Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 7, 2013

PENJANGKAUAN KE KAMPUNG TANGKUD, ULU KAWANANAN, PAITAN

ds/aa
Photo diambil oleh Claire Andrew
 
PAITAN ~ Gandingan dua pelayanan, Katekatikal dan Belia sekali lagi bersatu dalam penjangkauan umat Katolik di Kg. Tangkud, Ulu Kawananan, Paitan yang juga di kenali sebagai Kg. 7000 pada 23 sehingga 25 Julai 2013 yang lalu. Perjalanan menggunakan kereta selama 5 jam dari Sandakan ini telah disertai oleh Sr. Veronica Kandaung FSIC, Koordinator Pejabat Katekatikal Keuskupan, Anna Teresa dari Pejabat Belia Keuskupan dan tiga belia iaitu  Claire Andrew dan John Degullacion, belia dari Katedral St Mary, Sandakan dan Hamidah Nadu dari St. Francis dari Asisi, Sukang.
 
Pada bulan Mei tahun lalu rombongan ini telah berjaya menemukan dan melawat umat Katolik warga Indonesia yang bekerja di perladangan Kelapa Sawit dan juga umat tempatan. Untuk penjangkauan kali ini misi utama adalah untuk menemukan dan mengumpulkan umat Katolik tempatan yang pernah dibaptis 25 tahun yang lalu di Bukit Tuhan, Paitan. Mereka dikatakan telah berpindah ke kampung - kampung yang berdekatan dengan jalan raya besar untuk kemudahan pengangkutan dan estet - estet kelapa sawit untuk pekerjaan.
 
Ketibaan rombongan ini telah disambut baik oleh keluarga saudara Jakub Moyong warga Indonesia yang telah membuka rumahnya bagi kami tinggal buat beberapa hari. Di petang hari pertama ini, kami mulakan dengan doa rosari bersama beberapa umat Katolik Indonesia yang tinggal berdekatan.
 
Misi penjangkauan di hari ke dua dimulakan dengan doa pagi bersama dan kemudian berjelajah dari satu rumah ke rumah yang lain melawat dan mengambil masa bersama umat. Melalui lawatan ini, sedikit demi sedikit informasi penempatan dan sejarah umat Katolik di Kg. Tangkud diperolehi sehinggalah kami bertemu dengan saudara Sapri Bin Timbai. Beliau telah memaklumkan bahawa nama kampung yang didiami itu adalah Kg. Tangkud dan nama Kg. 7000 diguna pakai disebabkan ianya berada dalam kawasan perladangan kelapa sawit.
 

Mengambil peluang yang ada bersama penduduk Kg. Tangkud
Pasangan suami isteri yang ditemui dalam perjalanan bertemu dengan umat tempatan.
Saudara Sapri Bin Timbai merupakan penduduk Kampung Tangkud yang mengendalikan sebuah kedai runcit kecil-kecilan. Beliau telah menceritakan bagaimana perpindahan umat Katolik dari Bukit Tuhan ke Kampung Tangkud ini terjadi. Ini merupakan penemuan yang baik. Rombongan ini berharap agar dapat membantu dalam membangunkan semula iman Katolik mereka secara perlahan - lahan setelah sekian lama tidak pergi ke gereja. Oleh yang demikian, saudara Sapri Timbai telah diberi mandat untuk mengumpulkan umat Katolik untuk pertemuan hari esok.
 
Rumah kediaman Saudara Sapri Bin Timbai
Di sebelah petang, rombongan ini mengambil kesempatan untuk melawat dan mengadakan perkongsian bersama dengan umat - umat Katolik yang bekerja di Estet Boustead yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan kenderaan dari Kg. Tangkud (Kg. 7000).
 

Umat Katolik yang bekerja mencari inisiatif menjadikan Kongsi kosong sebagai tempat pertemuan hari minggu.
Umat yang 'Haus' akan makanan dan minuman rohani.
Bersama-sama mendengar Sabda Tuhan yang dipetik dari Injil Lukas 10:38 - 42 Yesus melawat Martha dan Maria
Pertemuan tersebut hadiri oleh ramai umat dan kami memperkongsikan pengalaman berdasarkan pembacaan masa itu. Sesi ini diakhiri dengan fellowship ringan bersama - sama.

Hari ketiga seperti biasa misi penjangkauan ini dimulakan dengan doa pagi dan di teruskan dengan lawatan ke rumah umat-umat Katolik yang bekerja di perladangan kelapa sawit yang berdekatan sebelum pergi bertemu dengan umat Katolik Kg. Tangkud pada hari petangnya.
 
Tepat jam 3.00 petang rombongan bersiap sedia dengan misi yang dinanti - nantikan iaitu bertemu dengan umat Katolik tempatan. Sungguh adventures perjalanan kami. Sama seperti misionari - misionari yang terdahulu - Misionari Mill Hill. Pasti mereka juga merempuh pelbagai cobaan dan rintangan untuk menginjilkan khabar gembira kepada orang-orang tempatan.



Misi masuk kampung yang di bawa oleh saudara Sapri Bin Timbai. 
Rumah kediaman saudara Juslee Bin Gantalou, salah seorang umat yang telah dibaptis di Bukit Tuhan, Paitan 25 tahun yang lalu.
Rumah kediaman saudara Juslee Bin Gantalou merupakan tempat dimana semua umat berkumpul. Rombongan Sr. Veronica dengan sungguh - sungguh mengambil peluang yang ada untuk bercerita sambil membina persahabatan yang baik dengan umat Katolik yang hadir.
 
Sr. Veronica sedang mendengar perkongsian umat.


Umat Katolik Kg. Tangkud diberi sedikit Katekisis mengenai tujuh Sakramen dan ini secara tidak langsung mengingatkan kepada mereka akan pembaptisan mereka.


Umat Katolik Kg. Tangkud dengan teliti mendengar perkongsian dari Sr. Veronica.
 
Belia-belia yang mengikuti rombongan tersebut mengambil kesempatan beramah mesra dengan kanak-kanak Kg. Tangkud.
Lawatan ini berakhir pada jam 6.00pm dan rombongan ini terus kembali dan bermalam di rumah rehat St Francis dari Asisi, Sukang, Paitan sebelum balik ke Sandakan pada keesokan pagi.

Satu pengalaman yang baik buat rombongan misionari ini dan pastinya ia tidak akan berhenti setakat hari ini atau esok. Semoga lawatan kami dapat memberikan buah yang baik buat umat Katolik Kg. Tangkud dan sehingga kita bertemu lagi. 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent