Artikel oleh Alice Aban
Gambar oleh Leonard dan Helda
Gambar oleh Leonard dan Helda
Sandakan : Pesta Kaamatan Peringkat Paroki Katedral St. Mary yang ke–12 telah berlangsung dengan jayanya pada 14hb dan 15hb Mei 2016 di Gereja St. Mark. Perayaan ini dimulakan dengan acara sukaneka
tradisional pada Sabtu, 14hb Mei 2016, disusuli dengan Misa
Kudus dan acara pentas pada hari berikutnya.
‘Miiso id pamanaan maza Koubasanan om Kotumbazaan,’ ('Agar Semuanya Menjadi Satu') iaitu tema perayaan pada tahun ini
sangatlah bertepatan dan dapat ditunjukkan melalui kehadiran umat yang begitu
ramai dari Katedral St. Mary, Gereja St. Petrus Sungai Manila, Gereja St. Paul Ulu Dusun, Gereja St. Anthony Bukit Garam dan Our Lady of Fatima, Beluran
di mana kesemuanya berkumpul dan bersatu di Gereja St. Mark untuk memeriahkan
perayaan Pesta Kaamatan pada kali ini.
Acara sukaneka
tradisional dimulakan dengan doa pembukaan, perasmian serta ucapan singkat oleh Rev. Fr Stanley William Matakim.
Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua kontinjen untuk bersaing secara
sihat dan acara ini bukanlah masa untuk menunjukkan kehebatan masing-masing
tetapi sebagai satu peluang untuk mengeratkan hubungan persaudaraan antara
sesama sebagai satu gereja.
Antara acara
sukaneka yang dipertandingkan adalah isi air dalam botol, meniup belon, lari
atas tempurung, lumba karung, menggolek tayar gergasi, rampanau, melastik,
monopuk, boling kelapa, lontar peluru, menyiri padi, mengupas pinang, mengupas
kulit kelapa dan acara tarik tali. Sistem pertandingan adalah berlandaskan kepada pungutan mata; tempat pertama setiap acara akan diberi 3 mata, tempat ke-2, 2 mata dan tempat ke-3, 1 mata.
Acara kemuncak yang
menjadi perhatian pada saban tahun, iaitu acara tarik tali yang menyaksikan
pertarungan sengit di antara Gereja St. Paul dan Gereja St. Mark. Acara yang
dipertandingkan secara liga ini akhirnya dimenangi oleh tuan rumah sendiri,
iaitu Gereja St. Mark. Setelah semua acara selesai dan mata dikumpul, Katedral
St. Mary sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan mata
tertinggi iaitu 44 mata.
Pada keesokan harinya, 15hb Mei 2016, Misa Kudus yang juga bersempena dengan ‘Tadau Kinasandatan di Spiritu Tobitua’ atau Hari Raya Pentekosta dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari setiap gereja serta umat – umat yang segak memakai pakaian tradisional suku kaum Kadazan Dusun.
Dalam homili Bapa Uskup Julius
Dusin Gitom, selebran bagi Misa Kudus ini, beliau menyentuh tentang perpaduan
yang harus dipelihara di dalam gereja dan mengajak semua umat terus berdoa agar
sentiasa dianugerahkan Roh Kudus supaya kesatuan ini terwujud secara utuh dalam
kalangan umat seiring dengan Sabda Allah di dalam petikan 1 Korintus 12 : 7 – ‘Tetapi
kepada tiap-tiap orang dikaruniakan penyataan Roh untuk kepentingan bersama’ .
Sdra Daniel
Sipajon, selaku pengerusi penganjur Pesta Kaamatan peringkat paroki 2016 di
dalam ucapannya menyatakan rasa syukur kerana Pesta Kaamatan dirayakan pada kali
ini di Gereja St. Mark dan segala yang dirancangkan telah pun dilaksanakan
sesuai dengan kehendakNya.
Pengerusi Majlis Pastoral Umat Katolik Gereja
St. Mark merangkap Penasihat bagi penganjuran Pesta Kaamatan, sdra Dimeh Koyopo
turut merasa lega dan gembira dengan sokongan daripada seluruh umat dan
menjelaskan bahawa dana bagi keperluan perayaan ini adalah menjadi kerisauan beliau namun dengan
berkat rahmat dan cinta kasihNya semua berjalan dengan lancar.
Pengerusi Majlis
Pastoral Paroki Katedral St. Mary, sdra Pilis Malim mengucapkan syabas dan
tahniah kepada Pengerusi Penganjur dan AJK beliau atas usaha yang ditonjolkan
dalam memastikan penganjuran Pesta Kaamatan ini dilaksanakan dengan baik.
Setelah semua ucapan selesai, sdra Daniel Sipajon menyampaikan cenderahati
berbentuk gong kepada sdra Pilis Malim sebagai simbolik penyerahan penganjuran
tuan rumah pada tahun hadapan, iaitu Katedral St. Mary sambil disaksikan oleh
Bapa Uskup Julius.
Setelah upacara Misa Kudus selesai, Bapa Uskup serta perwakilan dari setiap gereja mengunjungi
setiap gerai jualan yang rata-ratanya terdiri daripada umat suku kaum Kadazan Dusun yang menjual pelbagai makanan dan minuman tradisi.
Acara pentas turut meriah dengan pelbagai acara yang dipertandingkan seperti Pertandingan Unduk Ngadau Kanak-Kanak, Pertandingan Sugandoi, Pertandingan Magagung dan tidak dilupakan cabutan tiket bertuah. Acara berakhir pada jam 5.30 petang dengan acara penyampaian hadiah.
No comments:
Post a Comment