Oleh : Roland Henry
TAWAU
– Seluruh Institusi
Pendidikan Tinggi Awam atau Swasta (IPTA/S) di Malaysia sibuk dengan kemasukkan
pelajarnya ke kolej dan universiti masing-masing. Manakala Kolej Jururawat
Masyarakat Tawau (KJMT) pula baru sahaja selesai menjalani Minggu Orentasi para
pelajar Semester 1 bagi Pengambilan Sesi Julai 2013.
Pada
Minggu Orientasi tersebut, Persatuan Komiti Kristian (PKK) - KJMT telah menjemput
Ministri Pelayanan Kampus Diosis Sandakan untuk mengisi slot orientasi tersebut melalui
subjek Pengetahuan Moral di Dewan Syarahan Canary KJMT pada 4 Julai 2013 jam
6.30 petang dengan memberikan ceramah mengenai “Kehidupan Sebagai Pelajar Kolej
dan Universiti”. Seramai 60 orang telah hadir ke ceramah tersebut yang terdiri
dari 42 orang pelajar baharu dan turut serta bersama adalah Cik Ho Sui Chee (Penasihat PKK-KJMT), barisan AJK
PKK-KJMT, wakil Ministri Pelayanan Kampus Diosis Sandakan dan wakil Tim
Kerasulan Belia Paroki Holy Trinity Tawau.
Cabaran
yang biasa dihadapi oleh pelajar ketika memasuki alam kolej adalah seperti
kejutan budaya dan isu-isu sosial. Permasalahan dari segi bahasa pengantara dan
adat kepercayaan, penggunaan wang secara boros, pergaulan bebas dan malu
ataupun susah untuk mempraktikkan amalan agama misalnya ketika berdoa sebelum
makan sering berlaku ke atas pelajar baharu di kolej. Jika pelajar ini tidak dapat
mengurus dan menangani masalah mereka secara bijak akan mengakibatkan kemerosotan
prestasi akademik yang merundum dan besar kemungkinan akan terjerumus ke kancah
negatif.
Melalui
ceramah ini, akan memberi serba sedikit bantuan dan khidmat nasihat kepada para
pelajar di KJMT tersebut untuk bersedia dari segi rohani dan mental dalam menjalani
kehidupan kolej dengan penuh berkeyakinan. Disamping itu, para pelajar juga berpeluang
untuk menjalinkan ikatan kasih Kristus di antara denominasi Kristian yang lain.
Lantaran, berdiskusi mahupun berkongsi idea bersama-sama untuk mengeluarkan pandangan
agar mereka dapat berkongsi bersama dengan para pelajar Kristian yang lain di kolej
tersebut.
Slide “Kehidupan Sebagai Pelajar Kolej dan Universiti” yang ditayangkan
sewaktu ceramah yang disampaikan oleh Saudari Esther Albert selaku wakil
Ministri Pelayanan Kampus Diosis Sandakan cukup memberi impak yang analitikal
kepada para pelajar baharu apabila beliau mengongsikan tentang persediaan dalam
menghadapi cabaran sedia ada dan luar jangka ketika memasuki alam kolej melalui
sistem sokongan yang sangat praktikal dengan mengenalpasti lima orang yang
boleh dihubungi sewaktu pelajar tersebut mengalami krisis.
Kepentingan
iman Kristiani dalam aspek kerohanian amat penting bagi pelajar di kolej agar
mereka sentiasa dilindungi dan dijauhi perkara-perkara negatif yang akan
memudaratkan kehidupan diri sendiri sewaktu menjalani kehidupan di kolej. Di
dalam ceramah tersebut juga, setiap pelajar dikehendaki untuk melukis perisai
iman mereka di kertas dan mengongsikannya kepada rakan yang lain agar lebih
fokus dan dapat menetapkan matlamat mereka sepanjang tempoh pengajian.
Saudari
Esther berharap agar setiap pelajar akan dapat membiasakan diri dengan
persekitaran kolej dan berharap para pelajar dapat menjalani kehidupan yang
seimbang serta bermotivasi tinggi dan cemerlang dari segi akademik dan
ko-kurikulum tanpa mengetepikan aspek kerohanian. Semua pelajar juga diberikan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk memudahkan pengurusan akan datang sekiranya terdapat
sebarang pertanyaan mengikut gereja masing-masing seperti Katolik, Anglikan,
Baptist, Calvary, Basel, SIB, SDA dan Methodist. Ceramah diakhiri dengan doa
penutup dan bergambar bersama.
No comments:
Post a Comment