Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 21, 2014

Kempen Prapaska 2014 dilanjutkan ke Paroki St Martin, Telupid

Oleh DS/sj
TELUPID: Komisi Pembangunan Insan Keuskupan (KPIK) Sandakan meneruskan usaha untuk memberi kesedaran dan mendorong para umat bagi menghayati musim Prapaska 2014 dengan lebih mendalam dan bermakna. Kali ini, KPIK Sandakan telah berada di Paroki St Martin, Telupid selama tiga hari iaitu pada 7hb hingga 9hb Mac 2014 untuk tujuan tersebut.
Sr Maria Dipal, RGS (Pengerusi, KPIK Sandakan), Shirley Joseph (Setiausaha, KPIK Sandakan dengan kerjasama Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) St Martin, Telupid serta disokong oleh Paderi Paroki, Rev Fr Jasery Gabuk, telah menjalankan 2 sesi mengenai Kempen Prapaska 2014. Seramai lebih kurang 140 umat dari beberapa kawasan dan dari semua peringkat umur telah menghadiri sesi tersebut.
Berikut merupakan antara pengisian sesi itu:

  • Apakah yang membuat kita sebagai KRISTIAN?
  • Prapaska - Apakah perkataan pertama terlintas di fikiran anda?
  • Liturgi Prapaska membawa kepada Perayaan Misteri Paska
  • Masa Prapaska adalah satu proses untuk membuat pilihan ke arah JALAN PERTOBATAN
  • PESANAN PRAPASKA 2014 DARI BAPA SUCI FRANCISKUS (Apakah yang paling memberi kesan dan menyentuh hati anda?)
  • Memahami apakah perbezaan maksud antara HIDUP MELARAT dengan KEMISKINAN
  • KEMPEN PRAPASKA 2014 KEUSKUPAN SANDAKAN (Risalah dalam tiga bahasa: Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina)
  • Cadangan pelbagai aktiviti yang dapat dijalankan sepanjang Prapaska 2014 (40 hari)

Imbasan perjalanan sesi dalam bentuk gambar adalah seperti berikut:
HARI PERTAMA: (MALAM) JUMAAT, 7HB MAC 2014
TEMPAT: GEREJA ST MARTIN, TELUPID
PESERTA: PARA UMAT DARI KAWASAN BERDEKATAN GEREJA


Apabila Sr Maria bertanyakan tentang perkara yang menyentuh hati para hadirin selepas kertas edaran Apa itu Pembangunan Insan yang Integral, Tujuh Tema Penting Ajaran Sosial Gereja dan Pesanan Prapaska 2014 Bapa Suci Franciskus, berikut merupakan beberapa maklum balas daripada mereka:
  1. Ketidaksamarataan dalam mendapat peluang pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.
  2. Kekecewaan dalam sesuatu perkara membuat seseorang menjauhi Tuhan kerana berasa bahawa doa tidak dijawab atau berasa bahawa Tuhan tidak peduli.
  3. Ketagihan arak, dadah dan sebagainya oleh sesorang itu kadangkala berpunca daripada ahli keluarganya sendiri yang telah memberi contoh tidak baik.


Sebelum mengakhiri sesi Renungan Prapaska 2014, Sr Maria bertanya, "Apakah yang membuat sesi ini dapat membantu anda dalam Musim Prapaska?". Berikut merupakan rumusan bagi respon-respon yang diterima:
  1. Pesanan Prapaska 2014 oleh Bapa Suci yang menyeru semua umat Kristian khususnya Katolik serta para pemimpin di seluruh dunia untuk menyelami, menyedari serta merasai kemiskinan iman, sosial dan hak asasi yang dialami oleh mereka yang kurang bernasib baik. Maka, satu tindakan yang dapat dilakukan secara individu untuk merespon kepada Kempen Prapaska 2014 adalah dengan memberi derma ikhlas dan bantuan yang sewajarnya.
  2. Sebagai seorang belia dan anak dalam sesebuah keluarga, perlulah cuba menyahut seruan Bapa Suci seperti dalam pesanannya untuk menjangkau orang yang hidup dalam kemiskinan dari segi material dan rohani di mana tindakan ini perlulah bermula dari lingkungan keluarga sendiri terlebih dahulu.
  3. Setiap umat Katolik harus mengambil peranan untuk saling memberi peringatan, teguran atau nasihat serta bantuan terutamanya dalam Musim Prapaska ini agar dapat membuka jalan pertobatan kepada sesama di sekitar kita, yang memerlukan.
  4. Segala bahan-bahan yang dikongsikan dalam sesi ini dapat memberi panduan serta membantu umat Katolik secara individu dan dalam komuniti untuk mengisi hari-hari Musim Prapaska 2014 dengan lebih bererti.

