Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 27, 2018

LET'S UNITE CAMP 5.0


SANDAKAN: Pada 23 sehingga 26 Ogos 2018 yang lalu, program tahunan Kerasulan Belia Paroki St Mary, Sandakan kini kembali dengan wajah baru, Let's Unite Camp (LUC). Ia merupakan kesinambungan daripada program Unite Camp yang telah dianjurkan sebelum ini. Program empat hari ini telah disertai seramai 105 belia Paroki Sandakan. Turut serta dalam kem ini adalah beberapa belia dari Paroki Tawau, Paroki Lahad Datu, Paroki Beluran dan Paroki Telupid. Program Let's Unite Camp kali ke 5 ini telah diadakan buat pertama kalinya di Gereja St Mark Batu 12. 

Tema yang diketengah pada tahun ini diambil dari 1 Korintus 1: 10 "Tetapi aku menasihatkan kamu, saudara - saudara, demi nama Tuhan kita Yesus Kristus, supaya kamu seia sekata dan jangan ada perpecahan di antara kamu, tetapi sebaliknya supaya kamu erat bersatu dan sehati sepikir. " 

Objektif utama LUC adalah untuk menyatukan belia Paroki Sandakan dengan mendalami dan berkongsi iman seiring dengan Visi dan Misi Keuskupan serta mengenali Tuhan dengan lebih dekat melalui perantaraan Bonda Maria sebagai Santa penaung Gereja. Ini merupakan satu panggilan kepada para belia untuk menyahut seruan Visi dan Misi Keuskupan dan menghidupi ajaran-Nya.

Program - program LUC telah diatur dan dibentuk oleh Tim Program yang dipimpin oleh saudari Daphney Valarie Vitalis dan antara yang dijemput untuk menyampaikan sesi dan perkongsian adalah Rev. Fr. David Garaman, Sr. Regina Kimung fsic, Saudara Adaris Moses Sintan dan saudari Anna Teresa Peter Amandus. Turut menyampaikan perkongsian adalah ahli - ahli penganjur itu sendiri seperti Cristopher Aban selaku Kordinator Program LUC, saudari Airene A. Gumanas, Saudara Fradely Brandon Amigo dan Saudari Daphney.



Hari pertama LUC telah dimulakan dengan Misa Pembukaan yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David Garaman selaku Paderi Paroki, merangkap Penasihat Rohani bagi Kerasulan Belia Paroki bersama dengan Rev. Fr. Christopher Ireneus. Dalam homilinya, Rev. Fr. David berharap bahawa para peserta akan dapat menerima sesuatu yang baik dari program LUC dan dibawa serta diadaptasikan di dalam kehidupan seharian mereka selepas LUC. Dengan nada gurauan namun penuh bermakna, Rev. Fr. David percaya bahawa pasti ada beberapa peserta yang 'mengandung' selepas selesai program ini. Mengandung disini bererti mengandung secara rohani dengan memperolehi iman dan kehidupan yang baru dan seterusnya dapat membantu peserta dalam pelayanan mereka kelak.

Selesai sahaja misa, para peserta telah dialu - alukan melalui sesi Welcoming Night. Para peserta diajak untuk berkenalan antara satu dengan yang lain secara berkumpulan melalui aktiviti - aktiviti yang boleh  membantu dalam mengeratkan persahabatan antara satu dengan yang lain dan sesi hari pertama diakhiri dengan doa malam.



Hari kedua LUC diteruskan dengan Misa harian sebagai pembuka hari yang telah diadakan seawal jam 6.00 pagi. Misa ini telah diselebrankan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus. Beliau mengongsikan dalam homilinya, tentang kepentingan bagi seorang belia untuk mendekati diri dengan Tuhan. Ini supaya hidup lebih bermakna dan iman semakin teguh.



Sesi 1 dihari kedua iaitu 'Realiti' telah disampaikan oleh saudari Daphney. Dalam sesi ini, para peserta diajak untuk melihat realiti - realiti masyarakat yang sedang berlaku, terutama sekali di zaman millenial ini dan bagaimana teknologi canggih dan media sosial telah mempengaruhi para belia. Meskipun ada kebaikan yang diberikan oleh arus kemodenan namun, mengapa para belia jatuh dalam arus ini. Malah belia sering dikaitkan dengan kes pembuangan bayi, mengandung diusia yang muda, pengaruh dan keterlibatan dalam Dadah dan pemerdagangan manusia. Selain itu kes yang sering kali di dengar adalah tekanan hidup dan depresi sehingga menyebabkan seseorang itu boleh mengambil keputusan untuk membunuh diri. Mengapa ini berlaku? Bagaimana ini boleh berlaku? 

Para belia kemudiannya perlahan - lahan dibawa untuk lebih merenung mengapa realiti diatas berlaku melalui sesi 2 iaitu 'Keluarga' yang disampaikan oleh Saudara Adaris Moses Sintan. Dalam sesinya, saudara Adaris mengongsikan bahawa keluarga adalah gereja yang kecil, strategik dan istimewa. Semoga dengan sesi ini para peserta dapat melihat betapa pentingnya keluarga dalam membendung dari realiti - realiti diatas berlaku. 

Sesi diteruskan dengan sesi ketiga dengan membawa para peserta untuk melihat kepada diri sendiri dan bagaimana mereka juga secara tidak langsung berkait dengan realiti - realiti yang disebut diatas. Dalam sesi renungan ini, saudari Daphney telah mengajak para peserta untuk menulis surat kepada Yesus tentang diri mereka. Surat ini akan dibawa ke doa Taze pada malamnya.

Disebelah petang, hari kedua diteruskan dengan 'Who is Mother Mary?', sesi ke 4 yang telah disampaikan oleh Sr. Regina Kimung, fsic. Dalam sesi ini, para peserta dikongsikan tentang kesetiaan, kesabaran dan kepercayaan Bonda Maria kepada Tuhan telah mengubah sejarah dunia dengan mengatakan 'Aku ini hamba Tuhan, terjadi padaku menurut perkataan-Mu'. Inilah yang diharapkan kepada para peserta agar mempelajari dan mengikuti contoh serta ciri - cirinya terutama sekali apabila berhadapan dengan cabaran dunia. Selain itu, Sr. Regina juga telah mengongsikan kepada para peserta pesan - pesan Bapa Suci Fransiskus yang membezakan rancangan Tuhan yang ada di dalam kehidupan. Setelah menerima input secara rohaniah, para peserta disajikan dengan aktiviti luar (outdoor games). Aktiviti yang lasak dan mencabar amat disukai oleh para belia. Melalui aktiviti ini, mereka lebih akrab dan bersatu.




Hari kedua LUC diakhiri dengan doa Taize. Doa ini membawa peserta untuk merenung dari sejak sesi pagi sehinggalah sesi Bonda Maria. Setiap belia diberi peluang untuk menyatakan harapan mereka masing - masing terhadap realiti yang sedang membelenggu masyarakat masa kini dan pada masa yang sama merenung akan sifat - sifat Bonda Maria. Para belia juga diakhir doa Taize menyerahkan surat yang mereka tulis kepada Yesus  ke dalam kotak yang disediakan dan mendoakan permohonan mereka dan saling berdamai antara satu dengan yang lain.



Pada hari ketiga LUC, para peserta dibawa dalam sesi Road to Emmaus seawal 4.30 pagi. Peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan besar dengan diiringi oleh fasilitator - fasilitator yang sudah lebih dulu melalui sesi ini semasa persiapan rohani pada 29 Julai 2018 yang lalu. Road to Emmaus ini telah dikaitkan dengan tujuh Sakramen dan bagaimana setiap peserta dibawa dalam merenungi panggilan mereka disetiap stesen. Semua sakramen merupakan pertemuan dengan Kristus, di mana Dia sendiri adalah sakramen asal (original). Pembaptisan menyertakan kita dengan Tuhan, Penguatan memberikan kita Roh-Nya, Ekaristi menyatukan kita dengan Kristus dan Pengakuan memberikan perdamaian dengan Kristus. Manakala Pengurapan orang sakit - Kristus menyembuhkan, menguatkan dan memberi damai. Dalam sakramen Perkahwinan, Kristus menjanjikan cinta -Nya dalam cinta kita dan kesucian-Nya dalam kesucian kita. Akhir sekali sakramen Imamat, paderi mempunyai keistimewaan untuk mengampuni dosa dan merayakan Misa Korban yang kudus. Aktiviti Road to Emmaus ini di teruskan dengan Misa sempena Pesta Santo Bartholomeow yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David Garaman. 


"Bukankah hati kita berkobar - kobar, ketika Ia berbicara dengan kita di tengah jalan dan ketika Ia menerangkan Kitab Suci kepada kita?" Lukas 24:32




Sesi Road to Emmaus diakhiri dengan renungan dan perkongsian dalam kumpulan kecil. Masing - masing mengongsikan apa yang paling menyentuh bagi mereka disepanjang Perjalanan ke Emaus itu. Semoga mereka dapat mengenali Yesus melalui sesi ini dan seperti Yesus, menjadi sakramen kepada orang lain yang memerlukan.

Apabila para belia mulai memahami peranan mereka sebagai di orang di Baptis melalui aktiviti Road to Emmaus, kini belia dikongsikan bahawa apabila melakukan pelayanan, mereka harus jangan takut kerana Tuhan yang memanggil mereka tidak pernah akan meninggalkan mereka malah mengutus orang - orang untuk berjalan bersama dengan mereka. Pengertian ini dilakukan melalui aktiviti "I fall, You Catch". Realitinya, semua orang memerlukan sokongan lebih - lebih lagi di saat yang penuh dengan kesukaran hidup dan dalam aktiviti ini, para peserta juga dingatkan untuk belajar to let go and let God berkarya di dalam kehidupan dan pelayanan masing - masing.



Segala pengalaman yang dialami sejak hari pertama LUC di kongsikan dalam sesi Proses dan Sintesis yang di kendalikan oelh Saudari Anna. Dalam sesi ini para peserta dibawa untuk mengimbas semuala pengalaman dari hari pertama dan perlahan - lahan memproses sesi atau aktiviti yang dijalankan dan bagaimana ia memberi kesan kepada iman dna kepribadian mereka masing - masing. Diakhir sesi, saudari Anna menyatakan bahawa dunia tetap akan berubah namun Yesus tetap ada baik hari kelmarin, hari ini dan selamanya. Maka para peserta diseru untuk terus mencari dan menyatakan 'Iya' kepada Yesus setiap hari kerana Dia yang memungkinkan segala hal. Mungkin pada program LUC kali ini, ada diantara para peserta yang masih belum faham akan panggilan Tuhan bagi mereka, namun percaya sahaja bahawa 'biji benih' iman yang di tanam di hati melalui sesi di LUC boleh bertumbuh dan menghasilkan buah yang baik sekiranya ia terus dijaga dengan doa dan Firman Tuhan dan di segarkan dengan pelayanan kepada orang lain.

Acara kemuncak program Let's Unite Camp adalah Malam Tematik bertemakan 'One Heart'. Setiap kumpulan telah diberikan tugasan untuk membuat persembahan secara katekisis yang berdasarkan kepada tema kecil yang di beri. Semua tema ini tertuju kepada menyahut seruan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan iaitu menjadi Komuniti yang berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan Kasih.





LUC pada hari terakhir telah dimulakan dengan doa Pagi Ibadat Harian hari Minggu biasa yang dipimpin oleh Saudari Airene. Sesi seterusnya adalah sesi peneguhan oleh Rev. Fr. David Garaman yang menyentuh berkenaan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan. Sekali lagi para belia diingatkan dari hari pertama mereka telah dikongsikan dengan realiti - realiti masyarakat, kemudian realiti keluarga sehingga membawa peserta merenung dan melihat kepada diri sendiri. Untuk mengatasi realiti - realiti ini para belia harus bersatu dengan Gereja, membuang ego dan hati yang busuk agar cinta kasih antara sesama dapat dicapai. Bukan senang namun harus jangan putus asa untuk mencuba mencapai kesatuan kerana Yesus adalah Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik. Para belia merupakan harapan untuk meneruskan legasi Yesus di dunia ini.

Selesai sahaja sesi peneguhan, para peserta berkumpul untuk merayakan Misa penutup bagi Program LUC yang ke -5 ini. Rev. Fr. David Garaman mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada semua orang yang terlibat secara langsung dan tidak lansung untuk menjayakan program ini, terutama sekali kepada umat Gereja St Mark. Turut memberikan kata - kata penghargaan adalah Kordinator Kerasulan Belia Paroki St Mary Sandakan iaitu Saudari Miriam Lee kepada semua tim penganjur dan peserta.


What's Next?: Penanaman benih dan menjaga tanaman dengan baik sama seperti kehendaknya dengan menjaga iman agar sentiasa bertumbuh dengan baik.


Sesi seterusnya adalah sesi evaluasi yang di kendalikan oleh saudari Airene dan diteruskan dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan gereja yang diketuai oleh saudara Alday Alexius. Di pengakhir program, Pembantu Kordinator Kerasulan Belia Paroki Katedral St Mary, Sandakan iaitu saudara Cristopher Aban membawa para peserta untuk sesi 'What's Next?'. Dalam sesi ini para peserta digalakkan untuk terus mengikuti dan menyertai apa sahaja program anjuran Kerasulan Belia Paroki dan anjuran Paroki untuk meneruskan pertumbuhan iman di dalam mereka dan melalui penglibatan ini, para belia LUC diharapkan dapat terbuka hati untuk melayani di dalam Gereja. 

Semoga Tuhan memberkati dan bertemu lagi di program belia akan datang!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent