Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 4, 2018

YOUTH CAMP 3 - “PANGGILAN DAN PILIHAN”

TELUPID - St. Paul Rumidi Pinunakan, Zon Jalan Nangoh yang bernanung di bawah Paroki St. Martin Telupid telah berjaya menganjurkan Youth Camp kali ke-3. Youth Camp ini merupakan program tahunan belia Zon Jalan Nangoh yang telah dimulakan sejak dua tahun yang lalu(2016) secara bergilir mengikut tuan rumah yang telah dicabut undi oleh Rev Fr Jasery G. Emanuel.

Program yang bertemakan “Panggilan dan Pilihan” (2 Petrus 1:10) telah dijalankan bermula pada 22 sehingga 25 Ogos 2018 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 148 belia telah mejayakan program ini yang terdiri daripada 115 orang peserta dan 33 Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJP).

Penyertaan Youth Camp 3 pada kali ini begitu unik kerana bukan sahaja disertai lengkap dari 7 buah chapel dalam Zon Jalan Nangoh, tetapi juga menerima penyertaan belia daripada Paroki Telupid, Misi Paitan dan Sandakan.

Gambar kenangan bersama Rev. Fr. Stanley William Matakim, Pembantu Rektor Paroki Telupid
Antara objektif YC3 pada kali ini, ialah memberi pendedahan kepada belia akan pentingnya mengambil bahagian dalam apa juga pelayanan, mengeratkan silaturahim dengan menjalinkan kerjasama dalam kalangan peserta serta pemimpin gereja dan membentuk belia yang berani menjadi seorang pemimpin dan pelayan di ladang Tuhan.

Program bermula dengan pendaftaran peserta, Doa Rosari di Grotto gereja dan Misa Kudus Pembukaan oleh Rev Fr Stanley William.  Seterusnya ialah sesi ice breaking dan games.  Pada sebelah malam, sesi pembuka tirai Youth Camp 3 iaitu Opening Ceremony yang merangkumi sesi pujian dan penyembahan.

Hari kedua dimulakan dengan doa pagi iaitu Doa Bersama Alam dan senamrobik. Pada sebelah pagi, para peserta dikenyangkan dengan sesi ceramah daripada Koordinator Belia Keuskupan Sandakan, iaitu Anna Teresa Peter Amandus dan Katekis Gabriel Sundang.  Salah satu pertanyaan yang menyentak para belia, ialah “Siapakah Yesus itu bagi kamu?”, oleh Anna Teresa, manakala dalam sesi Katekis Gabriel pula, para belia didedahkan tentang jenis-jenis panggilan.  Selain itu, para belia juga didedahkan dengan pengetahuan liturgi yang disampaikan oleh wakil daripada Komiti Liturgi Zon Jalan Nangoh, iaitu Pn. Rekha Jubun.

Para penyampai sesi di hari kedua
Pada sebelah petang pula, para belia menjalani dua sesi Faith Workout, yang pertama “Bertemu dan Mencari Tuhan dalam Diri” dan kedua, “Pangggilan dan Pilihan”.  Dalam sesi Faith Workout yang pertama, para belia membuat perkongsian firman Tuhan secara berkumpulan.  Kemudian, mereka berjalan ke stesen kedua yang mana mereka melihat cermin, dan merenungkan bahawa diri mereka sendiri juga merupakan gambaran wajah Allah itu sendiri.  Di stesen ketiga, secara individu para belia memikul salib dan berjalan sambil berlutut bermula dari pintu depan gereja sehingga ke salib besar di bahagian altar gereja.  Bagi sesi Faith Workout yang kedua pula, secara berkumpulan belia didedahkan dengan aktiviti duniawi, iaitu menari dan menyanyi sebebas-bebasnya dan kemudiannya mereka melakonkan realiti cabaran kehidupan belia berdasarkan kad yang diberi.  Di stesen ketiga mereka diberi bermacam-macam persoalan tentang panggilan dan pilihan yang telah mereka lakukan. Antara soalan yang diberikan, ialah “Adakah panggilan dan pilihan kamu setakat ini sudah 100% atau 50%?”.

Sesi bertemu dan mencari Tuhan dalam diri
Pada sebelah malam, merupakan sesi Faith Workout ketiga, iaitu “Holy Room”.  Dalam sesi ini, para belia membuat pilihan antara dua jalan secara individu.  Iman dan pilihan mereka sendiri yang akan menentukan jika mereka menemukan Salib Yesus dan berdoa di altar ataupun berputus asa.  Dalam sesi ini, kebanyakkan belia yang menemukan Salib Yesus merasakan sentuhan termasuk belia yang berumur 11 tahun.  Terdapat juga belia yang berputus asa dan berpatah balik.  “Apapun jalan yang dipilih jika kita mengandalkan Tuhan pasti pilihan itu tepat.”, oleh Winna Tony selaku pengendali utama sesi ini. Namun, apapun kesudahan secara individu dalam sesi ini merupakan pengalaman, sentuhan dan iktibar yang dapat dibawa oleh para belia dalam kehidupan sebenar sehari-hari.

Sesi 'Holy Room'
Di hari ketiga YC 3, dimulakan dengan doa pagi dalam bentuk Body Prayer, bacaan doa mazmur dan senamrobik.  kemudiannya disusuli dengan games dan seterusnya sesi perkongsian oleh Anna Teresa bersama tim, “Why Me?”. Sesi  perkongsian diteruskan dengan tajuk “Harga Cinta Kasih” oleh Cikgu Kevin Amit dan dmantapkan dengan perkongsian mengenai “Pesan Pope Francis” daripada Ketua Belia Zon Jalan Nangoh, iaitu Saudara Fandy Dahalan. 

