Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 11, 2017

TEMU RAYA ORANG MUDA KATOLIK KALI KE 2, KEUSKUPAN TANJUNG SELOR INDONESIA

NUNUKAN - Temu Raya Orang Muda Katolik (TROMK) kali ke 2 telah diadakan pada 29 Jun 2017 sehingga 3 Julai 2017 yang lalu di Gereja Paroki St Gabriel, Nunukan Keuskupan Tanjung Selor. Undangan untuk menyertai program ini juga telah dilanjut ke Keuskupan Sandakan dan seramai 13 orang muda - mudi dari Keuskupan Sandakan telah menyahut undangan ini.


Belia - belia Katolik Keuskupan Sandakan ke Temu Raya Orang Muda Katolik kali ke 2 di
Keuskupan Tanjung Selor.





TROMK merupakan program yang diadakan sekali dalam tiga tahun dan merupakan program Komisi Kemudaan Keuskupan Tanjung Selor. Seramai 434 peserta telah menyertai program yang datang dari 14 paroki di Keuskupan Tanjung Selor dan satu undangan tamu dari luar iaitu Keuskupan Sandakan. Selain itu ia juga telah disertai oleh 15 paderi, dua Dikon dan dua Religus dari Keuskupan Tanjung Selor.

TROMK yang pertama telah diadakan pada tahun 2013 dan Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan telah dijemput untuk menyertainya. Namun Keuskupan Sandakan tidak dapat menghantar peserta atas sebab kebetulan pada masa itu mempunyai program di Keuskupan.


Christina Lasius salah satu wakil dari Keuskupan Sandakan sedang ditemu ramah oleh MC yang bertugas
Penyertaan pertama ini merupakan satu titik permulaan bagi kedua - dua Keuskupan untuk menjalinkan jaringan persahabatan dan pastoral. Selain itu, ini juga merupakan satu peluang untuk saling mengenali budaya dan kehidupan para orang muda mudi Katolik di Keuskupan Tanjung Selor terutama sekali di Nunukan yang hanya mengambil masa 2 jam untuk sampai dari tawau menggunakan perkhidmatan feri.

Program 5 hari  itu telah memberikan peserta - peserta peluang untuk mengalami konsep live in (keluarga angkat). Selain itu mereka juga disajikan dengan motivasi iman dan memberi peluang kepada pesertanya untuk menampilkan bakat serta kreativiti masing - masing. 


Motivasi Iman

Motivasi Iman yang disampaikan oleh Bapak Stefanus Rizal Rejadi. Beliau mengajak OMK untuk membawa perubahan bagi Gereja , Bangsa dan Negara terutama di wilayah perbatasan. Beliau juga menekankan kepada mereka yang terbiar dan bagaimana belia mengambil peranan dalam hal kehidupan manusia di perbatasan terutama para migran dan perantau.

Renungan Malam di Lingkungan St Dominikus Kg. Sg. Sembilan tempat live in salah satu peserta dari Keuskupan Sandakan



Dalam program ini juga diadakan Pawai Budaya Lintas Agama (Interfaith Cultural Parade) . Penyertaan kaum muda dari agama yang berbeza menunjukkan bahawa selalu ada keindahan dalam perbezaan dan orang muda Katolik perlu berani mempertahankan itu. Pada malam terakhir program dilanjutkan dengan pentas seni.



Pawai Budaya Lintas Agama (Interfaith Cultural Parade)






Sempadan bukan penghalang kepada kesatuan. Apa yang menyatukan pasti CINTA KASIH YESUS!

Persembahan pentas belia - belia dari Keuskupan Sandakan

Cenderakenangan kepada Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan
Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan ingin mengambil kesempatan utnuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur yang dipimpin oleh saudara Kornelis Kio Tobil selaku Ketua Panitia TROMK KTS 2. Semoga persahabatan ini berterusan dan undangan untuk menyertai TROMK dimasa akan datang dapat diteruskan. 

