MISI PAITAN : Perayaan 4 dalam 1 Sempena rangka lawatan Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan
Sandakan ke Misi Paitan telah dilaksanakan pada 5 dan 6 Oktober 2019 bertempat
di St Francis Of Asisi Kg Sukang, Paitan.
Perayaan ini merangkumi, “Program Pesta Santo Penaung St. Francis Dari
Assisi”, “Perayaan Misa Kudus dan Krisma Penguatan”, “Ulang Tahun Keuskupan
Sandakan Ke-12 Peringkat Misi Paitan” dan “Ulang Tahun Kelahiran Bapa Uskup
ke-62”.
Calon
penguatan bergambar bersama Bapa Uskup Julius dan Fr. Thomas di Gereja
St.Francis of Assisi Kg.Sukang, Paitan.
Terdahulu, telah diadakan rekoleksi bagi semua
calon penguatan seluruh Misi Paitan pada 4 dan 5 Oktober 2019 bertempat di
gereja St. Francis Of Assisi Kg. Sukang. Sesi sepanjang rekoleksi ini disampaikan
oleh Rev. Fr. Thomas Makajil, En. Adaris Moses Sintan, Pn. Martina Josiana dan
Katekis Gabriel sebagai persiapan akhir sebelum para calon penguatan menerima
minyak krisma pada 6 Oktober 2019.
Antara aktiviti semasa rekoleksi yang telah dilaksanakan, ialah 4 sesi
katekesis, perkongsian iman, soal jawab, Doa Rosari, pengakuan dan raptai para
calon.
Rev.
Fr. Thomas Makajil memberikan sesi kepada calon penguatan.
Rekoleksi para
calon penguatan berakhir pada 5 Oktober jam 1.30 petang. Aktiviti tidak berakhir begitu sahaja kerana
aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka. Terdapat ramai para calon penguatan serta umat gereja telah mengikuti
acara sukaneka ini. Antara acara
sukaneka ialah Menyumpit Wanita dan Lelaki, Kupas Kelapa, Dart,
Kupas Pinang, Bowling Kelapa, Tiup Tepung dan Tiup Belon. Melalui acara sukaneka ini, hubungan cinta
kasih antara umat gereja di Misi Paitan dapat ditambahkan dan dieratkan lagi.
Acara
mengupas buah kelapa dari KUK
Perayaan ini disemarakkan lagi dengan kedatangan
Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom bersama rombongannya, yakni
Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan pada 5 Oktober 2019. Setelah acara sukaneka selesai dan kedatangan
Yang Mulia Bapa Uskup, aktiviti dilanjutkan dengan upacara menanam buah kelapa
oleh Yang Mulia Bapa Uskup, Paderi, Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan,
Ketua Komuniti Misi Paitan dan para Katekis di tepi kolam ikan St. Francis Of
Assisi. Pada malamnya pula, aktiviti
diteruskan dengan Doa Rosari dan tayangan video rohani bertajuk “Maria Dari
Nazaret”.
Acara
Menanam pokok kelapa di pinggir kolam ikan gereja St. Francis of Assisi
Kg.Sukang oleh Rev. Fr. Thomas Makajil dan Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom
Rombongan Komiti Misi Paitan dari Sandakan bersama dengan
Rev. Fr. Thomas melawat kawasan kolam ikan.
Acara kemuncak adalah pada 6 Oktober
2019 dengan perayaan Ekaristi sempena sambutan hari penaung St. Francis of
Assisi, Kg. Sukang, Misi Paitan dan pemberian sakramen penguatan. Dalam homili Bapa Uskup menyatakan,
“Apabila kita meminta kepada Tuhan, “Tuhan tambahkanlah
iman kami”, seperti para rasul yang turut meminta sedemikian, Tuhan akan
memberikannya bukan mengikut kehendak kita tetapi dengan caraNya sendiri. Kadangkala apa yang kita harapkan kita terima
dari Tuhan, bukan itu yang kita dapat, tetapi lebih baik dari apa yang kita
harapkan. Maka apa yang Tuhan mahukan
daripada kita adalah untuk membahagikan iman itu kepada orang lain. Dan apabila kita memberikan iman itu kepada
orang lain, disitulah pertambahan iman kita, bukan untuk kepentingan kita
sendiri sahaja, juga untuk kepentingan orang lain dan gereja kita.
Menambahkan iman melalui keluarga, tempat kerja dan pelayanan
di gereja. Mungkin kita tidak menyedari pertambahan iman kita sendiri, tetapi
orang lain boleh merasakannya dan melihatnya dalam diri kita.
Doa juga adalah asas pertambahan iman kita, apabila kita
mempunyai hubungan intim dengan Tuhan, maka Tuhan akan mengambil alih akan
kehidupan kita, membimbing kita.
Disitulah kita akan lebih terdorong melakukan kehendak Tuhan dalam
kehidupan seharian kita, membagi iman kita kepada sesama.”
Ketua KUK Misi Paitan – Dr. Welly Pius
Selesai sahaja Misa Kudus dan
penerimaan Sakramen Penguatan, ucapan diteruskan daripada Ketua KUK Misi Paitan, Dr Welly
Pius. Dalam ucapan, beliau sempat berkongsi tentang pengalaman beliau semasa
penguatan, iaitu “penguatan ialah satu landasan atau permulaan untuk menjadi askar
Kristus”. Sekaligus beliau memberikan harapan agar semua umat yang ada di Misi
Paitan bersama-sama menjadi askar Kristus membantu Fr. Thomas untuk mencari
domba-domba yang tersesat dan mereka yang sedang mencuba lari dari keluarga
Kristus.
Seterusnya ucapan daripada Paderi Penguasa Misi
Paitan, Rev Fr Thomas Makajil. Beliau menyatakan kesyukuran kerana perayaan 4 dalam 1 kali ini telah
mengingatkan akan perjuangan semua pihak yang juga membawa untuk terus
berganding bahu. Kejayaan perayaan
kali ini adalah atas kerjasama semua pihak.
Fr Thomas juga menyatakan beliau gembira untuk semua kesibukan itu
kerana dalam kesibukan itu ada kesatuan.
“Kesatuan kita itu haruslah ditunjukkan dalam kolaborasi, kerjasama
antara umat dengan kepimpinan. Ini amat
penting untuk perkembangan gereja di Misi Paitan mahupun gereja sejagat.” Akhir sekali beliau menyatakan, “Kita
bersyukur kepada Bapa Uskup kerana telah datang di tempat ini untuk menjadi kekuatan
bagi kita, kesatuan bagi kita. Selamat menyambut ulang tahun kepada Bapa Uskup,
Selamat menyambut ulang tahun kepada Diosis Sandakan dan Selamat menyambut Hari
Pesta Santo Penaung kita Francis of Assisi Sukang.”
Dalam ucapan Bapa Uskup pula, beliau mengucapkan tahniah kpd Fr.
Thomas kerana telah berjaya menjayakan perayaan ini, sekaligus menggalakkan,
mendorong setiap umat untuk mempunyai
semangat Santo Francis, yang setiap hari
dengan rendah hati membawa orang kepada Kristus. “Maka dengan semangat ini, marilah kita
bekerjasama di peringkat kampung, di peringkat komuniti kita, di mana pun kita
berada dan kerjasama dengan paderi paroki kita.
Itulah semangat St Francis, senantiasa bekerjasama dengan pihak pimpinan.
Kemajuan kita di sini ditentukan dengan adanya kerjasama di antara pemimpin-pemimpin,
umat dan paderi penguasa di sini.”
Acara
pemotongan kek sempena Hari Jadi Keuskupan Sandakan dan Hari Jadi Bapa Uskup.
Sumbangan ‘surprise’ berupa sebuah kereta pacuan
empat roda kepada paderi penguasa Misi Paitan Rev. Fr. Thomas Makajil.
Persembahan koir dan tarian daripada KWK dan KBK Misi
Paitan.
Acara diteruskan dengan sesi
bergambar bersama Bapa Uskup, Paderi, Katekis dan para calon yang baru sahaja
menerima penguatan dan acara diteruskan di dewan terbuka gereja dengan
pemotongan kek hari jadi Keuskupan Sandakan dan hari jadi Bapa Uskup dan juga
pelancaran logo Misi Paitan. Seterusnya, jamuan makan tengahari bersama bapa
uskup, paderi dan umat misi paitan. Semasa acara berlangsung, umat disajikan
dengan persembahan daripada KWK, KBK, PMG dan calon penguatan. Acara juga turut
diserikan lagi dengan kemeriahan hadiah ‘surprise’ kepada paderi
penguasa Misi Paitan berupa sebuah kereta Hilux oleh Komiti Misi Paitan
Sandakan. Dalam pada masa yang sama acara selingan cabutan tiket bertuah turut
berlangsung. Acara berakhir pada jam 5.00 petang dengan doa penutup dan gotong
– royong pembersihan.