Sandakan : Doa peringatan ulangtahun pertama arwah Francis Augustine dan pemberkatan rumah kediaman Mary Mojulat telah disempurnakan oleh Sr Appollonia Gumpu fsic pada 3hb Ogos 2010.
Dalam perkongsiannya, Sr Appollonia memperingatkan umat bahawa kita harus sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu bila Tuhan akan memanggil kita. Kematian tidak memutuskan hubungan kita dengan orang-orang yang sudah meninggal. Tuhan tetap mempersatukan kita dengan saudara kita yang dipanggilNya. Atas kesatuan hati, itulah kita pada hari ini berkumpul bersama untuk mendoakan arwah saudara kita. Hal ini kita lakukan sebagai bentuk kasih dan kesatuan hati kita dengan arwah. Semoga doa kita semua akan mendatangkan keselamatan kekal bagi saudara kita yang telah kembali ke pangkuan Tuhan.
Sr Appollonia bersambung bahawa satu lagi cabaran yang besar ialah untuk menyatupadukan umat di dalam satu visi, melalui KKD. 'Saya gembira kerana kini, umat semakin sedar dan melibatkan diri di dalam penubuhan KKD. Semoga kamu terus berjalan bersama dengan KKD dengan dorongan pastoral Keuskupan'.
Sr Appollonia terus menyeru kepada umat bahawa kita hendaklah bersama menubuhkan Gereja yang teguh dan komuniti yang kuat. Malah, Federasi Persidangan Uskup-Uskup Asia (FABC) menekankan kepentingan KKD yang juga dipanggil sebagai ‘cara baru menjadi Gereja.’
Sebagai komuniti-komuniti kecil KKD, kita akan melihat Gereja sebenar di mana umat saling bekerjasama dan menurunkan iman kepada anak-anak mereka. Sekarang ini, jelas kelihatan masalah-masalah mengenai kanak-kanak dan belia di dalam masyarakat kita dan ini mampu diselesaikan di dalam komuniti-komuniti yang kecil. Kekuatan Gereja terletak pada komuniti-komuniti yang kecil ini.
Menubuhkan Komuniti Kristian Dasar (KKD/Basic Ecclesial Communities) merupakan program utama Uskup Julius Dusin Gitom di Keuskupan Sandakan yang akan menyambut ulangtahun ketiga dalam bulan Oktober nanti.
Jelas membuktikan bahawa terdapat banyak manfaat melalui KKD - saling bantu membantu dalam semua keadaan samada dalam suasana susah atau senang.
No comments:
Post a Comment