Body Prayer dan Senam Robik
Sesi ceramah dan perkongsian di hari ketiga
Pada sebelah petang, para belia menjalani sesi Faith Workout keempat dan kelima.  Faith Workout ke-4 merupakan pengetahuan tentang salah satu Santo Penaung Belia Katolik, iaitu Santo Aloysius Gonzaga.  Sesi ini dijalankan dengan tayangan video dan kuiz berkumpulan.  Seterusnya, Faith Workout ke-5 pula ialah “Memikul Salib Kehidupan”.  Dalam sesi ini, para belia memikul salib yang berukuran 9 kaki 8 inci, tinggi dan 8 kaki lebar.  Para belia memikul salib ini bermula dari kawasan kebun sawit kampung dan menaiki bukit sehingga ke chapel St Paul Rumidi.  Walaupun dalam cuaca yang hujan, namun sesi ini tetap diteruskan dengan keimanan akan kemenangan Kristus di atas kayu salib.  Firman yang diambil dari Matius 10 :38, iaitu “Barangsiapa tidak memikul salibnya dan mengikuti Aku, ia tidak layak bagiku.” menjadi peneguhan kepada para belia semasa menjalankan sesi ini.  Setibanya para belia di chapel, semua ketua kumpulan membunyikan loceng kemenangan dan masuk ke dalam chapel.  Para belia yang tiba disambut dengan lagu penyembahan Hosanna oleh pemimpin penyembahan dan penari rebana.


Acara kemuncak, ialah pada malam hari ketiga dengan sesi Faith Workout ke-6, iaitu sesi “Doa Pengampunan”.  Dalam sesi ini para belia akan merenungkan sepanjang kehidupan mereka secara peribadi.  Sepanjang sesi ini berjalan, para AJP yang terlibat menyanyikan lagu sambil mengungkapkan kata-kata bimbingan kepada para belia agar mereka dapat mengingat, menyedari dan mengampuni apapun keadaan jalan kehidupan yang mereka alami selama ini.  Selesai sahaja sesi doa pengampunan, merupakan aktiviti perdamaian sesama di mana semua AJP dan para belia bersalaman dan ditutup dengan Talithakum.

Sesi doa dan pengampunan
Talithakum
Pada hari terakhir, sesi perkongsian, evaluasi dan ibadat sabda penutup oleh Katekis Ronnie Elis dijalankan.  Setelah itu, acara penutup tirai berlangsung di khemah kanopi, iaitu persembahan suku bangsa daripada semua kumpulan termasuk AJP, penyampaian sijil bagi para peserta, penyampaian anugerah bagi peserta terbaik lelaki/perempuan dan kumpulan terbaik, penyampaian sijil penghargaan bagi AJP yang terlibat dan cabutan undi tuan rumah yang akan datang.

Gambar kenangan bersama peserta YC 3 dan para AJP

Berikut merupakan harapan AJP untuk Youth Camp yang ke-4 yang akan diadakan di St. Paul Bambangan.

Harapan saya pada Youth Camp kali ke-4 pada tahun hadapan, ialah kita dapat menghasilkan satu program yang dapat menghasilkan belia yang mampu berfikir secara kritikal dalam apa jua situasi yang mereka hadapi dengan mempersiapkan diri mereka dengan elemen-elemen yang penting dalam kemahiran, jati diri, ilmu pengetahuan dan kerohanian dalam menghadapi cabaran harian.

Saya juga berharap YC-4 akan datang dapat membawa para belia belajar significant life skill agar mereka senantiasa berkeyakinan dan bersemangat komited melalui penerapan dalam program kerohanian. Hal ini demikian kerana, initipati keimanan adalah amat penting untuk mengukuhkan iman mereka.

Maka dengan itu, program yang akan datang, kita dapat membawa para belia menilai kemahiran dan kualiti mereka, mempertimbangkan, merealisasikan serta memaksimumkan potensi mereka.  Perkara ini sangatlah mencabar bagi para AJP YC-4 untuk melaksanakannya kerana kita mahu memberi inspirasi gaya hidup belia masa kini dan menjadi segala-galanya apa yang mereka kehendaki berdasarkan Ajaran Gereja Katolik. Amin. - AJP Velleyroy

Harapan saya untuk YC4 yang akan datang, ialah agar selepas para belia yang mengikuti YC4 mendapat kesedaran bahawa seluruh aspek kehidupan diri sendiri adalah pelayanan untuk Tuhan serta dapat menjiwai perjalanan hidup diri sendiri berlandaskan Firman Tuhan pada masa kini.  Dapat membentuk keperibadian belia yang tahu membuat keputusan berdasarkan kehendak Tuhan dalam cabaran masa kini.  - AJP Louissa

Harapan saya semoga para belia yang 'ensem - ensem' dan cantik - cantik ini, tetap teguh dalam iman Katolik dan setia dalam pelayanan apa pun di ladang Tuhan yang sangat luas. Saya harap para belia menjadi setia untuk memikul salib kehidupan sehingga ke GARISAN PENAMAT. Selain itu, saya juga berharap agar para belia berani untuk melangkah dan menyahut tawaran dan panggilan Tuhan. Sebab tuaian-Nya memang banyak tetapi pekerja-Nya hanya sedikit. Tuhan sungguh memerlukan pekerja di ladang-Nya. Maka, DENGARKANLAH PANGGILANNYA kerana belia sangat penting dalam menerusi legasi GEREJA masa akan datang. Semoga para belia dapat menjadi sebuah KOMUNITI BERPUSATKAN KRISTUS MELAYANI SESAMA DENGAN KASIH. - AJP Fandy

1 comment:

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent