 18 dengan tema, 'Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan mengajar engkau'.
Rev. Fr. Sunny Chung
Richard Majapun
Benly Tuzan
Rev Fr Sunny di dalam homilinya, telah menjemput umat untuk melakukan tiga perkara yang wajib dalam setiap musim Pra-Paska iaitu pertama, puasa dan pantang, kedua, doa dan ketiga, derma dan melakukan kerja amal.
Barisan Pewarta dan Pelayan Komuni
Kumpulan Koir
Fr. Sunny mengulangi pesanan Yesus tentang hal memberi dan berpuasa ..... 'Apa yang tangan kiri buat harus tidak diketahui oleh tangan kananmu. Jadi bila kita berpuasa maka harus sentiasa ceria, kalau berdoa tidak harus menunjuk-nunjuk', katanya.
Pra paska adalah kesempatan bagi semua umat Katolik untuk turut serta dalam penderitaan dan pengorbanan Yesus iaitu berusaha menghidupi Ajaran Gereja dengan perjuangan membuang segala sikap atau tabiat keinginan-keinginan duniawi, hawa nafsu dan sebagainya yang negatif.
"Kita mengharungi kehidupan dalam perjalanan selama 40 hari ini kerana di penghujung musim Pra-Paska ini kita akan merayakan bagaimana Yesus sengsara, mati dan bangkit untuk kita."
Fr. Sunny seterusnya berkata bahawa penerimaan abu merupakan tanda pertobatan bahawa kita tiada kuasa di dalam kehidupan kita dan mengingatkan bahawa kita seumpama debu yang tiada harapan, yang kosong seperti debu. Ini memperlihatkan diri kita bahawa tanpa Tuhan kita kosong. Tetapi kerana cinta kasihNya, ia melayakkan kita menjadi anak-anakNya.
Fr. Sunny mengajak umat untuk melakukan perubahan diri semasa musim Pra-Paska untuk mahu bertaubat, menjadi anak-anak Allah yang benar-benar mengasihi Tuhan dan sesama. Seterusnya upacara penerimaan abu dijalankan. Upacara Misa Kudus selesai pada lewat jam 9.00 malam.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent