Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 12, 2010

Gabungan 4 KKD Anjur Kaamatan Gereja St Mark 2010



Sandakan: Tema Kaamatan, "Berjalan Bersama Kristus Melalui Kebudayaan" membawa erti yang mendalam. Seperti tahun-tahun yang sudah, Kaamatan diraihkan setiap tahun pada bulan Mei sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran untuk segala hasil bumi yang Tuhan telah berikan kepada umat manusia.

 



Di Gereja St Mark, pada 28hb Mei 2010, empat Komuniti Kristian Dasar (KKD) iaitu KKD MERAK, KKD BT. 10 PGA, KKD SEPILOK dan Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) bersama-sama bergabung tenaga bagi menjayakan acara tahunan ini. Apa yang menarik tentang sambutan ini ialah, ia bukan saja dimeriahkan oleh kaum Kadazan dan Dusun malahan dari kalangan Kaum Timor.


Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Thomas Makajil telah dijalankan dalam Bahasa Kadazan, Bahasa Malaysia dan koirnya pula turut diselitkan dengan lagu-lagu dalam bahasa kaum Timor. Dalam khutbahnya, beliau menekankan bahawa dengan jelas dalam pembacaan pada ketika itu, Tuhan memberikan tanggungjawab yang besar terhadap umat manusia.


"Kuasailah segala ciptaanKu". Tuhan ingin manusia supaya menjaga dan menggunakan sebaik-baiknya segala sesuatu yang Dia ciptakan untuk kebaikan umat sejagat. Segala hasil bumi akan habis jika manusia tidak mengusahakan, memperbanyakkannya serta memelihara dan memulihara.


Acara rutin selepas misa, jamuan makan malam. Matheus Sodomon, Pengerusi penganjur Kaamatan KKD (G) St.Mark 2010 merangkap Pengerusi KKD Merak menerangkan objektif utama perayaan dalam ucapan alu-aluan beliau. 



"Objektif utama perayaan ini antara lain adalah untuk mengeratkan hubungan di antara umat yang berbilang kaum dan keturunan sesuai dengan seruan Bapa Uskup kita bahawa "KKD adalah Pelayanan untuk Semua". Dan selari dengan tema perayaan Kaamatan kali ini, bahawa kita harus juga meletakkan Yesus sebagai pusat dalam perayaan ini. Kerana dengan kehadiran Yesus, kita dapat bersatu sebagai satu Tubuh dan satu keluarga yang besar dalam KKD untuk terus menghidupi nilai-nilai murni dalam melayani satu sama lain, bagi meneruskan budaya yang diamalkan oleh para rasul Yesus pada 2000 tahun yang lalu."


Antara acara pentas yang mengemilangkan perayaan pada malam itu ialah persembahan dari setiap KKD, Pertandingan Ratu Fesyen Kanak-kanak, Cabutan Tiket Bertuah, Pertandingan Hinava Terbaik dan Pertandingan Tapai Terbaik.


Sebelum itu pula acara sukaneka tidak ketinggalan diadakan. Acara yang menjadi tumpuan pada sukaneka tersebut adalah menyumpit, gusti tangan, tarik tali dan mengupas kelapa.




 
Pada masa kini, sering kita lihat di mana-mana di seluruh dunia tentang kemusnahan alam sekitar akibat daripada sikap segelintir manusia yang terlalu rakus akan kemajuan tak bertempat dan hasil bumi yang disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, Kita harus peka akan hal ini dan bersatu serta sentiasa bersyukur atas apa yang sudah tersedia untuk kita. Peliharalah dan usahakanlah dengan sebaik mungkin kerana kita bergantung kepada hasil bumi untuk meneruskan hidup. Jika musnah atau pupus semuanya itu, tidak mustahillah, suatu masa nanti kita, manusia turut akan pupus.


DSsj



No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent