Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 7, 2018

Menemukan Sukacita bagi Pelayanan Kasih - GIFT Mission Trip ke Lahad Datu

Pada 08hb – 20hb Ogos 2018, Paroki St. Dominic Lahad Datu telah menerima kunjungan 7 orang pelajar IPTA yang ingin menjalankan misi mereka iaitu untuk mengenali dengan lebih dekat akan kehidupan para migran di daerah ini terutamanya di paroki ini sendiri. 

Growing in Faith Together atau lebih dikenali sebagai GIFT merupakan persatuan pelajar Kristian UTM JB yang berada dibawah penjagaan Catholic Student Society, Diocese of Melaka-Johor. 7 orang pelajar ini terdiri daripada 6 orang pelajar UTM Johor Bahru dan seorang pelajar UiTM Shah Alam dan diketuai oleh Karen Chan, Jason Bryan dan Ozwayle Chin. Mereka juga turut digelar sebagai GIFTers.

Mereka tiba di Lahad Datu pada petang 08.08.2018 dan diteruskan dengan Welcoming Fellowship yang bermula pada 8.00 mlm. Fellowship ini turut dihadiri oleh Rev. Fr. Simon Kontou, Rektor Paroki St. Dominic , ahli-ahli komiti seperti Majlis Pastoral Paroki (MPP), Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP), Tinimungan Umat Kadazan Dusun (TUKAD), Komiti Pastoral Indonesia (KPI) dan Filipino Pastoral Committee (FPC). Fellowship ini diadakan untuk mengalu-alukan kedatangan GIFTers dan juga supaya kedua-dua pihak dapat mengenali dengan lebih mendalam antara satu sama yang lain sebelum mereka meneruskan misi mereka. Pada masa ini juga Sdri. Maureen, ahli tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) turut menerangkan dengan lebih lanjut kepada hadirin mengenai jadual aktiviti mereka sepanjang berada di Lahad Datu.

Pada 09.08.2018 mereka menggunakan masa sehari untuk orientasi bagi GIFTers agar mereka lebih bersedia dalam menjalankan aktiviti pada hari-hari seterusnya. Pada 10.08.2018 pula, tim KPIP yang terdiri daripada Sdra. Kletus Muyuk, Sdra. Aloysius Alo Lein dan Sdra. Rayner Guntingan memberikan perkongsian dan taklimat mengenai latar belakang migran di paroki ini seperti kedatangan mereka ke Sabah dan juga fungsi Komiti Kristian Dasar (KKD) dalam membantu mereka. Pada sebelah petang, mereka mengambil sedikit masa untuk berkumpul dengan belia yang masih bersekolah untuk mengadakan sesi berdialog. Mereka saling bersoal jawab dan membuat perkongsian mengenai kehidupan di peringkat pengajian. Melalui sesi ini, para belia berasa semangat dan penuh motivasi untuk menyambung pelajaran mereka selepas SPM. GIFTers juga mendermakan buku-buku rujukan kepada para belia. Sesi diteruskan dengan aktiviti riadah petang bersama para belia yang dikendalikan oleh Pelayan Altar St. Dominic.

Misi mereka bermula pada Sabtu 11.08.2018 dengan mengunjungi outstasi St. Simon, Putatan yang menempatkan penduduk yang majoriti berasal dari Indonesia. Sesi mereka terbahagi kepada 2 iaitu sesi bersama anak-anak migran dimana GIFTers meluangkan masa bersama mereka dengan bermain permainan dan juga melukis ‘7 days of Creation’ dan sesi bersama migran itu sendiri. Melalui sesi bersama migran, mereka telah mendengar perkongsian daripada migran mengenai kehidupan mereka sebelum dan sesudah wujudnya KKD.  Pada sebelah petang pula mereka bertolak ke KKD St. Juan, Silam untuk menghadiri Sunset Mass di Our Lady of Pillar Chapel dan seterusnya mengadakan sesi bersama para belia Silam. KKD ini menempatkan ramai umat yang berbangsa Filipino. Pada masa itu juga mereka ditempatkan dirumah keluarga angkat untuk bermalam semalam.

Keesokan paginya, pada 12.08.2018, GIFTers berpeluang untuk mengajar anak-anak di sekolah minggu. Ozwayle dan Healice diberikan peluang untuk mengajar mengenai Ekaristi kepada anak-anak yang berumur 12 tahun ke bawah, manakala Karen, Worldey dan Jason mengajar kelas Penguatan dengan topik mengenai pertaubatan.

