Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 27, 2015

Seminar Pembentukan Pemimpin-Pemimpin Komuniti Kristian Dasar ~ Hari Ketiga, 18hb Julai 2015

Artikel oleh DS dan Dalius LL
Gambar oleh GBell dan Helda

Sandakan : Hari terakhir Seminar Pembentukan ini pada 18hb Julai 2015 dimulakan dengan Doa Pagi dan 7-langkah Perkongsian Alkitab. Ia disusuli dengan perkongsian secara rawak tentang lawatan ke KKD di persekitaran Sandakan. Rata-rata meluahkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu dengan saudara-saudari di KKD Sandakan. Ia adalah satu pengalaman yang mengalakkan, semoga tercapai hasrat Bapa Uskup agar ada KKD yang terpanggil mahu mewujudkan 'KKD Berkembar.'


Hari pertama dan kedua, para peserta diberi laluan untuk melihat dan menilai realiti KKD di paroki masing-masing. Mereka berbincang apa yang sedang berlaku kepada KKD mereka, aktif atau pasif. Kenapa situasi itu berlaku dan kenapa ia masih lagi berterusan. Jika tiada langkah diolah untuk menanginya apa akan terjadi kepada KKD?

Sesi berikut adalah sesi berkaitan dengan tindakan ke arah mengaktifkan KKD. Berlandaskan kepada realiti dan sesudah dinilai dari perspektif analisis sosial dan renungan teologi, para peserta dalam kumpulan paroki masing-masing menyenaraikan tindakan yang perlu diambil untuk mengubah situasi dan menangani isu yang sebenarnya. Mereka mencari pengisian untuk memenuhi ruang di antara realiti dan KKD yang unggul mengikut situasi paroki masing-masing. 
Francis Tan selaku fasilitator dalam sesi Lihat, Nilai dan Tindak
di dalam Seminar Komuniti Kristian Dasar (KKD) Sandakan
Sesi ini merupakan kemuncak seminar tersebut dan dikhaskan tempoh selama 2 jam. Perwakilan setiap paroki diberi ruang untuk menyampaikan pelan tindak mereka. Pelan tindak yang digariskan berfokus kepada isu kepimpinan, sokongan serta dorongan paderi, komitmen sosial dan tanggapan umat terhadap KKD. 

KKD pada hakikatnya bukan satu lagi organisasi tambahan di gereja. Mereka adalah komuniti setempat, lazimnya terdiri dari keluarga-keluarga berjiran dan adalah sebahagian integral penting di paroki.

Program diakhiri dengan Misa Perutusan yang diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius dan dibantu oleh semua paderi. Dalam homilinya, beliau menyarankan bahawa kita mungkin lemah semangat seperti Musa tetapi akhirnya dia mengikuti apa yang Tuhan mahukan daripadanya. Kita harus juga seperti nabi Musa yang mana apabila pelayanannya fokus kepada Tuhan pasti ada jalan penyelesaiannya.
Pasangan Peter dan Airene menghantar persembahan Misa Kudus

Para Bishop seAsia telah menyatakan bahawa gereja di Asia haruslah menjadi gereja yang aktif dan partisipatif dengan cara menggereja baru melalui Komuniti Kristian Dasar. Melalui ini kita mengambil inisiatif menjadikan teras pastoral Keuskupan. Kita juga jangan hilang fokus dengan hanya menumpukan kepada masalah sahaja. Kita harus fokus kepada Yesus, memohon kekuatan, serta bimbingan untuk mendorong kita berjalan terus, untuk terus memimpin walaupun menghadapi pelbagai permasalahan.
Bishop Julius Dusin
Dalam usahasama kita mengenal pasti permasalahan di setiap KKD, kita sama-sama menyertai proses ke arah kebaikan gereja. Dengan sedemikian kita adalah gereja yang berpartisipatif.  Diakhir seminar ini kita bersyukur kepada Tuhan Yesus sebab dia telah memberi kesempatan ini dan tanggungjawab kita dan membantu kita melihat apa yang harus kita lakukan dan memberikan kita jalan penyelesaian kepada masalah KKD dengan cadangan-cadangan yang diberikan oleh semua.
Sr. Appolonia Gumpu (FSIC) selaku pengerusi penganjur Seminar Pemimpin-Pemimpin KKD Keuskupan Sandakan mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih atas kerjasama semua peserta  dalam bengkel tersebut selama tiga hari di Pusat Pastoral keuskupan Sandakan.
Album kenangan para pemimpin KKD bersama Bapa Uskup Julius, paderi dan sisters.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent