Sandakan - Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah mengadakan Seminar Hidup Baru Dalam Roh (BM) pada 17-19 September 2010 lalu. Seminar ini telah dianjurkan oleh Pembaharuan Karismatik Katolik Bahasa Malaysia.
Seramai lebih kurang 150 orang menyertai seminar ini termasuk Tim Pelayanan. Misa Kudus pembukaan telah disempurnakan oleh Fr. Thomas Makajil yang turut menyampaikan ceramah bertajuk "Ekaristi dan Ketuhanan Yesus."
Kelihatan Fr. Thomas sedang menyampaikan homili beliau semasa Misa Pembukaan
Dalam ceramahnya antara lain Fr. Thomas menekankan betapa Tuhan mengasihi umatNya dengan mengaruniakan AnakNya yang tunggal sebagai penebus dosa manusia. Beliau turut mengajak umat menyingkap misteri penebusan dosa manusia melalui kematian Yesus di kayu salib yang menjadi puncak kepada karya penyelamatan manusia sambil membawa umat merenung misteri Perayaan Ekaristi sebagai tanda cinta kasih Allah kepada umatNya dan sumber kehidupan.
Dalam seminar ini hampir 90% penyertaan terdiri daripada golongan belia yang mana menjadi sasaran penganjur pada kali ini. Ketika ditemui Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Kelompok Doa Bahasa Malaysia, Adaris Moses Sintan menyuarakan rasa kesyukuran beliau kerana seminar ini mendapat dukungan dan sokongan yang kuat daripada semua yang terlibat terutama sekali Paderi Paroki, Fr. Thomas Makajil, Diakon David, para religius serta umat awam.
Beliau turut berharap bahawa seminar-seminar seperti ini akan dapat membantu Gereja dalam menarik umat untuk terus mendampingi Gereja dalam apa jua aktiviti yang dijalankan terutama sekali peranan umat awam dalam mengambil bahagian dalam Perayaan Misa Kudus.
Sementara itu, dalam seminar ini Diakon David A. Garaman turut menyampaikan ceramah berkenaan "Peranan Bonda Maria dalam Gereja." Antara topik-topik yang disampaikan pada seminar tersebut adalah "Cinta Kasih Allah" (Paulus Salin), "Penyelamatan" (Severinus Lester), "Penyakit Batin" (Adaris) dan "Hidup Baru" (Martina Duhong).
Beberapa sesi telah diadakan termasuk proses Pembebasan dan Penyembuhan Batin serta Pembaharuan Janji Baptis dan Pencurahan Roh Kudus yang menjadi penutup seminar pada kali ini.
Berikut perkongsian salah seorang peserta seminar, Calson Joseph, 21 tahun berasal dari Kg. Kiabau, Telupid:
"Ketika proses pencurahan Roh Kudus saya cuba untuk tidak rebah tetapi akhirnya saya tertidur dengan asyik. Dalam proses perdamaian saya sangat tersentuh dengan lagu-lagu penyembahan. Ianya sangat indah bagi saya dan berhasrat akan menyertai seminar seperti ini jika berpeluang. Inilah pertama kali saya menyertai Seminar Hidup Baru dalam Roh" katanya dengan nada kegembiraan yang tidak pernah beliau rasakan selama ini.
Seminar ditutup dengan doa dan bergambar beramai-ramai.
S. Lester, KDBM
No comments:
Post a Comment