"Demikianlah tinggal ketiga hal ini, iaitu iman, pengharapan dan kasih,
dan yang paling besar di antaranya ialah kasih." - 1 KORINTUS 13:13
SANDAKAN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020, pasti ramai orang akan terkesan dengan situasi ini, terutama sekali para migran (Indonesia dan Filipina) dan orang tempatan yang kurang berkemampuan atau terputus pencarian nafkah hidup. Maka oleh itu, Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan telah mengadakan perkongsian singkat berkenaan hal ini dan tindakan selanjutnya dilakukan oleh Komiti Pembangunan Insan Paroki di setiap Paroki.
Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) Katedral St. Mary Sandakan telah mulai berbincang dengan Paderi Paroki, Rev. Fr. David A. Garaman berkenaan bantuan yang perlu disalurkan kepada keluarga yang paling terkesan iaitu mereka yang kurang berkemampuan atau terputus mata pencarian. Misi bantuan ini cuba meringankan beban mereka.
Maka dengan itu, satu usahasama dengan KPIP Sandakan dan Sandakan Rotary Club (NGO) telah dijalinkan demi menjalankan misi bantuan tersebut. Sandakan Rotary Club bersetuju menjadi penyumbang kepada dana bantuan manakala KPIP Sandakan pula membentuk tim penyelaras atau pelaksana. Segala maklumat telah disalurkan melalui Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) dan Keluarga Kristian Dasar (KKD).
Kumpulan sasaran yang dikenalpasti adalah para migran dan rakyat tempatan yang kurang berkemampuan, di beberapa kawasan dalam Daerah Sandakan, yang mana belum menerima bantuan dari mana-mana pihak setakat ini. Mereka telah menerima bantuan makanan asas berupa beras, telur, tepung gandum, gula, minyak masak dan serbuk kopi pada 24 April 2020. Misi bantuan pertama ini dapat menjangkau dan membantu 45 buah keluarga iaitu dua di Batu 2 1/2 dan bandar, tiga di Batu Sapi dan Jalan Cecily, sebelas di Batu 7, tujuh di Batu 8, sebelas di Batu 10, enam di Batu 11, empat di Batu 12 dan satu di Batu 19.
Tim Penyelaras / Pelaksana telah mendapati bahawa masih terdapat keluarga yang belum menerima bantuan dari mana-mana pihak, maka bantuan fasa kedua akan dirancang dan dilaksanakan secepat mungkin. Ibu tunggal atau orang tua yang tinggal bersendirian, yang masih memerlukan bantuan juga adalah yang disasarkan untuk menerima bantuan seterusnya nanti.
Pihak Gereja Katolik di Paroki Katedral St. Mary, Sandakan dan Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan amat menghargai sumbangan dana yang diterima daripada Sandakan Rotary Club. Mereka juga berterima kasih kepada semua pihak lain yang terlibat menjayakan misi bantuan ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MISI BANTUAN LAIN YANG DISELARASKAN OLEH PIHAK GEREJA BERSAMA NGO LAIN - KAWASAN KEUSKUPAN SANDAKAN
SANDAKAN: Saudari Elizabeth De Guzman, Pengerusi Komiti Pastoral Filipino telah mengagihkan bantuan makanan asas dan bekalan barangan penjagaan kebersihan diri asas kepada para migran dari Filipin dan Indonesia yang berada dalam Pusat Tahanan Sementara, Sandakan pada 17, 20, dan 21 April 2020.
Kemudian, Suami Elizabeth telah menyumbangkan barang makanan asas kepada komuniti migran Filipino di sekitar Sandakan semasa musim Paska.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Memastikan mereka yang dalam kesusahan tidak bersendirian dan diambil peduli"
TAWAU: Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) di Holy Trinity, Tawau melaporkan bahawa ada beberapa pihak yang telah memberikan sumbangan kepada mereka yang terkesan oleh PKP.
Bantuan NGO, Ambar Park melalui KPIP Tawau, telah membantu dua orang ibu tunggal. Bantuan segera tersebut telah dihulurkan kepada mereka pada 15 April 2020.
Pada 28 April 2020 pula KPIP Tawau telah melaksanakan program bantuan kepada 70 buah keluarga dari komuniti migran Indonesia di Kongsi 8, Tawau. Program ini telah diatur dan diuruskan oleh Saudara Roland Henry, Timbalan Pengerusi KPIP dan Saudara Nadus [Ketua Komiti Pastoral Indonesia (KPI) Kongsi 8].
Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Rev. Fr. Stanley W. Matakim, Pembantu Paderi Paroki Holy Trinity, Tawau bersama Saudara Clarence Chin, Pengerusi KPIP Tawau dan diiringi oleh seorang anggota RELA, En. Mohd Salim. Sumbangan ini adalah daripada seorang insan yang prihatin dan murah hati bernama Ibu Christina dari Jakarta, Indonesia. KPIP Tawau telah membantu urusan pembelian/penyediaan barangan mengikut jumlah wang yang telah dikirim oleh Ibu Christina.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"KKD bantu KKD"
LAHAD DATU: Bagi Paroki St. Dominic, Lahad Datu, Rev. Fr. Simon Kontou selaku Paderi Paroki menyokong penuh misi bantuan kepada yang memerlukan, terkesan oleh PKP. Maka oleh itu, misi bantuan ini telah dilakukan melalui Keluarga Kristian Dasar (KKD). Kemurahan hati umat Paroki St. Dominic, Lahad Datu untuk menderma telah membolehkan misi ini terlaksana.
Bantuan oleh KKD Silabukan, Lahad Datu
KKD Silabukan, Lahad Datu semasa bersiap sedia untuk mengagihkan bantuan
KKD Our Lady of Pillar, Silam dalam misi memberi bantuan kepada yang memerlukan
KKD Our Lady of Pillar, Silam dalam misi memberi bantuan kepada yang memerlukan
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Komisi Pembangunan Insan Kesukupan Sandakan amat bersyukur selepas menerima laporan daripada KPIP yang menyatakan bahawa bantuan-bantuan sebegini sememangnya ada juga daripada pihak NGO dan Agensi Kerajaan selain Gereja Katolik sama ada yang dilaporkan atau tidak.
PKP masih diteruskan di Negeri Sabah setakat ini, sehingga 12 Mei 2020. Sekiranya ada di kalangan anda terbuka hati untuk menjadi penderma, silalah menghubungi Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan di alamat emel: dospo1@gmail.com. Sumbangan anda pastilah amat bermakna dan Tuhan memberkati kebaikan dan kemurahan hati anda.
No comments:
Post a Comment