Berikut merupakan perkongsian pengalaman belia - belia dari Keuskupan Sandakan yang telah menyertai TROMK ini.


Elton Susanto dari Paroki St Dominic, Lahad Datu


Elton Susanto yang memegang bendera Malaysia
Saya berasa sungguh gembira kerana dapat menyertai TROMK kali ke 2 ini. Perkara yang paling menyentuh saya adalah Pawai Budaya Lintas Agama (Interfaith Cultural Parade) kerana dapat memupuk rasa persatuan dan persaudaraan diantara teman -teman yang berbeza kepercayaan. Ini mengingatkan kepada saya 15 tahun yang lalu disaat saya masih di bangku sekolah. Sungguh menyentuh sekali! Saya ingin sekali mengajak teman - teman dari paroki saya untuk menjalinkan persahabatan dengan Orang Muda Katolik (OMK) di luar Sabah.  

Saya sungguh bersyukur diatas kemurahan hati umat dan OMK di Lingkugan (kawasan) St Dominikus di mana kami live in (Keluarga Angkat). Kasih sayang mereka terhadap kami amat luar biasa. Bahkan ketua Lingkungan serta OMK siap mengadakan malam perpisahan untuk kami. Ini telah membuat hati saya sukar untuk melupakannya apalagi beliau rela menghantar kami sehingga ke Tawau dan sehinggalah kami naik bus balik ke Paroki masing - masing. Ketua Lingkungan itu sanggup menunggu sehingga kami berangkat pulang.

Puji dan syukur kepada Tuhan kerana telah memberikan saya kesempatan untuk mengikuti TROMKA ini. Padahal pada awalnya saya tidak ada keinginan kerana halangan dokumen perjalanan. Namun caraNya sungguh luar biasa. 

Terima kasih Tuhan dan terima kasih semua teman-teman OMK yang bersama-sama dengan saya sepanjang program ini. Semoga di lain kesempatan kita dapat bersama-sama kembali dan semakin banyak OMK yang terbuka hatinya untuk mengikuti acara-acara seperti ini.

Tuhan memberkati!


Joseph Laba dari Paroki St Dominic, Lahad Datu



Saya bersyukur kerana dapat sampai dengan selamat dan sangat-sangat terharu mempunyai keluarga angkat yangg sangat pemurah dan baik hati

Perkara yang paling menyentuh saya disepanjang program TROMK2 ini adalah tinggal bersama keluarga angkat, makan bersama dengan mereka dan berdoa bersama serta menerima apa adanya tanpa mengira suku.

Saya ingin mengongsikan kepada belia - belia di paroki saya bahawa kekeluargaan itu penting dalam komuniti dan cinta kasih antara sesama. Pergaulan juga penting dan menjadi lebih berani lagi untuk terus maju ke depan dan menjadi agen perubahan dalam diri masing- masing.

Saya amat bersyukur diatas kesihatan saya dan kawan - kawan saya yang dapat mengikuti program ini dari awal sehingga akhirnya. Selain itu saya dapat mengenali keluarga angkat saya,  teman - teman baru paroki dari Keuskupan Tanjung Selor dan dapat menambah kekuatan untuk melayani  orang muda Katolik serta dalam keluarga.


Lilian Alo Lein dari Paroki St Dominic, Lahad Datu



Saya bergembira kerana berpeluang mengikuti TROMK2  ini di Keuskupan Tanjung Selor. Perkara yang paling menyentuh bagi saya adalah perkongsian tentang seorang Ibu dan Sesi Iman bersama Romo Agus. Apabila kembali ke Paroki, saya ingin melayani gerja tanpa batas dan mencuba untuk memberanikan diri dalam aktiviti belia agar dapat mengenali diri sendiri. Saya sungguh - sungguh bersyukur kerana telah dijaga dengan baik oleh keluarga angkat disepanjnag berada disana. Akhir kata, saya ingin melayani tanpa batas kerana yakin Tuhan selalu ada untuk umatnya yang ingin datang kepadanya.



Elisabert Bernadus dari Paroki Holy Trinity, Tawau



Saya rasa sungguh teruja dan sangat menginginkan lebih pengalaman dari Program TROMK KTS2 .

Perkara yang paling menyentuh saya adalah pada hari ke-3 iaitu Pawai Budaya Lintas Agama. Kemajmukan budaya antara dua agama membuat saya sebagai OMK amat tersentuh dengan penerapan nilai-nilai murni dalam membina kemakmuran dan Kedamaian walaupun berbeza Kepercayaan . 

Saya perlu berusaha lebih lagi untuk mengajak diri saya sendiri dan sahabat sepelayanan untuk mengetahui pentingnya hubungan kepelbagaian budaya dan agama dalam memantapkan iman Katolik di dalam dan luar gereja.

Terdapat dua hal yang amat saya syukuri: 

Pertama ialah kehadiran saya dan sahabat dari Keuskupan Sandakan mewakili gereja Katolik dari negara jiran diterima baik oleh masyarakat dan pemerintah dalam Pawai Budaya Lintas Agama dengan membawa bendera Sabah dan Malaysia dengan baik.

Kedua adalah kemurahan dan kerendahan hati umat serta OMK di lingkungan St.Dominikus Sungai Sembilan Nunukan dan layanan mereka sejak dari ketibaan dan sehingga kami berangkat balik, saya dan sahabat lain sangat mengagumkannya. Jujur saya katakan syukur puji Tuhan tidak Sedikit pun ada rasa kekurangan dalam hati walaupun saya dan sahabat hidup dalam suasana kesederhanaan kerana nilai kekeluargaan sangat dititikberatkan dalam lingkungan ini. Oleh itu, rasa bersyukur saya tidak pernah luntur sampai sekarang .

Syukur puji Tuhan juga pengalaman yang saya dapat dari hari pertama mengikuti TROMK KTS2 sangat berharga. Harapan saya semoga OMK di setiap keuskupan sedar akan kemakmuran dari kepelbagaian budaya penting dalam pemantapan iman dan pelayanan .
Indah sungguh rencana Allah Bapa di Surga .

Salam Dari Elisabert 
OMK Bawa Perubahan


Selwyn S Sho dari Paroki Our Lady of Fatima, Beluran


Saya bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk mengikuti program ini walaupun dalam kesibukan pekerjaan harian.  

Saya amat tersentuh dengan program Motivasi Iman yang disampaikan oleh Bapa Stefanus Rizal Rejadi pada hari ke-2 TROMK.  Sesi ini adalah tentang bagaimana OMK perlu membawa perubahan bagi Gereja dan komuniti dia sendiri walaupun dengan banyak cabaran dan tentangan yang perlu dihadapi seperti mana yang dikatakan oleh Paderi Gereja St Gabriel, Nunukan perubahan itu harus dilakukan oleh kita sendiri sebagai OMK dan bukan hanya sekadar menunggu orang lain untuk mengubahkan untuk kita, Inilah semangat yang ingin saya kongsikan kepada belia - belia di paroki saya kelak. 

Saya juga bersyukur atas jemputan ke Tromk-2 ini dari Keuskupan Tanjung Selor serta keluarga-keluarga di Lingkungan  St Dominikus Sg Sembilan yang mengambil kami sebagai anak-anak mereka disepanjang program ini. Ternyata cinta kasih Tuhan itu agung sekali dan telah ditunjukkan oleh keluarga angkat kepada kami semua smeskipun kami berbeza latar belakang dan suku. 

Selain itu, saya juga amat gembira berkenalan dan bekerjasama dengan belia keuskupan Sandakan dari Paroki-paroki yang lain. Walaupun kami hanya berkenalan selama 1 malam sebelum bertolak ke Nunukan, kami dapat menjalankan program di TROMK dengan gembira seperti kami semua ini sudah berkenal lama. 

Salam damai, 
salam OMK baper, 

Selwyn s’sho.


Lydiana Kantiu @ Lady dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan


Saya berasa amat bersyukur dan merasa sangat disayangi oleh Tuhan Yesus kerana telah memanggil saya untuk mengikuti program TROMK-2 ini. Perkara yang paling menyentuh adalah salah satu sesi yang mengajar saya, dikala saya melihat diri ini berkekurangan dan tidak sempurna, Tuhan Yesus itu lebih berkuasa dari apa pun hal yang terbesar sekali yang manusia mampu fikirkan.

Saya ingin sekali memberitahu kepada semua masyarakat bahawa perbezaan antara sesama itu adalah indah dan salah satu anugerah dari Dia yang patut kita hargai dan terima dengan hati yang sangat bersyukur. Amen

Perkara yang amat saya syukuri adalah kesihatan yang baik. Disepanjang program ini, saya dan kawan-kawan yang lain tidak mengalami penyakit yang parah dan apa yang sangat berlebihan ialah apabila kami telah dijaga seperti "Menatang Minyak Yang Penuh" oleh keluarga angkat kami di kawasan perumahan Kampung Sembilan Jalan Lama, Nunukan Indonesia. 

Salam Cinta, 
OMKA BAPER 
Bawa Perasaan Perubahan
Lydiana Kantiu @ Lady


Tracy Jaine dari Paroki Our Lady of Fatima, Beluran


Saya berasa diberkati dan gembira kerana tidak menyangka bahawa saya dapat mengikuti TROMK2 ini. Saat yang paling menyentuh pada diri saya ialah kesatuan dan perpaduan yang sangat baik antara satu sama lain tanpa mengira suku atau dari mana seseorang itu berada. 

Saya ingin mengongsikan kepada belia-belia bahawa dari mana, apa suku, tua atau muda seseorang itu, itu bukanlah satu penghalang untuk melayani sesama sebab apa yang penting adalah cinta kasih, kemurahan hati dan niat kita untuk melayani.

Saya sangat bersyukur kerana kami semua telah di jaga dan di layan sangat baik seperti keluarga sendiri serta tidak berasa tersisih sepanjang berada di sana.

Tuhan memberkati.  


Yulita Edwinda Somi dari Paroki St Dominic, Lahad Datu

Yulita Edwinda (Duduk)
Saya berasa sangat bersyukur kerana Tuhan Yesus memberi saya peluang untuk mengikuti TROMK KTS 2 dan saya amat bahagia. Perkara yang paling menyentuh saya adalah Pawai Budaya Lintas Agama. Walaupun berbeza agama tetapi bersatu. Saya dapat belajar untuk mencintai sesama meskipun terdapat perbezaan agama. Saya ingin berusaha lebih lagi untuk mengubah diri dna mengajak sahabat untuk mengetahui pentingnya hubungan kepelbagaian budaya dan agama. Saya dan kawan - kawan yang lain sangat bersyukur kerana diberi peluan untuk mengikuti program TROMK ini serta berpeluang untuk berkenalan dengan OMK lingkungan St Dominikus yang sangat baik, Saya juga bersyukur kerana mempunyai keluarga angkat yang sangat penyayang. Saya sungguh - sungguh bersyukur!

SALAM OMK BAPER

OMK MANA SEMANGAT NYA INI DIA INI DIA

YULITA EDWINDA SOMI@OLIFIA


Walburge Lawrence dari Paroki Our lady of Fatima, Beluran


Shalom dan puji Tuhan, pertama sekali saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana dapat berpeluang menyertai program Temu Raya Orang Muda Katolik Ke 2 di Paroki Santo Gabriel Keuskupan Tanjung Selor, Nunukan Indonesia. Perasaan saya dipenuhi dengan sukacita kerana dapat mewakili Paroki Our Lady of Fatima, Beluran sekaligus menjadi perwakilan kepada Keuskupan Sandakan, Sabah, Malaysia ke Nunukan, Indonesia.

Sepanjang mengikuti TROMK2 ini, perkara yang begitu menyentuh hati saya ialah kami telah dipelawa tinggal dirumah umat dan mendapat keluarga angkat baru yang seiman. Semua keperluan harian saya dijaga dengan begitu baik, saya juga dapat berpeluang berdoa bersama-sama dengan mereka. Walaupun mereka menyedari akan segala kekurangan dan kelemahan dalam pelbagai segi tetapi keluarga angkat ini tetap membuat yang terbaik demi untuk keselesaan saya semasa berada disana. Ketua lingkungan iaitu Bapak Wisang sekeluarga dan rakan-rakan OMK dari lingkungan Santo Dominikus, Sungai Sembilan juga banyak membantu kami, mereka sanggup menggunakan motorsikal mereka sendiri sebagai pengangkutan harian atau lebih dikenali sebagai 'ojek' kami menuju ke destinasi sepanjang program tersebut. Terima kasih kepada keluarga angkat saya Bapak Robertus Raja dan Ibu Sisila Wedhe dan semua umat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan hati terbuka, penuh sukacita dan cintakasih menerima kami untuk tinggal dan mengalami pengalaman baru bersama umat disana. Apa yang saya rasakan bahawa dari "kekurangan dan kelemahan" mereka itulah saya telah mendapat " kelebihan dan kekuatan" yang besar kerana merasakan begitu besar cinta kasih umatnya, kerana saya datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani sesama.

Satu perkara yang saya perolehi dari TROMK2 ialah adanya kerjasama dari masyarakat sekitarnya tanpa mengira berbezaan bangsa, suku, budaya dan agama. Dapat mengalami kemajmukan didalam Gereja Katolik bersama-sama bangsa Indonesia dan Malaysia, biar pun terdapatnya perbezaan bangsa, suku dan budaya tetapi kami saling berkerjasama memberi sokongan dan peneguhan diantara sesama. Pertemuan di TROMK2 ini pun menjadi sebahagian dari penziarahan hidup saya yang sekaligus memberi kesedaran sebagai anggota dari satu tubuh Gereja dan masyarakat yang terdiri dari banyak anggota. Apa yang saya perolehi ini akan saya kongsikan di paroki saya.

Saya bersyukur sepanjang program TROMK2 ini sedikit sebanyak saya dapat pengalaman baru terutama sekali dari segi peneguhan iman bukan sahaja untuk diri sendiri, akan tetapi dapat dikongsikan bersama masyarakat atau umat yang seiman dimana saja saya berada.

Terima kasih. Tuhan memberkati.

#TROMK2 KTS Nunukan, Indonesia.
#OMK Bawa Perubahan


Febronia Ana Nita dari Paroki St Dominic, Lahad Datu


Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti TROMK KTS 2 ini. Perkara yang paling menyentuh saya adalah Motivasi Iman dan Pawai Budaya Lintas Agama. Melalui Motivasi Iman saya telah mempelajari untuk bersabar dan percayakan kepada diri sendiri. Manakala bagi Pawai Budaya Lintas Agama saya amat tersentuh sebab walaupun kami berbeza suku dan bangsa, kami masih boleh memberikan kasih antara sesama. Saya ingin berusaha lebih lagi untuk menjadi OMK yang terbaik dan mengajak kawan - kawan seagama untuk mengetahui betapa pentingnya OMK (para belia) di dalam gereja dan masyarakat. Akhir sekali saya sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga angkat yang baik dan penyayang serta teman - teman baru yang sangat - sangat luar biasa.


Salam cinta ❤
(OMK BAPER)
Omk mau.
Omk bisa.
Omk bawa perubahan..
Febronia anna nita@anna

1 comment:

  1. Luar biasa. Puji syukur kepada Tuhan atas rahmat dan anugerahNya kepada kita semua.

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent