Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 7, 2013

YLC CLUB II - Mangkadait (Telupid)

Laporan disediakan oleh Daniel Hendrikus
Photo diambil oleh Amado Degullacion

Para belia dan beliawanis bergambar kenangan bersama Paderi Paroki St. Martin, Telupid, Rev. Fr. Jasery Gabuk
TELUPID - Pada 26 sehingga 28 Julai 2013 lalu, program Belia Masuk Kampung (BMK) telah dianjurkan oleh Tim Kerasulan Belia Paroki St. Martin, Telupid dengan kerjasama  Koordinator Belia Diosis Sandakan, saudari Anna Peter Amandus di Kg. Mangkadait. Program tiga hari dua malam ini juga telah disatukan dengan program Youth Leader’s Camp Club (YLC Club - program susulan selepas Youth Leader's Camp II yang diadakan pada bulan Januari 2013). 
 
Objektif utama YLC Club ini adalah :
 
1. Berjalan bersama dengan pemimpin belia secara berterusan.
2. Membina hubungan persahabatan dengan belia tempatan.
3. Mengajak belia untuk memperbaharui, menyegarkan dan berkongsi perjalanan iman mereka dan
4. Mengajak belia merenung 'Perjalanan ke Tanah yang dijanjikan' dalam kehidupan mereka sebagai individu dan pemimpin belia.

Seramai 76 peserta dari Telupid, Lumou, Wonod, Batu 4, Mangkadait termasuk 2 belia dari Sandakan telah menyertai program ini dan ditempatkan di rumah keluarga angkat. Sebagai pencetus persahabatan, sesi suai kenal dan Ice breaking adalah sesi wajib agar benteng - benteng antara belia yang baru bertemu ini boleh dirobohkan supaya persahabatan baru ini boleh dibina.

Fasilitator - fasilitator program mengambil kesempatan untuk run through perjalanan program.

Pendaftaran peserta
Permainan "DIE"
Hari ke dua menyaksikan para belia di bawa dalam program - program padat dengan pengisian dan pengetahuan yang penuh berinformasi yang dikongsikan oleh saudari Anna. Program ini diadakan di Gereja St John Fisher yang terletak lebih kurang 5 - 10 minit berjalan kaki dari pusat program.
 
Hari ke dua di mulakan dengan 'Lectio Divina' yang di pimpin oleh saudari Nellysia, sedikit Ice Breaking dan Sarapan Pagi di rumah keluarga angkat (pusat program)
 
Snake Game yang dikendalikan oleh saudara Valentine Tony. Objektif aktiviti ini adalah belia tidak boleh berjalan sendiri. Kita perlukan Tuhan melalui orang lain dalam mencari iman dan mempercayai iman itu milik kita.

 
Dalam sesi pertama belia dibukakan minda mengenai kepentingan belia dalam gereja. Belia merupakan sebahagian 'jigsaw puzzle' yang melengkapkan sebuah gereja. Selain itu para peserta juga dikongsikan dengan belia-belia yang terkenal dalam alkitab seperti Samuel, Joseph, David, Jeremiah dan selanjutnya serta bagaimana Tuhan memanggil setiap mereka dalam mengerjakan misiNya.

"Orang muda sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat moden. Orang muda penuh semangat. Jika semangat ini disatukan dengan Roh Kristus, setia dan cintakan gereka, mereka akan menjadi belia yang berbuah baik. Orang muda adalah yang pertama untuk menjangkau orang muda yang lain."
 
~ Dokumen Konsili Vatikan II yang di edit oleh James H. Kroeger, M.M~

Dalam sesi yang kedua belia diajak untuk mengenal pasti talenta-talenta mereka dalam aktiviti 'The Bus' yang dikendalikan oleh saudara Amado Degullacion. Talenta - talenta ini merupakan satu pemberian yang diberi cuma-cuma oleh Tuhan dan ianya perlu digunakan dalam pelayanan. Pelayanan menunjukkan adanya hubungan antara dilayani dan melayani.

Aktiviti 'The Bus'
Para belia diingatkan bahawa pelayanan itu adalah satu panggilan. Lebih - lebih lagi mereka yang telah dibaptis. Mereka perlu menghidupkan tiga perkara Yesus iaitu Raja (memimpin), Nabi (Mewartakan khabar baik) dan Paderi (menguduskan / hidup seperti Kristus). Maka dengan ini "kita juga adalah sebahagian daripada misi Yesus untuk gereja dan dunia - KGK 871." Diakhir sesi ke dua, saudari Anna mengajak para belia untuk sama-sama menjadi 'Cahaya kepada Dunia ~ Lumen Gentium'

"Kamu mempunyai tempat yang istimewa di hati saya dan di seluruh Gereja, kerana Gereja sentiasa muda! Gereja mempercayai kamu. Ia mengharapkan kamu!
Jadilah muda di Gereja! Jadilah muda dengan Gereja!
Gereja memerlukan samangat dan kreativiti kamu!"
 
~Ucapan Paus Benedict XVI kepada belia di Lubnan, September 15, 2012~

Satu bengkel belia yang dikendalikan oleh saudara Daniel Hendrikus diadakan untuk memberikan ruangan bagi para belia untuk membincang dan merumuskan pengetahuan yang diperolehi dalam bentuk lakonan. Ia juga membenarkan para belia mencungkil bakat serta mampu berfikir kreatif dan inovatif.

Disebelah petang para belia sekali lagi diberikan satu suntikan pengetahuan untuk bagaimana memperolehi 'kesegaran' sebagai belia yang melayani. Sememangnya mengikuti Yesus banyak cabarannya. Cabaran yang mungkin menjatuhkan, mengeramkan, menyedihkan dan menyakitkan. Namun perlu diingat Yesus dalam Matius 9:37 -38 memperlihatkan dirinya yang bersemangat dalam pelayanan dan menyuruh murid-muridNya bersemangat juga. Sehinggakan Yesus mengatakan "...mintalah kepada tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu."

Dalam sesi ini juga saudari Anna mengongsikan bahawa hubungan intim dengan Yesus merupakan kesegaran yang berkekalan kerana ajaranNya adalah khabar gembira yang baik. Maka apabila khabar gembira ini disampaikan kepada orang lain, maka kita menawarkan kesegaran rohani kepada mereka. Ia seperti pohon yang ditanam di tepi air, yang merambatkan akar-akarnya di tepi batang air dan tidak mengalami datangnya panas terik, yang daunnya tetap hijau, yang tidak kuatir dalam tahun kering, dan yang tidak berhenti menghasilkan buah. ~ Yeremia 17:8

Selain itu berkongsi perjalanan iman dengan orang lain, membaca dan merenung firman Allah, berdoa, dan bersyukur juga antara perkara yang boleh membawa kesegaran dalam hidup dan pelayanan. Namun kemuncak kepada kesegaran iman seorang Katolik adalah EKARISTI kerana Tuhan Yesus hadir dalam perayaan itu. Dengan ini para belia diingatkan untuk menghidupkan Misa Kudus dan jangan terbuai dengan cobaan - cobaan dunia seperti bermain telefon bimbit, tidak masuk gereja, bercerita semasa Misa Kudus dan selanjutnya.

Seterusnya, para belia di bahagikan kepada empat kumpulan untuk aktiviti 'Perjalanan ke Tanah yang dijanjikan'. Aktiviti ini mengajak para belia untuk keluar dari zon selesa mereka dan merenung erti kehidupan peribadi dan komuniti mereka melalui cabaran - cabaran yang ditempuhi sepanjang perjalanan ini.

Kelihatan ketua sedang menghafal peta dan berbincang dengan ahli kumpulan.



Empat kumpulan yang berjaya mengharungi perjalanan 'kehidupan' yang penuh dengan cabaran. 
Sejurus selepas makan malam, para belia dibawa dalam sesi proses dan sintesis perjalanan mereka ke 'Tanah yang dijanjikan'. Masing-masing memberikan perkongsian dan bagaimana cabaran - cabaran tersebut menyentuh perasaan mereka.
 
 
 
Semua pengalaman pada petang tadi membawa mereka untuk terus merenung perhubungan mereka dengan Yesus dalam sesi "Saya dan Yesus". Dalam sesi ini para belia diajak untuk memberikan masa dan bercerita dengan Yesus melalui surat yang berbentuk dialog antara Yesus dan diri mereka. Di akhir dialog ini belia dibawa untuk merenung dosa-dosa yang ingin diampuni serta menulisnya dalam sekeping kertas dan memakukan dosa-dosa mereka di salib Yesus di hadapan Altar. Sesi ini berakhir dengan perdamaian antara satu dengan yang lain dan gambar beramai-ramai.
 
 
 

 
 
Kemuncak bagi semua program ini adalah Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Jasery Gabuk. Dalam homilinya, Fr. Jasery mengongsikan kepada umat dan belia akan program dan penjangkauan yang dilakukan telah memberi kesan dan kesedaran menyebabkan ada peningkatan untuk hadir ke Gereja. Beliau juga mengaitkan aktiviti 'Perjalanan ke Tanah yang dijanjikan' dengan ketekunan, kesabaran, pengorbanan serta kesetiaan untuk mencapai objektif dan bukan kerana inginkan kejayaan semata-mata.
 
Fr. Jasery juga menjemput ibu-bapa untuk menggalakkan anak - anak mereka mengikuti program - program belia sebagai pembentukan iman dan peribadi mereka kerana belia adalah generasi gereja kini dan masa depan. Selain itu, beliau juga menyeru semua umat dan belia yang hadir untuk dekat kepada Tuhan dan berdoa dengan kejujuran hati agar dapat berhadapan dengan dunia moden yang pesat dan mampu menyesatkan.
 



Kemuncak iman seorang Katolik adalah EKARISTI
Selepas sahaja misa kudus selesai, semua belia kembali ke rumah keluarga angkat dan menjamu selera tengahari dan mengambil kesempatan untuk menjalinkan persahabatan sebelum kembali ke tempat masing-masing. Semoga program seumpama ini dapat membina dan membentuk iman dan keperibadian belia agar dapat menjadi pelapis pemimpin gereja kini dan masa depan. 
 

~ Tim Fasilitator ~
 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent