Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, October 31, 2019

“MEMBAHAGIKAN IMAN KEPADA ORANG LAIN” ~ Perayaan 4 dalam 1 Misi Paitan

Laporan dari SOCCOM Misi Paitan.
MISI PAITAN : Perayaan 4 dalam 1 Sempena rangka lawatan Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan ke Misi Paitan telah dilaksanakan pada 5 dan 6 Oktober 2019 bertempat di St Francis Of Asisi Kg Sukang, Paitan.  Perayaan ini merangkumi, “Program Pesta Santo Penaung St. Francis Dari Assisi”, “Perayaan Misa Kudus dan Krisma Penguatan”, “Ulang Tahun Keuskupan Sandakan Ke-12 Peringkat Misi Paitan” dan “Ulang Tahun Kelahiran Bapa Uskup ke-62”. 
Calon penguatan bergambar bersama Bapa Uskup Julius dan Fr. Thomas di Gereja St.Francis of Assisi Kg.Sukang, Paitan.
Terdahulu, telah diadakan rekoleksi bagi semua calon penguatan seluruh Misi Paitan pada 4 dan 5 Oktober 2019 bertempat di gereja St. Francis Of Assisi Kg. Sukang. Sesi sepanjang rekoleksi ini disampaikan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil, En. Adaris Moses Sintan, Pn. Martina Josiana dan Katekis Gabriel sebagai persiapan akhir sebelum para calon penguatan menerima minyak krisma pada 6 Oktober 2019.  Antara aktiviti semasa rekoleksi yang telah dilaksanakan, ialah 4 sesi katekesis, perkongsian iman, soal jawab, Doa Rosari, pengakuan dan raptai para calon.
En. Adaris Moses Sintan menyampaikan sesinya.
Rev. Fr. Thomas Makajil memberikan sesi kepada calon penguatan.
Rekoleksi para calon penguatan berakhir pada 5 Oktober jam 1.30 petang. Aktiviti tidak berakhir begitu sahaja kerana aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka. Terdapat ramai para calon penguatan serta umat gereja telah mengikuti acara sukaneka ini. Antara acara sukaneka ialah Menyumpit Wanita dan Lelaki, Kupas Kelapa, Dart, Kupas Pinang, Bowling Kelapa, Tiup Tepung dan Tiup Belon.  Melalui acara sukaneka ini, hubungan cinta kasih antara umat gereja di Misi Paitan dapat ditambahkan dan dieratkan lagi.   
Acara mengupas buah pinang dari KWK
Acara mengupas buah kelapa dari KUK
Perayaan ini disemarakkan lagi dengan kedatangan Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom bersama rombongannya, yakni Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan pada  5 Oktober 2019. Setelah acara sukaneka selesai dan kedatangan Yang Mulia Bapa Uskup, aktiviti dilanjutkan dengan upacara menanam buah kelapa oleh Yang Mulia Bapa Uskup, Paderi, Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan, Ketua Komuniti Misi Paitan dan para Katekis di tepi kolam ikan St. Francis Of Assisi. Pada malamnya pula, aktiviti diteruskan dengan Doa Rosari dan tayangan video rohani bertajuk “Maria Dari Nazaret”.
Acara Menanam pokok kelapa di pinggir kolam ikan gereja St. Francis of Assisi Kg.Sukang oleh Rev. Fr. Thomas Makajil dan Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom
Rombongan Komiti Misi Paitan dari Sandakan bersama dengan Rev. Fr. Thomas melawat kawasan kolam ikan.
Acara kemuncak adalah pada 6 Oktober 2019 dengan perayaan Ekaristi sempena sambutan hari penaung St. Francis of Assisi, Kg. Sukang, Misi Paitan dan pemberian sakramen penguatan.  Dalam homili Bapa Uskup menyatakan,

“Apabila kita meminta kepada Tuhan, “Tuhan tambahkanlah iman kami”, seperti para rasul yang turut meminta sedemikian, Tuhan akan memberikannya bukan mengikut kehendak kita tetapi dengan caraNya sendiri.  Kadangkala apa yang kita harapkan kita terima dari Tuhan, bukan itu yang kita dapat, tetapi lebih baik dari apa yang kita harapkan.  Maka apa yang Tuhan mahukan daripada kita adalah untuk membahagikan iman itu kepada orang lain.  Dan apabila kita memberikan iman itu kepada orang lain, disitulah pertambahan iman kita, bukan untuk kepentingan kita sendiri sahaja, juga untuk kepentingan orang lain dan gereja kita.
Menambahkan iman melalui keluarga, tempat kerja dan pelayanan di gereja. Mungkin kita tidak menyedari pertambahan iman kita sendiri, tetapi orang lain boleh merasakannya dan melihatnya dalam diri kita. 
Doa juga adalah asas pertambahan iman kita, apabila kita mempunyai hubungan intim dengan Tuhan, maka Tuhan akan mengambil alih akan kehidupan kita, membimbing kita.  Disitulah kita akan lebih terdorong melakukan kehendak Tuhan dalam kehidupan seharian kita, membagi iman kita kepada sesama.”