Pada sebelah petang,  GIFTers telah bertolak ke outstasi St. Michael, Lam Soon Plantation (LSP, sebuah ladang kelapa sawit) untuk aktiviti seterusnya. Mereka telah menetap di LSP selama 3 hari 2 malam. Sepanjang mereka berada disana, mereka telah meluangkan masa bersama anak-anak migran yang bersekolah di Community Learning Center (CLC) dengan mengajar mereka Matematik, bahasa Inggeris, Sains dan juga menyanyi. Sekolah ini disediakan oleh kerajaan Indonesia. Anak-anak ini bukan sahaja terdiri daripada umat Kristian, tetapi juga mereka yang berlainan agama. GIFTers juga turut mengadakan sesi bersama-sama migran yang bekerja diladang ini. Mereka telah mengongsikan cabaran hidup mereka dari segi pengurusan dokumen yang sah dan juga hak untuk mendapatkan pendidikan.

Pada 14.08.2018, GIFTers bertolak ke outstasi St. Anthony, Batu 18 Jalan Sandakan yang juga turut menempatkan ramai migran Indonesia yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit sekitar St. Anthony. Umat yang hadir telah dipecahkan kepada 3 kumpulan iaitu kanak-kanak, belia dan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, GIFTers bercerita tentang Kejadian Dunia dan mengajak mereka menterjemahkannya dalam lukisan manakala bagi kumpulan belia dan orang dewasa, GIFTers membawa mereka berkongsi dan seterusnya mengajar mereka membuat Rosary daripada benang.

Sebelah petang 14.08.2018 GIFTers telah dibahagikan kepada 3 KKD yang terpilih iaitu KKD St. Christopher (Tmn. Warisan), KKD St. Julius (Kg. Wawasan) dan KKD St. Yakobus (Jln. Dam). Mereka tinggal di KKD ini selama 2 hari dan 2 malam. Sepanjang mereka berada di KKD, mereka berpeluang untuk merasakan kehidupan para migran yang tinggal di kawasan bandar khususnya. Mereka juga saling berkongsi pengalaman hidup bersama penduduk KKD.

Farewell Party turut diadakan pada malam 17.08.2018, iaitu di penghujung program misi mereka dan dihadiri oleh Fr. Simon Kontou serta ahli komiti gereja yang lain. GIFTers mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai pengalaman mereka sepanjang berada di Lahad Datu.

Karen berkata melalui misi ini beliau dapat mengetahui akan realiti kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh para migran tetapi beliau sedar bahawa para migran ini tetap teguh dan kuat kerana iman mereka kepada Tuhan meyakinkan mereka bahawa semuanya akan berjalan dengan baik. Worldey pula berkata bahawa beliau datang ke Lahad Datu dengan kerisauan kerana khabar angin yang selalu didengar tetapi setelah berjumpa dengan umat Paroki Lahad Datu, persepsi beliau mengenai Lahad Datu 100% berubah. Beliau berharap agar pengalaman yang mereka dapat daripada misi ini akan dapat dikongsikan kepada semua agar persepsi negatif terhadap para migran dapat diubah.  

Fr. Simon turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para GIFTers kerana berani menyahut cabaran untuk datang dan merasai sendiri hidup di Lahad Datu.

Kemuncak misi GIFTers adalah menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun Republik Indonesia yang ke-73 yang diadakan pada 19.08.2018 dan dirasmikan oleh Bapa Uskup Vincentius Sensi Potokota dari Keuskupan Agung Ende, Indonesia. Melalui sambutan ini, GIFTers dapat menyaksikan sendiri kesatuan umat paroki St. Dominic Lahad Datu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang turut terlibat sama dalam menjayakan sambutan ini. 

Oleh:
Tim KBP St. Dominic, LD

Dibawah merupakan sudutan aktiviti yang dilakukan sepanjang mis berada di Lahad Datu:

Sesi bersama anak-anak migran di St. Simon, Putatan

Kesempatan untuk mengajar dalam Sunday School di Our Lady of Pillar Chapel, Silam

Sesi bersama pelajar CLC Lam Soon Plantation

Sesi bersama pelajar CLC Lam Soon Plantation

Sesi bersama pelajar CLC Lam Soon Plantation

Dialog bersama para migran yang bekerja di Lam Soon Plantation

GIFTers mengajar belia di St. Anthony Chapel, Batu 18 Jln Sandakan untuk membuang Rosary daripada benang

Anak-anak migran dari St. Anthony Chapel, Batu 18

Meluangkan masa bersama warga tua yang tinggal di KKD Tmn. Warisan 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent