Telupid: “Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaatKu,” (Matius 16:18) Adalah ucapan pembuka Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dalam buku perayaan Ulang Tahun Gereja Santo Martin yang ke-45 yang dirayakan pada 13 November 2011.
“Perayaan
hari ulang tahun adalah penting dan pasti kita menjadikannya yang terbaik
antara ulang tahun yang sudah berlalu. Bagaimanapun, yang lebih penting ialah
proses mengumpulkan para umat bersama untuk membuat persiapan dan mengelolakan
acara berkenaan. Ia memberi banyak ruang dan peluang untuk umat bergerak
bersama sebagai satu komuniti yang teguh dan mampu mewujudkan susana yang
mesra”, jelasnya.
Hampir 500 orang umat dari sekitar paroki hadir dalam perayaan liturgi yang bermula 9 pagi.
Seramai
48 calon Sakramen Penguatan yang menerima minyak krisma dari Bapa Uskup.
Bapa
Uskup turut mengimbas jasa para pengasas gereja setempat yang telah banyak
berjasa dalam membantu membangunkan Gereja setempat.
“Mereka
telah membaktikan banyak usaha dalam misi penginjilan Gereja dan kini tibalah
giliran bagi kita meneruskan usaha mereka dalam kerja-kerja menyemai
benih-benih iman bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Menurut
Bapa Uskup, ulang tahun ini juga adalah satu masa bagi menoleh ke belakang bagi
menilai perkara lepas, mempertimbangkan kekuatan dan kelemahannya.
“Kita
akan terus bekerja dan bergerak bersama buat masa kini dan melihat pada masa
depan dengan penuh iman dan harapan.
Sebagai
pengikut Kristus yang setia, masing-masing mempunyai misi. Kita akan
menyaksikan iman kita dengan keyakinan dan menyertai secara aktif dalam semua
aktiviti Gereja untuk kebaikan bersama,” jelasnya.
Bapa
Uskup seterusnya menyeru kepada semua umat agar membantu dalam membina
komuniti-komuniti melalui KKD serta pembaharuan Gereja dan masyarakat dengan
keberanian dan kesetiaan.
Sementera
itu, Paderi Paroki Rev. Fr. Jasery Gabuk menjelaskan bahawa perayaan ini
merupakan perayaan bersama sebagai ungkapan rasa syukur kepada Tuhan yang telah
menganugerahkan gereja tempatan (St. Martin) kepada kita.
“Kita
harus sedar bahawa gereja yang sebenar ialah kita sendiri sebagai umat Allah
dan kita haruslah berjalan bersama untuk membangunkan gereja tempatan kita,”
jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi Perayan Sdra
Herman Soibun, turut mengimbas kembali komitmen dan tanggungjawab umat. Beliau menyifatkan setiap lapisan umat mempunyai peranan masing-masing untuk
menjayakan perayaan seperti ini.
“Secara peribadi saya sangat
bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan, sumbangan saudara dan saudari
serta para penderma sama ada dalam bentuk idea, wang ringgit, tenaga, material
dan sebagainya demi menjayakan perayaan
ini. Apa yang baik yang kita lakukan selama ini, haruslah kita pupuk dan
pertahankan demi kemajuan komuniti umat di paroki kita,” katanya.
Selesai Perayaan Liturgi, acara
makan bersama menjadi sangat menarik dimana Bapa Uskup berkesempatan melawat dan melihat sendiri komitmen yang diberikan oleh setiap KKD di Paroki
ini dengan menyediakan hidangan percuma berasaskan makanan tradisi.
Acara pemotongan kek perayaan dan
persembahan pentas juga menjadi tarikan kepada umat yang sanggup berpanas
kerana diadakan dikawasan terbuka.
Lawrence Matusin, Soccom Telupid
No comments:
Post a Comment