HARI KEDUA: (MALAM) SABTU, 8HB MAC 2014
TEMPAT: KAPELA ST JOSEPH, LUMOU
PESERTA: PARA UMAT DARI KAWASAN BERDEKATAN KAPELA



Berikut adalah perkara-perkara yang menyentuh hati beberapa orang yang hadir ke sesi ini selepas mereka mendengar dan membaca Pesanan Prapaska 2014 Bapa Suci:
  1. Sesuatu masalah pasti ada sebab dan puncanya yang perlu diberi perhatian khusus dan diselidiki terlebih dahulu.
  2. Kerendahan hati Tuhan Yesus yang rela turun ke dunia untuk menjadi serupa dengan manusia, hidup susah serta kemiskinan agar manusia dapat 'mencontohi' Dia dengan bertobat dari segala dosa, perkara-perkara duniawi yang merugikan serta menyesatkan, agar manusia dapat hidup dalam kekudusan.
  3. Kasih Tuhan Yesus melebihi dan mengatasi segala jenis dosa yang dilakukan oleh manusia dengan rela sengsara dan wafat di kayu salib.
Berikut pula perkongsian akan perkara yang dapat membantu mereka menjalani Musim Prapaska 2014, iaitu:

  1. Sebagai individu dan umat Katolik, penyampaian sesi membantu kepada pertobatan peribadi dan mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
  2. Pengertian terhadap makna sebenar Prapaska dapat dicapai melalui sesi ini.   

Sr Maria memberi ruang untuk para keluarga yang hadir ke sesi tersebut untuk meluahkan penghargaan dan melakukan perdamaian dalam keluarga mereka.

Seperti di Paroki St Dominic, Lahad Datu, Perwakilan dari KPIK Sandakan berkesempatan untuk bertemu secara rasmi bersama KPIP Telupid melalui satu mesyuarat khas yang telah diadakan pada hari ketiga, Ahad, 9hb Mac 2014 selepas Misa Kudus Bahasa Malaysia. Selepas mesyuarat tersebut, para ahli KPIP Telupid dapat melihat lebih jelas akan halatuju pelayanannya melalui komiti tersebut.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengerusi MPP St Martin, Telupid iaitu Albert Andau Paulus Andau
Lawatan susulan KPIK Sandakan ke paroki ini akan dijalankan dalam bulan Mei atau Jun 2014 jika tidak terdapat sebarang halangan. Sesi seterusnya adalah mengenai Pembangunan Insan yang Integral dan Ajaran Sosial Gereja.

Lanjutan dari kempen prapaska, KPIP Telupid telah mulai menjalankan aktiviti Musim Prapaskanya dengan membuat satu lawatan ke rumah warga tua yang berada di Kg. Gambaron, Telupid pada Ahad, 16hb Mac 2014. Komiti Penginjilan Paroki St Martin, Telupid telah bekerjasama dalam aktiviti ini. Sedikit bantuan dalam bentuk barang-barang keperluan makanan telah disampaikan kepada keluarga warga tua tersebut.
Untuk lebih menghayati musim Prapaska 2014, umat Katolik bolehlah menjalankan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan seperti di laman sesawang ini: http://lentmy.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent