Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 13, 2017

KRISIS EKOLOGI HARUS DITANGANI SEGERA

Disediakan oleh: Roland Henry


TAWAU – Seramai 106 orang umat hadir menyaksikan tayangan filem dokumentari ‘Before The Flood’ atau ‘Sebelum Banjir’ sempena menyambut Hari Doa Sedunia untuk Pemeliharaan Ciptaan peringkat Paroki Holy Trinity Tawau pada 3 September 2017 bertempat di Dewan Katekatikal.
Para belia yang hadir
Paus Fransiskus menetapkan setiap 1 September sebagai Hari Doa Sedunia untuk Pemeliharaan Ciptaan. Penetapan ini membuka ruang kepada setiap individu mahupun komuniti untuk berbalik semula kepada Tuhan atas panggilan sebagai pelayan ciptaan yang telah Ia percayakan untuk pemeliharaan sepenuhnya dengan penuh rasa hormat dan syukur akan karya tangan-Nya yang indah dan mengagumkan.

Penetapan melalui surat yang bertarikh 6 Ogos 2015 ini telah dikeluarkan oleh Vatikan pada 10 Ogos 2015 kepada Komisi Kepausan untuk Keadilan dan Perdamaian dan Komisi Kepausan Penyelenggaraan Persatuan Umat Kristiani yang jelas menegaskan tentang tanggungjawab kita sebagai orang yang beriman untuk menyelesaikan krisis ekologi yang kian merunsingkan umat manusia pada saat ini.

Tayangan filem dokumentari selama kira-kira satu jam setengah merupakan acara kemuncak sambutan tersebut setelah beberapa bulan Msgr. Nicholas Ong selaku Rektor Paroki menjalani beberapa pertemuan Komuniti Eklesial Dasar yang menyentuh tema penjagaan alam sekitar sebelum berakhirnya bulan Ogos. Kini beliau dengan penuh kepercayaan kepada Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) untuk mengumpulkan umat paroki menyambut sambutan ini dengan memberi kesedaran bersama tentang krisis ekologi yang harus ditangani segera.
Pendaftaran kehadiran
Sambutan ini disambut ringkas iaitu hanya menayangkan filem dokumentari yang dipersembahkan oleh National Geography, hasil ciptaan Fisher Stevens (pemenang Academy Award) untuk memberi pemahaman bagaimana dan kenapa ia berlaku dan seterusnya memberi kesedaran kepada umat tentang penjagaan alam ciptaan Tuhan. Umat dari pelbagai komuniti dan peringkat umur hadir seawal jam 11.00 pagi untuk mendaftar kehadiran. Kemudian doa pembukaan yang dipimpin oleh Sr. Julita Joseph, FSIC. Seterusnya filem dokumentari ditayangkan selepas selesai sahaja input yang ringkas dan padat diberikan oleh Saudari Florian Gabriel Nunang selaku Timbalan Setiausaha KPIP.
Doa Pembukaan oleh Sr. Julita Joseph, FSIC
Perkongsian input oleh Saudari Florian Gabriel
Di dalam dokumentari tersebut, aktivis alam sekitar dan Pesuruhjaya Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Leonardo DiCaprio, menceritakan perjalanan perjuangannya terhadap penjagaan alam sekitar yang telah memakan masa bertahun-tahun dengan mengembara ke lima benua dan Arktik untuk menyaksikan perubahan iklim secara langsung. Dia meneruskan ekspedisi dengan para saintis mengungkap realiti perubahan iklim dan bertemu dengan pemimpin politik yang menentang tindakan berdiam diri serta pemimpin dunia yang telah melakukan tindakan konkrit untuk menyelamatkan alam ciptaan Tuhan.
Para umat yang sedang menonton filem dokumentari
Diakhir dokumentari, DiCaprio membentangkan satu laporan yang memukau tentang perubahan dramatik yang kini berlaku di seluruh dunia akibat perubahan iklim, juga sebagai tindakan kita sebagai individu dan sebagai sebuah masyarakat boleh diambil untuk mengelakkan gangguan kehidupan di planet kita. Dokumentari ini menunjukkan bagaimana hubung kait nasib semua umat manusia serta kuasa yang dimiliki sebagai individu dan komuniti dapat membina masa depan yang lebih baik untuk menyelamatkan dan mewariskan planet kita kepada generasi akan datang.
Tayangan dokumentari: Pertemuan Paus Fransiskus dan DiCaprio.
Dengan krisis ekologi yang dialami, kita seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap alam ciptan Tuhan. “Kita sebagai pelindung karya tangan Allah adalah inti dari kehidupan yang meletakkan Allah sebagai tujuan kita; ini bukanlah suatu aspek pilihan atau alternatif dari kehidupan kita sebagai umat Kristiani.” Tegas Paus Fransiskus di dalam ensiklik yang kedua ‘Laudato Si’.

Sambutan Hari Doa Sedunia untuk Pemeliharaan Ciptaan peringkat Paroki Holy Trinity Tawau diakhiri dengan ulasan singkat dari Saudari Florian. Seterusnya doa bersama untuk pemeliharaan ciptaan yang dipimpin oleh Sr. Julita dan juga jualan buku ‘Laudato si’ sejurus selepas itu.
Bergambar bersama buku ‘Laudato Si’

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent