TUHAN ITU SETIA, TUHAN ITU BAIK, TUHAN ITU BERSAMAKU, TUHAN ITU ADALAH UNTUK KU
Nama saya Chelsea Anselmus Bungkak dan berasal dara Kg. Notoruss, Penampang. Saya sudah berkhidmat 6 tahun sebagai seorang jururawat. Saya juga seorang ibu dan mempunyai seorang anak berusia 1 tahun lebih.
Sejak PKP diumumkan pada 18 Mac 2020 yang lalu, semua orang diminta duduk di rumah. Namun, selain diwajibkan hadir bertugas oleh pihak Kementerian Kesihatan, saya tetap menjalankan tugasan sebagai seorang jururawat sebab mahu membantu pesakit yang memerlukan rawatan dalam situasi pandemik ini. Perasaan takut itu memang ada. Tetapi, itu merupakan salah satu cabaran yangg perlu dihadapi oleh saya apabila bergelar seorang jururawat.
Perkara yang paling mencabar bagi saya semasa bertugas semasa PKP adalah apabila tiba masa untuk merawat pesakit. Hal ini kerana, meskipun saya sudah memakai alat perlindungan diri yang lengkap semasa merawat pesakit, risiko untnk mendapat jangkitan Covid-19 itu tetap ada.
Perkara yang paling menyentuh bagi saya di sepanjang PKP ini, adalah mengenai seorang pesakit yang tinggal jauh yang sanggup berjalan kaki dari rumah ke pusat rawatan sebab tiada kenderaan untuk dinaiki bagi mendapatkan rawatan di pusat rawatan. Selain itu ada jaga pesakit yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa meminjam wang dari orang lain semata - mata ingin mendapatkan rawatan di pusat rawatan. Mereka sanggup datang mendapatkan rawatan walaupun amat terkesan disebabkan musim PKP ini.
Sehingga ke hari ini, perkara yang saya amat bersyukur adalah diberikan kesihatan yang baik untuk memberi rawatan kepada pesakit dan balik ke rumah untuk bertemu dengan keluarga selepas pulang dari kerja.
Saya sungguh - sungguh berharap agar rantaian penyakit Covid-19 ini dapat diputuskan dan ubat/vaksin Covid-19 dapat dicipta tidak lama lagi untuk menyembuhkan penyakit ini.
Ada kalanya bekerja sebagai jururawat sungguh memenatkan apatah lagi semasa musim pandemik ini. Tetapi, itulah panggilan Tuhan dalam hidup saya. Dia mahu saya membantu pesakit dengan cara memberi rawatan kepada mereka, di samping saling mendoakan yang terbaik utk mereka terutama bagi mereka yang sedang melawan penyakit ini.
===============================================================
Sebagai seorang jururawat, sudah semestinya tugas saya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan. Pertama sekali, perasaan takut memang ada terutama berhadapan dengan pesakit positif Covid-19, tetapi saya percaya dengan mengikuti SOP yang betul, semua akan berjalan lancar.
Perkara yang paling mencabar bagi saya adalah apabila saya diarahkan untuk menjaga pesakit Covid-19 selama satu bulan. Di sini saya perlukan kekuatan mental dan fizikal. Saya perlu memakai full Personal Protection Equipment (PPE) selama 3 sehingga 4 jam dan membuat saya rasa kepanasan. Selain itu ada juga segelintir pesakit yang degil tidak ‘self quarantine’ sehingga menyebabkan pertambahan bilangan pesakit masuk ke wad.
Meskipun banyak perkara yang mencabar namun saya tidak lupa akan perkara yang paling menyentuh hati saya iaitu apabila ada pesakit memberi ucapan terima kasih sebagai tanda memahami dan menghargai kerja yang dilakukan. Saya sangat gembira melihat pesakit yang berjaya sembuh dan discaj untuk kembali ke rumah masing-masing. Saya juga terharu melihat rakan sekerja saya yang bertungkus lumus dalam meneruskan tugas dan ada yang tidak dapat bersama dengan keluarga demi tanggungjawab di Hospital.
Saya sungguh bersyukur atas berkat doa-doa dan sokongan dari ibu-bapa, keluarga, dan kawan-kawan saya. Tidak lupa juga kepada Tuhan yang sentiasa memberi perlindungan setiap masa dan memberikan saya tenaga untuk meneruskan tugas. Harapan saya agar semua orang mendapat kesihatan yang baik dan memberi kerjasama agar wabak Covid-19 ini dapat dipulih sepenuhnya.
Panggilan utama Tuhan bagi saya adalah LOVE (Cinta Kasih) dalam pelayanan melalui pekerjaan saya, Tuhan menggunakan saya untuk menyebarkan kasih kepada sesama terutama sekali dalam menjaga dan merawat mereka yang sakit.
No comments:
Post a Comment