Retret pra-paska untuk Kerasulan Wanita Katolik peringkat Diosis telah diadakan pada 17 – 20 Mac 2011 bertempat di gereja St. Martin, Telupid. Objektif retret ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi perhubungan antara sesama dan menghayati erti pra-paska yang sebenar, menurut penyelaras tertinggi KWK Diosis Puan Annie Rokneh. Retret pra-paska dan perhimpunan agung bagi kali ke-dua ini telah disertai oleh seramai 132 orang ahli KWK dari Gereja St Martin Telupid seramai 76 orang, Katedral St. Mary, Gereja St. Dominic Lahad Datu seramai 23 orang masing-masing dan Gereja Holy Trinity Tawau seramai 10 orang..
Persembahan peserta Gereja St Martin |
Peserta Gereja Holy Trinity Tawau |
Peserta Gereja St Dominic Lahad Datu |
Retret Pra-paska dan Perhimpunan Agung kali ke-2 ini telah dirasmikan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dengan paluan gong sebanyak tujuh kali. Yang Mulia Bapa Uskup mengucapkan tahniah kepada KWK kerana berjaya mengadakan retret dan perhimpunan agung ini. Beliau juga bersyukur kerana setiap kali beliau menghadiri perhimpunan KWK, moto beliau “Melayani Sesama Dengan Kasih Allah” sentiasa tertera. Beliau menggesa KWK agar terus melayani, mendorong dan membangun bersama dalam pelayanan kita.
Seminar yang bertemakan “Melayani Sesama Dengan Kasih Allah“ telah menjemput Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Rev. Fr. Thomas Makajil, Rev. Fr. Jasery Gabuk, Sr. Appolonia Gumpu fsic, dan Sr. Liza Augustine fsic sebagai penceramah. Pada hari kedua, retret dimulai sepenuhnya dengan doa pagi yang dipimpin oleh Sr. Appolonia dan Sr. Liza dengan Doa Tubuh (Body Prayer)
Yang Mulai Bapa Uskup dalam ceramahnya mengatakan bahawa masa pra-paska (puasa) adalah masa rahmat dimana kita diperbaharui dengan janji baptis kita. Berpuasa juga memperingatkan kita untuk mengatasi kelemahan-kelemahan kita. Lebih mendengarkan firman Tuhan dan praktikkan apa yang kita dengar dari Tuhan Yesus. Hidup kita haruslah konsisten dengan nilai-nilai Injil. Masa pra-paska adalah masa pertemuan peribadi / intim kita dengan Tuhan Yesus.
Rev. Fr. Thomas dalam ceramahnya yang bertemakan ‘Kasih dan Pelayanan’, menegaskan bahawa kasih dan pelayanan tidak boleh dipisahkan. Pelayanan tidak akan berhasil sekiranya kita tidak mempunyai kasih, kerana dimana ada kasih disitu ada Tuhan. Dan Tuhan sendirilah Kasih itu. Beliau percaya kedatangan kita dalam retret ini adalah lebih kepada pelayanan kita sebagai KWK dan juga sikap kita yang mahu pembaharuan dalam diri. Kita keluar dari sikap kita sehari-hari untuk bersama-sama dengan Tuhan. Kita mahu mendengarkan Tuhan dan ingin melaksanakan pelayanan kita. Pelayanan kita haruslah berpusatkan Kristus, kerana pelayanan dengan kasih itulah yang membezakan kita dengan orang lain. Orang akan mengenal kita yang melayani dengan kasih adalah pengikut Kristus. Apabila kita dibaptis, kita adalah ahli gereja dan menerima karunia dari Allah.
Kita dipanggil dan dikuduskan, diberi peluang untuk bertobat dan berubah, kata Sr. Liza Augustine fsic memulakan ceramahnya bertajuk ‘Pelayanan dan Cabaran Wanita Katolik Masa Kini’. Sr. Liza membawa peserta-peserta retret mengenali cabaran-cabaran masa kini yang banyak menjurus kepada masaalah-masaalah sosial dalam keluarga dan juga masyarakat. Wanita katolik juga tidak dapat lari dari masaalah dan cabaran ini. Namun Sr. Liza menegaskan bahawa kita harus seimbangkan peranan kita sebagai wanita katolik dalam pelayanan dan keluarga. Ini disebabkan keluarga adalah tempat suci kehidupan. Ambil Yoh. 15: 13 sebagai pegangan kita dalam prinsip mengasihi. Dalam menangani masaalah dan cabaran haruslah selalu merujuk kepada sabda Allah. Maz. 51:12 dan Yeh. 36:26-27 haruslah dirujuk untuk memiliki hati yang baru. Kita haruslah mengambil apa pun jua kerja kita, jadikanya sebagai sebuah pelayanan, kerana sesuatu kerja yang dikerjakan sebagai pelayanan lebih berkesan dan memuaskan hasilnya.
Apakah itu ‘gereja’, Sr. Appolonia Gumpu fsic menanyakan para perserta retret. Berbagai-bagai jawaban diterima yang mana ada kebenarannya mengikut kefahaman masing-masing. Sr. Appolonia fsic menegaskan misi gereja telah di utus kepada kita sebagai ahli KWK dalam rupa garispanduan KWK. Oleh kerana gereja adalah Tubuh Kristus yang hidup maka melaksanakan misi gereja yang diamanatkan kepada kita adalah amat penting. Menyembah Tuhan dalam perayaan sabda yang gembira dan berkongsi dalam Ekaristi, mewartakan/mengajarkan firman Tuhan kepada semua orang, bersaksi akan cintakasih Kristus, melayani dan menggunakan kepelbagaian untuk membina dan memperkukuhkan komuniti gereja adalah sebahagian misi gereja yang diamanatkan kepada kita. Mengambil contoh yang dekat dengan kita, Bunda Maria adalah model yang terbaik.
Meneruskan sesi pagi itu, Rev. Fr. Jasery dalam ceramahnya yang menarik perhatian para perserta sehingga ada yang meminta Rev. Father memanjangkan lagi ceramahnya. Menyentuh hidup Kristian yang berkomuniti, Fr. Jasery mengingatkan para peserta bahawa Yesus tidak menjalankan misinya / ajarannya seorang diri. Yesus memilih para sahabat-sahabatnya dari kalangan orang-orang yang berkekurangan. Namun Yesus memanggil mereka, membimbing mereka, mengajar mereka dan seterusnya mengutus mereka untuk meneruskan misiNya. Komuniti Kristian Dasar (KKD) telah ada sejak zaman Yesus lagi. Tidak dinafikan juga kerasulan wanita telah ada sejak zaman Yesus ia itu wanita-wanita yang mengikut Yesus sepanjang pelayanan Yesus di dunia ini. Oleh itu Fr. Jasery menggesa KWK untuk lebih bersedia kepada keinginan untuk dibentuk dan belajar, kerana melalui Yesus kita dapat pelajari semua itu. Yesus hidup dengan memberi contoh dan teladan yang baik dan yang terbaik. Apa pun panggilan kita, kita haruslah renungkan, terapkan dan laksanakan dengan hati yang penuh kasih dan itulah pelayanan.
Retret Pra-Paska dan perhimpunan kali ini telah memberi banyak pengajaran dan kesedaran kepada para ahli KWK yang hadir. Retret dan perhimpunan berakhir dengan rasa penuh kesyukuran dari semua perserta. St. Dominic, Lahad Datu akan menjadi tuan rumah bagi Retret dan Perhimpunan Agung kali ke-tiga tahun hadapan.
Brenda De Guzman dan Joanna Lim
No comments:
Post a Comment