Oleh Joan Grace Paul,
KPIP Lahad Datu.LAHAD DATU: Isnin, 3hb Mac 2014, satu sesi renungan Musim Prapaska telah dijalankan di Paroki St Dominic, Lahad Datu. Paroki Lahad Datu adalah yang pertama menerima sesi ini daripada Sr Maria Dipal RGS, Pengerusi Komisi Pembangunan Insan Keuskupan (KPIK), Sandakan. Sesi ini bertujuan menyahut Kempen Prapaska 2014 yang dimulai dengan sambutan Hari Rabu Abu pada 5hb Mac 2014.
Sesi renungan Prapaska 2014 bersama Sr. Maria ini telah berlangsung selama dua (2) malam iaitu pada 3hb dan 4hb Mac 2014. Masing-masing bertempat di KKD Kg. Jawa II dan Dewan Gereja St. Dominic, Lahad Datu. Seramai lebih kurang 100 orang umat yang terdiri dari semua peringkat umur telah menghadiri sesi renungan tersebut.
Sesi Pertama di KKD Kg. Jawa II
Prapaska adalah satu tempoh bagi umat Katolik membuat persiapan sebelum menyambut Hari Kebangkitan Yesus Kristus pada Hari Paska. Selama tempoh ini, para umat Katolik diseru untuk tekun berpantang dan berpuasa, berdoa serta beramal kasih atau menderma. Semasa sesi renungan Prapaska tersebut, Sr Maria telah mengenengahkan pesanan Bapa Suci Sri Paus Fransiskus sempena musim Prapaska 2014 sebagai fokus utama Kempen Prapaska 2014. Pesanan itu mengajak para umat Kristian khasnya Katolik untuk berdepan dan mendalami realiti hidup saudara-saudari yang dalam kemiskinan. Para umat digalakkan untuk lebih memberi sedekah atau derma kepada mereka. Petikan dari pesanan Bapa Suci menyatakan, “Dalam mengikuti teladan Guru kita, kita orang Kristian dipanggil untuk menghadapi kemiskinan saudara-saudari kita, menyentuhnya, menjadikannya milik kita sendiri dan untuk mengambil langkah-langkah praktis untuk mengurangi itu.”
Kletus Muyuk, Pengerusi KPIP Lahad Datu memberi kata-kata pembukaan.
Semasa sesi ini juga, beberapa panduan aktiviti yang dapat dijalankan sepanjang musim Prapaska telah diedarkan termasuklah mempromosikan sampul memohon derma, “Lenten Appeal” dengan harapan agar para umat lebih bermurah hati untuk memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit. Sumbangan tersebut akan disalurkan ke tabung Paroki bagi membantu para insan yang memerlukan seperti yang hidup dalam kemiskinan, kesusahan, menderita sakit juga yang menjadi mangsa bencana alam. Dengan amal kasih yang bermula dari derma tersebut, maka para penderma dapat menjalani serta lebih menghayati musim Prapaska dengan lebih bermakna dan penuh keberkatan.
Selepas sesi di Paroki Lahad Datu, Sr Maria dijadualkan akan berada di Paroki St Martin, Telupid pada 7hb hingga 9hb Mac bagi meneruskan sesi Kempen Prapaska 2014.
Sr Maria bersama para ahli KPIP St Dominic, Lahad Datu yang memberi komitmen untuk hadir di setiap sesi.
Untuk lebih menghayati musim Prapaska 2014, umat Katolik bolehlah menjalankan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan seperti di laman sesawang ini: http://lentmy.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment