Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 17, 2013

YMG – Sakramen Pengurapan Orang Sakit


Oleh : Roland Henry

TAWAU (19 Mei 2013) – Tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) Holy Trinity Tawau telah menganjurkan Youth Monthly Gathering diadakan di Upper Room, Dewan Paroki dengan tema ‘Sakramen Pengurapan Orang Sakit’. Tema ini sangat berbeza dengan tema YMG sebelumnya. Ramai yang tidak menyedari tentang kepentingan dan perlunya pengetahuan yang lebih mendalam berkenaan dengan Sakramen Pengurapan Orang Sakit ini. Maka dengan sebab itulah tema tersebut dimuatkan ke dalam YMG kali ini dan sangat bertepatan sempena menyambut Tahun Iman ini. Seramai 67 orang belia hadir ke program tersebut termasuklah Sr. M. Rusiah FSIC.
Program YMG yang ke - 21 ini dimulai dengan sesi pendaftaran pada jam 12.30 tengah hari dan sangat menyeronokkan apabila menerima kunjungan belia yang baru pertama kali mengikutinya untuk bersama-sama menuntut ilmu demi pengukuhan iman sebagai seorang belia Kristian Katolik. Alunan muzik padu yang dipimpin oleh YMG Junior Band meningkatkan lagi semangat belia melalui lagu puji-pujian dan penyembahan.
Sewaktu awal sesi input mengenai tema YMG-21 iaitu Sakramen Pengurapan Orang Sakit yang disampaikan oleh Sdri. Naomi Francis selaku wakil Tim KBP Holy Trinity Tawau, para belia diberi sedikit penjelasan tentang 6 Sakramen Gereja selain dari Sakramen Pengurapan Orang Sakit yang melengkapi 7 Sakramen Gereja Katolik berdasarkan rujukan buku YouCat, katekismus popular dalam versi Bahasa Indonesia, di muka surat 121 hingga 160.
“Oleh sebab kita tidak percaya akan kebaikkan Tuhan, kita mengalami kesukaran menyelamatkan segalanya kepada Tuhan. Penyerahan diri kepada Tuhan itu terhalang sepenuhnya dan tidak tahu lagi harus bagaimana dan ke mana? Apabila kita dalam keadaan sakit itu, kita cuba untuk mencari pegangan hidup yang lain. Kebanyakan dalam masyarakat kita, kalau mereka sudah tidak percaya akan perubatan moden, mereka pergilah jumpa bomoh, jumpa dukun-dukun, percaya kepada pegangan tangkal-tangkal, minum air yang terjampi. Itulah yang berlaku, mereka mencari pegangan yang lain sedangkan ada sana yang lebih hebat iaitu Yesus yang mempunyai kuasa penyembuhan yang luarbiasa” kata Sdri. Naomi semasa memberi perkongsian di dalam sesi inputnya.
Ramai yang beranggapan bahawa Sakramen Pengurapan Orang sakit hanya diberikan kepada mereka yang nazak sahaja dan takut menerima Sakramen ini kerana mereka fikir sakramen ini seperti vonis mati. Tidak sama sekali. Sakramen ini juga boleh diterima oleh sesiapa sahaja yang sedang menderita sakit, mereka yang akan menjalani pembedahan, sedang mengalami penyakit yang sukar diubati. Sakramen ini bertujuan untuk menyatukan penderitaan bersama Kristus yang hadir sebagai penyelamat dan penghibur, damai serta memberi kekuatan untuk menanggung ketakutan dan rasa sakit dalam Tubuh-Nya.
Sakramen ini diberikan melalui pengurapan minyak suci pada dahi dan kedua telapak tangan, diiringi dengan doa-doa. Sakramen ini hanya boleh diberikan oleh para uskup dan paderi kerana sebenarnya yang bertindak itu adalah Kristus sendiri yang akan memberi kesembuhan kepada mereka yang menerimanya sama seperti Firman yang dipetik dari Yoh 5:14 – “Engkau telah sembuh; jangan berbuat dosa lagi supaya padamu jangan terjadi yang lebih buruk”.
Para belia bukan sahaja dapat mengenal dan mengetahui fungsi dan cara mengaplikasi Sakramen Pengurapan Orang Sakit malah dapat memahami tugas umat awam dalam Sakramen ini. Para belia digesa untuk memberanikan diri dan mengunjungi orang sakit di mana sahaja keberadaan mereka agar setiap kunjungan dapat memberi perhatian dan penghiburan besar bagi orang sakit serta mendoakan kepada mereka. Selain itu, menjadi orang tengah gereja untuk menyalurkan maklumat dan meningkatkan kesedaran umat setempat tentang Sakramen Pengurapan Orang Sakit.
YMG-21 diteruskan dengan perkongsian di dalam kumpulan agar para belia dapat berkongsi dan bertukar-tukar pendapat mengenai tema pada hari tersebut. Pihak Tim KBP juga sempat mengongsikan tayangan slot demo lakonan oleh Rev. Fr. David Garaman dan beberapa orang belia yang disediakan khas untuk program ini supaya para belia yang hadir pada ketika itu dapat melihat tatacara seorang paderi memberi Sakramen Pengurapan Orang Sakit. Setelah itu, Sdra. James Joseph selaku emcee memberi pengumuman aktiviti belia yang akan datang dan diikuti dengan Doa Intensi Untuk Orang Sakit sebagai doa penutup. Pertemuan YMG diakhiri dengan sesi bergambar bersama di depan Dewan Paroki kemudian menjamu selera di Kantin Paroki Holy Trinity sebagai tanda kesyukuran program YMG bulan ini dan juga meraikan ulangtahun kelahiran ahli-ahli KBP pada bulan Mei.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent