Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 21, 2013

Pertahankanlah dan Jangan Hilang Imanmu

Disediakan oleh: Deezrey Victer (Soccom CSA)
TAWAU -  Program Kem Kerohanian Pelajar 2013 yang dianjurkan pada 13-14 September lalu bertempat di Dewan Paroki Holy Trinity Tawau adalah merupakan anjuran Persatuan Pelajar Katolik (CSA) dengan kerjasama Tim Kerasulan Belia Paroki (PYA) Holy Trinity Tawau. Program dua hari ini telah berjaya mengumpulkan seramai 134 orang pelajar Katolik dari beberapa buah sekolah di daerah Tawau seperti di SM Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau, SM Holy Trinity Tawau, SM Konven St. Ursula, SMK Tawau, SMK Kuhara, SM St. Patrick, SMK Wakuba, SMK Kinabutan, SMK Jambatan Putih, SMK Vokasional Tawau dan Institut Akademi Bakti.
‘Pertahankanlah dan jangan hilang imanmu’ merupakan tema yang bertepatan sekali sempena menyambut Tahun Iman pada tahun ini dan memberi peluang kepada para pelajar Katolik untuk menghadiri program yang julung kali diadakan ini sungguhpun hampir keseluruhan pelajar yang menyertai program ini adalah pelajar yang akan menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan STPM tidak lama lagi.
Program yang memuatkan lima ceramah ini membantu peserta kem untuk mempertahankan iman mereka di zaman globalisasi ini dan membuktikan kepentingan kerohanian seiring dengan pelajaran serta menyatakan persediaan rohani dan fizikal menjelang peperiksaan yang kian hampir. Selain itu, para peserta juga dapat mengenali lebih ramai pelajar Katolik daripada sekolah-sekolah lain dan dapat berkongsi tentang iman mereka.
Ceramah yang pertama yang bertajuk ‘Pelayanan VS Pelajaran’ yang disampaikan oleh Pn. Rosemary Chua cukup jelas menyentuh kepentingan seorang pelajar Katolik terhadap pembahagian masa terhadap pelayanan dan pelajaran. Pelayanan ini dapat mengasa dan melahirkan pemimpin masa depan gereja namun dalam masa yang sama pelajaran harus diutamakan.
Ceramah yang ke-2 yang disampaikan oleh Sr. Tauria FSIC membawa para peserta kem untuk lebih mendalami iman mereka melalui tema program tersebut iaitu ‘Pertahankanlah dan jangan hilang imanmu’. Ia memfokuskan kesedaran betapa pentingnya untuk mendalami dan meneguhkan iman yang ada sekarang agar tidak hilang arah serta pedoman hidup.
Peserta kem juga berpeluang mempelajari dan memahami sejarah Katolik melalui tajuk ‘Perbezaan Denominasi’. Ceramah yang cukup memukau peserta yang disampaikan oleh Sr. Rusiah FSIC, membuatkan para peserta kem benar-benar merasa bangga dan menghargai kekayaan khazanah Katolik yang diwarisi sehinggalah pada masa sekarang.
Program ini juga menyelitkan salah satu rahsia pelajar yang cemerlang iaitu mengambil pemakanan yang berkhasiat melalui ceramah yang ke-4 iaitu ‘Eat Well & Score Well’ yang cukup jelas dan menyeronokkan apabila mendengar ceramah yang disampaikan oleh Sdri. Esther Alim Albert daripada Bahagian Dietetik Hospital Daerah Tawau.
 Ceramah yang ke-5 yang bertajuk ‘Persiapan ke dunia luar’ oleh En. Renaldo De Los Santos daripada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau membuka mata para peserta kem untuk mempersiapkan diri lebih awal agar tidak menyesal kerana tersilap langkah di kemudian hari.
Selain itu, aktiviti di sebelah petang hari ke-2 kem seperti Amazing Race yang dikendalikan oleh Sdri. Naomi daripada Tim PYA Holy Trinity sangat menyegarkan minda mahupun fizikal. Segala penat lelah yang dirasai tidak terasa kerana para peserta sudah semakin akrab dan mula membiasakan diri bersama kumpulan.
Pada sebelah malam hari ke-2 kem pula, semua peserta dibawa berhibur dan menunjukkan bakat terpendam masing-masing yang ada pada peserta. Bertemakan pakaian hitam dan putih pada malam tersebut, peserta menyampaikan persembahan yang cukup mantap seperti sketsa, menyanyi dan sebagainya semasa aktiviti kemuncak itu dijalankan iaitu CSA Nite. Para Ibubapa dan penjaga juga dijemput hadir bersama untuk memberi sokongan moral sementara menunggu anak-anak mereka pulang pada malam tersebut.
Bagi pihak CSA, Sdra. Jeremy Juniol selaku Pengerusi Program Kem Kerohanian 2013 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program selama dua hari tersebut. Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan kerana ia sangat membantu para pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri dalam persiapan menduduki peperiksaan yang penting dan halatuju selepas belajar serta menimba pengetahuan yang lebih dalam tentang Katolik.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent