Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 25, 2013

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KEUSKUPAN SANDAKAN

Oleh Anna Lou
LAHAD DATU: Pertemuan Minggu Gembira (PMG) (BM) Gereja St Dominic, Lahad Datu telah mengadakan Penutupan Kelas bagi Sesi 2013 dengan mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan pada Sabtu, 19hb Oktober 2013. Selain membuat lawatan rasmi tersebut, mereka turut melawat tempat-tempat menarik di Daerah Sandakan iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan, Sepilok, Batu 14 dan Taman Buaya, Batu 8, 
Sandakan.
Seramai 34 kanak-kanak dan 13 pembimbing telah mengikuti program penutupan tersebut. Program seumpama ini merupakan pertama kali dianjurkan oleh Komiti Katekatikal Pusat, Gereja St Dominic, Lahad Datu. Tujuan penganjur mengadakan program seperti ini ialah agar kanak-kanak tersebut dapat 'mengenali lebih dekat' Keuskupan Sandakan pada usia yang muda kerana mereka merupakan 'aset' dan akan menjadi tulang belakang kepada Gereja Katolik pada masa akan datang.

Apa yang menarik serta menggembirakan para pelawat terutamanya kanak-kanak tersebut ialah mereka dapat bertemu sendiri dengan Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan di pejabatnya iaitu Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan. Apa yang telah membuat mereka lebih teruja ialah Bapa Uskup Julius sempat meluangkan sedikit masa buat mereka walaupun agak sibuk dengan tugasan beliau.
Pada awal kedatangan mereka ke Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan, mereka telah disambut oleh Saudari Anna Teresa Peter Amandus (Pengarah, Pejabat Belia Keuskupan Sandakan) dan Saudari Sharon Tan (Pembantu Pengarah, Pejabat Belia Keuskupan Sandakan). Mereka dibawa untuk melawat pejabat-pejabat / seksyen-seksyen yang ada di dalam bangunan pusat itu.
Kemudian, mereka berkumpul di Bilik Mesyuarat Keuskupan Sandakan dan Saudara Francis Tan, Setiausaha Eksekutif Keuskupan Sandakan telah menyampaikan kata-kata aluan dan selamat datang kepada mereka. Sejurus itu, mereka turut diberikan input singkat daripada dua orang staf dari pusat pastoral tersebut. Input pertama adalah mengenai "Hirarki Gereja Katolik, Organisasi Keuskupan Sandakan dan Fungsinya". Input telah dikongsikan oleh Saudari Shirley Joseph, Kerani Am Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan. Para pelawat, khasnya buat kanak-kanak telah mendapat peluang ini untuk mengetahui sedikit sebanyak fakta-fakta mengenai Gereja Katolik dan bagaimana ia berfungsi bukan sahaja di Keuskupan Sandakan malahan di peringkat dunia.
Input kedua yang mereka terima ialah bertajuk, "Pentingnya Ekaristi". Input telah disampaikan oleh Saudara George Lawadin, Pembantu Setiausaha Eksekutif Keuskupan Sandakan. Mereka berpeluang untuk melihat lebih mendalam sedikit mengenai apa yang akan mereka alami selepas menerima Sakramen Komuni Pertama pada 27hb Oktober 2013 nanti.
Pihak penganjur ingin merakamkan penghargaan kepada Bapa Uskup dan semua staf Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan kerana sudi menerima lawatan tersebut dan sempat meluangkan masa bersama mereka pada hari tersebut. Mereka turut terharu dengan layanan yang telah diberikan. 
Bapa Uskup Julius sempat menyampaikan sepatah dua kata sebelum makan tengahari bersama, "Saya berasa gembira menerima kehadiran kamu di sini. Semoga anda semua dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang gereja kita dan keuskupan kita melalui sesi-sesi yang telah diberikan. Tahniah kepada Komiti Katekatikal Pusat, Gereja St. Dominic, Lahad Datu yang telah menganjurkan program yang bermanfaat ini."
Rombongan telah mengambil kesempatan untuk bergambar bersama Bapa Uskup Julius dan para staf sebelum mereka berangkat ke tempat penginapan mereka dan meneruskan lawatan ke Sepilok. Rombongan tersebut telah bertolak balik ke Lahad Datu selepas makan tengah hari pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent