Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, July 30, 2015

Malaysian Catholic Campus Students' Day (MCCSD) 2015 -Hari Pertama dan Kedua

Maylyn C. Petrus dan Maxwell Elity Sulaiman
Dikumpul/susun oleh Maxwell Elity Sulaiman
Gambar oleh Adrian John Sebastian-P.Pinang
KUCHING : Pada 14hb Julai 2015, telah bermulanya Malaysian Catholic Campus Students’ Day (MCCSD) dengan tema "Menjadi Saksi Kristus Dalam Kehidupan Kampus - Dipanggil, Dipilih, Diutus." Acara ini julung-julung kalinya dianjurkan oleh Komiti Pelayanan Belia Katolik Malaysia yang telah dilaksanakan di Archdiocesan Curia And Cathedral Parish Centre (ACCPC), Keuskupan Agung Kuching, Sarawak. Seramai 162 pelajar kampus yang menuntut di 37 kampus di seluruh Malaysia telah menyertai kem yang berlangsung selama 7 hari ini. 


Misa pembukaan telah dirayakan oleh Bapa Uskup Agung John Ha. Dalam khotbahnya, beliau mengingatkan bahawa Tuhan telah memberikan kita peluang dalam melaksanakan misi-Nya. Walaupun pada saat ini kita samar-samar tentang misi yang diberikan, tetapi kita haruslah percaya bahawa Dia sedang menyediakan kita untuk misi dengan memberikan kita peluang iaitu dengan mengikuti program MCCSD. Dengan itu, jangan sekali pun kita mensia-siakan peluang yang telah diberikan kepada kita. Beliau juga mengingatkan kepada semua peserta untuk mengongsikan iman mereka dan terus teguh dalam iman.

Selepas itu, para peserta dialu-alukan dengan persembahan tarian kebudayaan Sarawak. Sesi pengenalan disampaikan oleh Koordinator Program MCCSD, saudari Anna Amandus. Beliau telah menerangkan latar belakang dan inti pati program MCCSD ini. Selain itu, peserta diberi taklimat mengenai program MCCSD dan peraturan sepanjang program ini. Program ini diakhiri dengan doa malam gabungan semua peserta dan penganjur. Selepas selesai doa malam, maka berakhirlah hari pertama MCCSD. Para peserta menaiki bas dan bertolak ke tempat penginapan di St. Lukas yang terletak di Kota Padawan, Kuching.
Hari kedua, 15hb Julai bermula dengan misa pagi di auditorium ACCPC tepat pada jam 7.30 pagi. Misa dirayakan bersama oleh Rev. Fr. Larry Tan, Rev. Fr Felix Au dan Rev. Fr. Stanley Antoni. 
Sebelum sesi yang pertama bermula, para peserta dibawa bersama dalam sesi lagu pujian dan penyembahan yang dipimpin oleh peserta dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur. Sesi pertama bertajuk 'Who Am I?' telah disampaikan oleh Fr. Stanley Antoni dan terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama ialah tentang 'Who Am I? – Me' yang berfokuskan kepada pengenalan diri secara mendalam dan menyeluruh. Dalam bahagian ini, para peserta didedahkan dengan kehidupan manusia secara rohani dan lahiriah serta ciri-ciri seorang manusia. Selain daripada itu, ia juga menyentuh tentang tujuan kita sebagai manusia yang hidup sementara di dunia ini dan menggunakan nama kita sebagai panduan untuk melaksanakan misi di dunia berdasarkan nama-nama santo yang sinonim dengan peribadi kita.
Bahagian kedua ialah 'Who Am I? – Friends' yang menyentuh tentang diri seseorang dengan sahabat sekeliling mereka, terutama sekali bagi para mahasiswa dan mahasiswi. Para peserta didedahkan dengan empat jenis rakan yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang sama ada secara baik ataupun sebaliknya. Terdapat jenis rakan yang dapat membawa kita ke arah kebaikan namun ada juga jenis rakan yang menjatuhkan kita. Selain dari itu, para peserta juga didedahkan dengan tahap-tahap dan cara perhubungan dengan rakan-rakan sekeliling. Para peserta juga didedahkan tentang definisi sahabat itu sendiri, bagaimana ia terjadi dan bagaimana untuk memilih rakan yang mampu menyokong dan berjalan bersama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Katolik. Bahagian ini diakhiri dengan sesi soal jawab. 
Bahagian ketiga ialah 'Who Am I? – Family' yang menyentuh tentang peranan sebuah institusi keluarga dalam menjadi keluarga yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap setiap anggota keluarga dalam mewartakan Khabar Gembira kepada masyarakat setempat. Selain dari itu, para peserta juga didedahkan peranan setiap anggota keluarga dalam memastikan mereka saling memberi dorongan di antara satu dengan yang lain. Bermula dengan setiap individu dalam sebuah keluarga, kemudian berkembang dan bersatu menjadi satu keluarga untuk bersaksi terhadap komuniti.
Sesi yang terakhir ialah 'Who Am I? – Society' yang memberi pendedahan tentang cabaran era globalisasi serta isu-isu yang sensitif terutama sekali dalam negara kita sendiri. Penceramah menyentuh tentang tanggungjawab kita sebagai umat Katolik untuk menghidupi iman kita sekaligus bersaksi dalam nama Yesus terhadap individu yang berlainan kepercayaan dan amalan sama ada dalam kalangan denominasi Kristian yang lain mahupun di luar agama Kristian itu sendiri. Adalah menjadi satu kewajipan bagi seorang Katolik untuk mewartakan injil walaupun terdapat pelbagai cabaran yang muncul menghalang. Ia disusuli dengan sesi soal jawab.
Selepas makan malam, Adorasi dan Sakramen Pengakuan telah dilaksanakan sebagai doa malam dan doa penutup pada hari tersebut.
Max, berbaju kuning (kiri) adalah pelajar IPG, 
Kampus Tawau
Secara tuntasnya, sesi yang telah saya lalui sepanjang hari ini, saya dapat mengenal diri saya sendiri, apakah tujuan (mission) saya, dan apakah tanggungjawab saya terhadap iman saya sendiri. Saya juga belajar tentang bagaimana menilai seorang sahabat sama ada dia seorang yang membantu kita untuk bertumbuh dalam iman ataupun sebaliknya. Peranan diri saya dalam keluarga serta masyarakat juga mulai saya sedari kerana jika bukan bermula dari diri sendiri, perubahan tidak mungkin akan berlaku. Sejujurnya, sesi yang disampaikan pada hari ini agak berat untuk diserap dan ditafsir, namun saya percaya bahawa sekurang-kurangnya saya mampu untuk menyedarkan diri saya akan siapa saya, dari mana sokongan yang saya dapat, apa tugas saya dalam sebuah institusi keluarga dan peranan saya dalam membentuk masyarakat ke arah yang lebih baik. - Maxwell 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent