Artikel oleh Elton Susanto
Gambar oleh Dominggus, Maria, Farnandes, Matius, Lily dan Jaymar
St. Dominic Lahad Datu - Perayaan Hari
Ulang Tahun Republik Indonesia yang jatuh pada tanggal 17 ogos setiap tahun, telah
disambut pada 20 Ogos tahun ini oleh umat paroki St. Dominic. Sambutan kali ini
sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelumnya dimana ia di sambut dalam dua acara
besar iaitu Konsert Fajar Band pada 19 Ogos 2017 yang diundang khas dari
Flores, NTT dan Misa Kudus Kesyukuran pada 20 Ogos 2017.
Kira-kira setahun yang lalu, komiti penganjur
sambutan HUT RI ke-72 iaitu “Komiti
Pastoral Indonesia” (KPI) telah merancang untuk menjemput sebuah kumpulan band
dari Flores untuk memeriahkan sambutan perayaan sekaligus menjana dana bagi
pembangunan Dewan Ibadat yang baru Gereja St. Dominic. Cadangan dibawa mesyuarat
oleh Ketua KPI, saudara Petrus Dalu bersama Rektor Paroki iaitu Fr. Simon
Kontou untuk meminta pendapat dari beliau. Setelah mendapat keizinan Rektor
Paroki, Komiti KPI terus mengadakan mesyuarat untuk meneruskan rancangan ini.
Akhirnya, melalui kesepakatan bersama
Paroki St. Dominic, Komiti Pastoral Indonesia dan Komisi Pastoral Migran &
Perantau Keuskupan Larantuka yang diwakili Romo Lukas telah memaklumkan bahwa
beliau akan membawa sekumpulan band dari Flores iaitu Fajar Band (FB) untuk
datang dan mengadakan konsert sambutan Hari Ulang Tahun Republik Indonesia di Lahad Datu.
Konsert yang berlangsung lebih kurang 5 jam dihadiri
lebih kurang 1500 umat. Acara dimulakan dengan doa yang dipimpin oleh Rektor
paroki, Fr. Simon Kontou seterusnya memberikan kata-kata sokongan beliau kepada
acara ini. Pelbagai lagu telah didendangkan oleh kumpulan band
ini termasuk lagu Tagalog serta kadazandusun. Selain itu, lagu-lagu khas Flores
juga dinyanyikan.
Kemeriahan sambutan hari ulang tahun mencapai puncak
keesokan harinya 20 Ogos 2017 dalam perayaan Misa Kudus Kesyukuran.
Dalam homili, Romo Lukas berkata: "Gereja adalah ibu dan juga rumah kita bersama, kemanapun kita
merantau, jangan lupa pada ‘Ibu’ kita, jangan lupa pada ‘Rumah' kita. Harus
bersama-sama menjaga keharmonian diantara semua umat gereja yang berbilang
bangsa, kerjasama dan saling menghargai serta menyayangi satu sama lain. Syukur
atas kemerdekaan yang kita capai selama ini dan sebagai umat perantau, kita
bersyukur kepada Paroki ini yang memberi kesempatan bagi kita untuk menyambut Ulang Tahun Republik Indonesia disini".
Sebelum menerima berkat penutup, Romo Lukas, Fr. Simon
dan Pengerusi KPI sekali lagi diberi kesempatan untuk memberikan sedikit ucapan.
Dalam ucapannya, Romo Lukas merakamkan syukur kepada
Paderi Paroki, semua umat tempatan dan semua komiti yang ada di Paroki St.
Dominic, Lahad datu. “Saya merasakan
paroki St. Dominic sebagai rumah kedua kerana berasa nyaman disini. Bagi bapa
ibu khusus umat Indonesia yang berkembang dalam paroki ini, paroki ini sudah sangat
baik kerana menerima kita untuk menyumbangkan bagi pembangunan gereja kita,
tidak hanya hadir dalam perayaan namun turut menyumbang dalam pembangunan
gereja khususnya dewan kita. Kita harus bersama-sama bertanggungjawab. Bukan
hanya hadir misa tetapi turut serta dalam pembangunan dewan kita dalam sumbangan
dalam bentuk yang lain. Jadilah perantau Katolik yang
bermartabat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan perayaan
hari ini. Tidak lupa juga terima kasih untuk komiti-komiti lain di Paroki ini
yang sudah bekerjasama. Semoga kita saling mendukung dan bertemu lagi di tahun yang
akan datang’’.
Di dalam ucapan Fr. Simon menyampaikan rasa syukurnya
kepada Allah dan juga Bapa Uskup dari Keuskupan Larantuka kerana memberi
keizinan bagi Romo Lukas bersama Fajar Band untuk datang ke paroki ini. “Tuhan itu baik, kita datang dari berbagai
suku dan bangsa. Kita selalu mendengar Sabda Tuhan bahawa Tuhan mahu
menyelamatkan semua orang tanpa mengira asal usulnya. Keselamatan yang Tuhan
bawa itu bersifat universal dan begitu juga Gereja. Gereja itu bersifat
universal ertinya semua tanpa mengira suku dan bangsa setiap zaman, setiap
masa. Sama seperti Tuhan menerima kita, begitu juga Gereja menerima kita tanpa
mengira asal usul kita. Ketahuilah disini tidak mengira asal usul kita, dari
Filipina, Sabah atau dari Indonesia sekalipun, kamu adalah warga Gereja dan juga warga
Paroki St Dominic. Gereja mampu maju ke hadapan dan berkembang kerana kerjasama
kamu semua. Maka marilah menyatakan kesatuan kita dengan bersama-sama
merayakan ulangtahun ini”.
Bagi
Pengerusi Komiti Pastoral Indonesia, Saudara Petrus Dalu merakamkan ribuan
terima kasih kepada Bapa Uskup Fransiskus Kopong Kung bagi Keuskupan Larantuka kerana
memahami dan mengambil berat tentang keinginan para migran dan perantau
khususnya di Lahad Datu serta menghantar wakil iaitu Romo Lukas Laba Erap
untuk mengunjungi paroki ini.
Kemeriahan perayaan ini diteruskan lagi
dengan acara-acara pentas, sukan tradisi dan cabutan tiket bertuah. Acara
pentas dimulai dengan iringan tarian dari kaum Filipino dan Kadazan seterusnya pemotongan
reben oleh Fr. Simon dan Romo Lukas menandakan kerjasama sebagai umat separoki.
Setelah itu, pertukaran baju tradisi diantara Fr. Simon dan Romo Lukas. Setelah
paderi menukar pakaian tradisi, bunyi gong bersahut-sahutan mengiringi penari
Hedung dan Seleng dari kaum Indonesia.
Para jemputan telah disambut oleh para belia
yang mengenakan pakaian tradisi dari daerah masing-masing. Lagu Kebangsaan “Indonesia Raya” telah dimainkan tanda
penghormatan. Sebuah lagu wajib iaitu “Mengheningkan
Cipta” dimainkan untuk mengenang para pahlawan yang telah gugur di medan
perang.
Setelah selesai penghormatan bendera, acara dilanjutkan dengan pemotongan
kek, persembahan pembuka acara “Tarian
Rampai se-Nusantara” oleh Belia St. Dominic disusuli dengan acara-acara
lain. Acara telah ditutup dengan doa penutup
oleh Rev Father Simon lebih kurang jam 5 petang.
No comments:
Post a Comment