Ketua KUK Misi Paitan – Dr. Welly Pius
Selesai sahaja Misa Kudus dan penerimaan Sakramen Penguatan, ucapan diteruskan daripada Ketua KUK Misi Paitan, Dr Welly Pius. Dalam ucapan, beliau sempat berkongsi tentang pengalaman beliau semasa penguatan, iaitu “penguatan ialah satu landasan atau permulaan untuk menjadi askar Kristus”. Sekaligus beliau memberikan harapan agar semua umat yang ada di Misi Paitan bersama-sama menjadi askar Kristus membantu Fr. Thomas untuk mencari domba-domba yang tersesat dan mereka yang sedang mencuba lari dari keluarga Kristus.
Paderi Penguasa Misi Paitan – Rev. Fr. Thomas Makajil
Seterusnya ucapan daripada Paderi Penguasa Misi Paitan, Rev Fr Thomas Makajil. Beliau menyatakan kesyukuran kerana perayaan 4 dalam 1 kali ini telah mengingatkan akan perjuangan semua pihak yang juga membawa untuk terus berganding bahu. Kejayaan perayaan kali ini adalah atas kerjasama semua pihak.  Fr Thomas juga menyatakan beliau gembira untuk semua kesibukan itu kerana dalam kesibukan itu ada kesatuan.  “Kesatuan kita itu haruslah ditunjukkan dalam kolaborasi, kerjasama antara umat dengan kepimpinan.  Ini amat penting untuk perkembangan gereja di Misi Paitan mahupun gereja sejagat.”  Akhir sekali beliau menyatakan, “Kita bersyukur kepada Bapa Uskup kerana telah datang di tempat ini untuk menjadi kekuatan bagi kita, kesatuan bagi kita. Selamat menyambut ulang tahun kepada Bapa Uskup, Selamat menyambut ulang tahun kepada Diosis Sandakan dan Selamat menyambut Hari Pesta Santo Penaung kita Francis of Assisi Sukang.”
Bapa Uskup Keuskupan Sandakan – Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom
Dalam ucapan Bapa Uskup pula, beliau mengucapkan tahniah kpd Fr. Thomas kerana telah berjaya menjayakan perayaan ini, sekaligus menggalakkan, mendorong  setiap umat untuk mempunyai semangat Santo Francis,  yang setiap hari dengan rendah hati membawa orang kepada Kristus. “Maka dengan semangat ini, marilah kita bekerjasama di peringkat kampung, di peringkat komuniti kita, di mana pun kita berada dan kerjasama dengan paderi paroki kita.  Itulah semangat St Francis, senantiasa bekerjasama dengan pihak pimpinan. Kemajuan kita di sini ditentukan dengan adanya kerjasama di antara pemimpin-pemimpin, umat dan paderi penguasa di sini.”  
Acara pemotongan kek sempena Hari Jadi Keuskupan Sandakan dan Hari Jadi Bapa Uskup.
Sumbangan ‘surprise’ berupa sebuah kereta pacuan empat roda kepada paderi penguasa Misi Paitan Rev. Fr. Thomas Makajil.
Persembahan koir dan tarian daripada KWK dan KBK Misi Paitan.
Acara diteruskan dengan sesi bergambar bersama Bapa Uskup, Paderi, Katekis dan para calon yang baru sahaja menerima penguatan dan acara diteruskan di dewan terbuka gereja dengan pemotongan kek hari jadi Keuskupan Sandakan dan hari jadi Bapa Uskup dan juga pelancaran logo Misi Paitan. Seterusnya, jamuan makan tengahari bersama bapa uskup, paderi dan umat misi paitan. Semasa acara berlangsung, umat disajikan dengan persembahan daripada KWK, KBK, PMG dan calon penguatan. Acara juga turut diserikan lagi dengan kemeriahan hadiah ‘surprise’ kepada paderi penguasa Misi Paitan berupa sebuah kereta Hilux oleh Komiti Misi Paitan Sandakan. Dalam pada masa yang sama acara selingan cabutan tiket bertuah turut berlangsung. Acara berakhir pada jam 5.00 petang dengan doa penutup dan gotong – royong pembersihan.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent