Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 14, 2019

AMOS 4: "BUKAN SEMATA - MATA PERIHAL MIGRAN TETAPI JUGA PERIHAL KITA"



Kota Kinabalu – Lebih kurang 100 peserta yang terdiri daripada pelayan migran dari ketiga – tiga Keuskupan di Sabah telah mengikuti program AMOS kali ke 4 di Pusat Paroki Sacred Heart, Kota Kinabalu pada 6 sehingga 8 Oktober 2019. Turut hadir adalah Uskup Agung John Wong (Keukupan Agung Kota Kinabalu), Uskup Julius Dusin Gitom (Keuskupan Sandakan), Msgr. Gilbert Engan (Keuskupan Keningau) 12 Paderi, 3 Religius dan seorang seminarian. Program ini merupakan penganjuran TPPMS yang lebih memfokuskan kepada pelayanan migran dan perantau.

Tema program pada kali ini adalah “Dibaptis dan diutus: Misi kita kepada para migran dan perantau”. Pengisian program AMOS 4 adalah berdasarkan kepada dua objektif berikut:
  1. Untuk mengemaskini Pelayanan Gereja Tempatan kepada para migran dan perantau 
  2. Untuk memahami masalah – masalah yang dihadapi oleh Generasi Ketiga Para Migran dan mencadangkan respon – respon pastoral yang sesuai.
Misa Pembukaan yang diselebrankan oleh Uskup Agung John Wong

Selepas Misa Pembukaan, upacara gimik perasmian AMOS 4 yang ringkas oleh Uskup Agung John Wong dan para paderi yang hadir (Fr. Phillip Muji, Msgr. Gilbert Engan, Fr. David Gasikol dan Fr. Dafrinn Diwol)

Uskup Agung John Wong menyampaikan kata-kata aluan

Saudara Dominic Lim menyampaikan sesi pengenalan program AMOS
Hari pertama AMOS 4 telah dimulakan dengan misa pembukaan yang diselebrankan oleh Uskup Agung John Wong. Dalam homili, beliau mengingatkan semua orang agar jangan bertegar hati apabila mendengar suara Tuhan. Tuhan sentiasa mempunyai cara untuk berbicara dengan umatNya iaitu dari Sabda Tuhan, melalui orang lain dan melalui pengalaman hidup. Di akhir misa, satu gimik perasmian program AMOS 4 telah dilakukan secara ringkas dan dirasmikan oleh Uskup Agung John Wong.

Sejurus selepas makan malam, program AMOS 4 di hari pertama diteruskan dengan Ice breaking, kata – kata aluan dari Uskup Agung John Wong, Pengenalan kepada program AMOS oleh saudara Dominic Lim dan diakhiri dengan imbasan video dari AMOS 1 sehingga AMOS 3.

Dalam sesi pengenalan, saudara Dominic Lim telah menekankan tema Minggu Migran 2019 iaitu “Bukan semata-mata perihal migran tetapi juga perihal kita.” Seruan Bapa Suci Fransiskus ini mengingatkan kepada umat Katolik dalam misi untuk melihat lebih jauh dan bukan hanya setakat melihat para migran sebagai seorang migran, akan tetapi diri mereka untuk lebih terbuka mengalu – alukan dan melindungi mereka serta mempromosikan martabat manusia dan menjemput para migran dalam kesatuan dengan komuniti lokal.

 Fr. Raphael Samosir, OFM Cap menyampaikan dan mengupas tema AMOS 4
Hari ke dua program AMOS 4 menyajikan input – input penting yang berkaitan dengan tema dan para migran generasi ketiga (lahir di Sabah tetapi tidak mempunyai kad pengenalan). Sesi pertama adalah berkenaan dengan tema iaitu “Dibaptis dan Diutus: Misi kita terhadap Para Migran dan Perantau” yang disampaikan oleh Fr. Raphael Samosir, OFM Cap, berasal dari Indonesia dan sedang bertugas di Keuskupan Sibu, Sarawak. Beliau juga merupakan salah seorang ahli Episcopal Commission for the Pastoral Care of Migrants and Itinerants, Catholic Bishops' Conference of Malaysia, Singapore and Brunei.

