Artikel oleh Girald Palipus
Telupid : Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan adalah salah satu perayaan yang penting dan penuh makna buat masyarakat KadazanDusun di Sabah. Ia adalah satu perayaan tradisi dan pada lazimnya dirayakan pada bulan Mei.
Gereja St. Martin, Telupid telah menyambut Pesta Kaamatan peringkat paroki pada 8hb Mei 2016. Acara pesta dimulai dengan Misa Kudus yang di selebrankan oleh Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, Uskup, Keuskupan Sandakan.
Dalam homilinya, prelatus tersebut sempat berkata bahawa perayaan Pesta Kaamatan sudah menjadi suatu acara yang dirayakan pada setiap tahun kerana dalam perayaan tersebut kita dapat mensyukuri setiap anugerah dan rezeki yang kita terima melalui berkat Tuhan itu sendiri.
Selesai Misa Kudus, para umat dijemput ke Dewan Pastoral St. Martin untuk menyertai acara selanjutnya. Sejurus sahaja Bapa Uskup tiba di Dewan Pastoral St. Martin, beliau dibawa untuk mengunjungi pondok-pondok tradisi yang mewakili setiap zon di bawah naungan Paroki St. Martin, Telupid.
Acara makan bersama berlangsung di dalam Dewan Pastoral di mana para umat dihidangkan dengan pelbagai masakan tradisi. Sementara umat menjamu selera, mereka dihiburkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan yang memukau mata. Selain dari persembahan kebudayaan, para umat juga dapat mengikuti aktiviti jualan lelongan barangan elektrik oleh Kerasulan Wanita Katolik St. Martin.
Sebelum berakhirnya acara, Bapa Uskup Julius menyampaikan hadiah bagi Pondok Tradisi tercantik bagi tahun 2016 yang dimenangi oleh zon Jalan Nangoh. Zon Jalan Tongod akan menganjur Pesta Kaamatan peringkat Paroki St. Martin tahun 2017. Acara berakhir tepat pukul 3 petang dan doa penutup dipimpin oleh Seminarian Steven Esguera.
No comments:
Post a Comment