Dalam sesinya, tema program AMOS 4 dikupas agar para peserta dapat diingatkan semula akan peranan sebagai yang melayani dan kenapa perlu melayani para migran. Fr. Raphael dalam sesinya membawa peserta untuk merenungkan misi sebagai seorang yang dibaptis iaitu berdasarkan firman Tuhan dalam Matius 28:19 – 20 untuk keluar dari zon selesa, menginjil, membaptis dan mengajar mereka akan misi Tuhan. Sesi ini diakhiri dengan perkongsian kumpulan berdasarkan kepada soalan yang disediakan.


Fr. Arin Sugit (Brunei), Fr. Phillip Muji (Sabah) dan Fr. Claurence Motoyou, OFM Cap (MAJODI) memperkongsikan realiti migran di tempat masing - masing
Sesi seterusnya dikongsikan oleh tiga panel iaitu Fr. Arin Sugit mewakili Gereja Katolik di Brunei, Rev. Fr. Phillip Muji mewakili 3 keuskupan di Sabah dan Fr. Claurence Motoyou, OFM mewakili Keuskupan Melaka Johor. Masing – masing mengongsikan hal – hal berkenaan realiti dan pelayanan pastoral kepada para migran di tempat masing – masing. Realiti yang dikongsikan amat berbeza kerana ianya disebabkan oleh situasi semasa tempat itu sendiri. Namun gereja tempatan juga berusaha menanganinya meskipun banyak cabaran. Sesi ini diakhiri dengan soal jawab.

Puan Anne Baltazar sedang menyampaikan sesi beliau
Di sebelah petang sesi berkenaan Migran Generasi Ke-3 telah disampaikan oleh Puan Anne Baltazar. Sesi yang disampaikan adalah berdasarkan kepada penyelidikan (research) yang telah dia dilakukan berkenaan dengan kanak – kanak tanpa kerakyatan (stateless children) yang ada di Sabah. Fakta – fakta hasil daripada penyelidikan beliau banyak membantu para peserta melihat sendiri realiti yang sedang berlaku di hadapan ‘mata’ mereka. Salah satu sebab adalah para migran generasi yang pertama yang tidak menguruskan hal – hal dokumen mereka dengan baik menyebabkan kesukaran bagi generasi kedua dan hal ini telah berlanjutan kepada generasi yang ketiga. Salah satu sebab lagi adalah mereka dari komuniti suku kaum Bajau Laut yang lahir dan tinggal di perahu. Seluruh kehidupan seharian komuniti Bajau Laut ini adalah di dalam perahu. Oleh kerana kurang kesedaran hal – hal pentingnya dokumen, mereka terkandas dan dilabel sebagai stateless.

Sebelum masuk kepada perkongsian kumpulan, para peserta disajikan dengan real life story empat migran generasi yang ke – 3 dan bagaimana situasi mereka memberi impak dari segi kehidupan, pendidikan dan ekonomi mereka. Mereka merupakan generasi yang lahir di Sabah namun tidak mempunyai kad pengenalan atau diberi status kewarganegaraan kerana kedua – dua ibubapa mereka adalah migran yang telah merantau ke Sabah dengan harapan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Adik Michellyta (Migran Generasi ke 3 Indonesia) di Kota Kinabalu

Adik Anthonius (Migran Generasi ke 3 Indonesia) di Kota Kinabalu
Saudara Amado Degullacion III (Migran Generasi ke 3 Filipina) di Sandakan

Saudari Reginia Jane Hugo (Migran Generasi ke 3 Filipina) di Sandakan
Berdasarkan kepada perkongsian yang diberikan, masing – masing menyatakan kehidupan mereka amat berbeza dengan mereka yang mempunyai kad pengenalan. Mereka tidak diterima di sekolah Kerajaan. Sekiranya mereka masuk, yuran dan keperluan mereka akan lebih mahal berbanding dengan pelajar tempatan. Selain itu pergerakkan mereka juga terhad kerana sentiasa takut dengan ‘checking’ yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Dari segi kerja, memang ada kesukaran untuk bekerja kerana status dokumen yang dimiliki. Oleh itu mereka terpaksa bekerja keras untuk menjalankan kehidupan sehari - hari. Meskipun mereka mengongsikan kedukaan menjadi migran generasi ke 3, mereka juga mengongsikan kebahagiaan mereka kerana berkat yang telah diberikan untuk terus hidup dan masih berada di Sabah.

Selesai sesi perkongsian, peserta diberi peluang untuk berkongsi dalam kumpulan berdasarkan kepada soalan dan sesi – sesi yang telah disampaikan. Hari kedua diakhiri dengan misa harian yang diselebrankan oleh Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan.

Uskup Julius Dusin Gitom menyampaikan homili beliau dalam misa harian

Puan Elsie Primus dari Majistret Kota Kinabalu
AMOS 4 pada hari terakhir telah dimulakan dengan penyampaian dari panel jemputan dan diikuti dengan soal jawab. Antara panel yang dijemput adalah Pn. Elsie Primus dari Majistret Kota Kinabalu, Bapak Krishna Djelani Konsul Jenderal dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Cik Johaira Wahab – Manantan, 3rd Secretary and consul dari kedutaan Filipina di Kuala Lumpur. Masing – masing telah menyampaikan perspektif mereka dalam isu migran generasi ke-3. Perkongsian mereka juga telah sedikit sebanyak membantu bagaimana prosedur yang sepatutnya diambil untuk isu – isu yang dikemukakan. Walaubagaimanapun, ahli panel boleh memberikan panduan namun penyelesaian bagi keseluruhan masalah tetap menjadi cabaran.

Bapak Krishna Djelani, Konsul Jenderal dari Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu

Cik Johaira Wahab – Manantan, 3rd Secretary and Consul dari Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur
Selesai sesi soal jawab, sekali lagi peserta dibahagikan kepada kumpulan untuk membincangkan apakah usul – usul yang boleh diketengahkan untuk tindakan Gereja tempatan tentang isu Migran Generasi ke-3. Antara usul – usul yang diberikan adalah secara pastoralnya, semua pihak perlu diberikan kesedaran tentang para migran. Ini adalah supaya, pihak gereja dari para paderi sehingga ke umat (akar umbi) lebih terbuka hati untuk membantu para migran asing dan juga para migran tempatan. Selain itu sekolah (Children Learning Centre) khusus untuk kanak – kanak migran diteruskan dan diperluaskan terutama sekali di perladangan dan ladang – ladang dan terakhir adalah mewujudkan klinik bergerak dengan sukarelawan yang terdiri daripada doktor dan jururawat.










Antara ahli Tim Pelaksana Program AMOS 4 (LOT) yang bertungkus lumus dalam segala persiapan program ini.

Program AMOS 4 diteruskan dengan misa penutup yang diselebrankan oleh Msgr. Gilbert Engan dari Keuskupan Keningau. Sempena bulan Rosari, Msgr. Gilbert mengajak semua yang hadir untuk menjadikan Bonda Maria sebagai inspirasi untuk melangkah keluar dari zon selesa, belajar untuk melangkah dalam iman dan terus setia kepada-Nya terutama sekali dalam pelayanan migran.

Setelah itu, semua peserta dijemput ke Msgr. Watcher‘s Centre untuk penutupan program AMOS ke 4. Satu program sebagai merayakan kesyukuran melalui fellowship bersama sambil berinteraksi dengan para migran yang dijemput dan berhibur dengan persembahan – persembahan yang disediakan. Dalam acara ini juga Uskup Julius telah diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata sebelum melaksanakan gimik pengumuman tuan rumah bagi program AMOS ke-5. Dalam ucapannya, Uskup Julius menyatakan penghargaan terutama sekali kepada pihak penganjur dan berharap agar melalui program seumpama ini, gereja akan lebih prihatin terhadap para migran dan menjadikan mereka sebahagian daripada komuniti gereja. AMOS 5 dengan rasminya akan diadakan pada tahun 2021 di Keuskupan Keningau.

Ucapan dari Uskup Julius Dusin Gitom

Antara ahli Tim Penggerak Pelayanan Migran Sabah yang hadir







No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent