Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 21, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKKAN (PKP): APA KATA BELIA - BAHAGIAN 3


PAROKI HOLY TRINITY, TAWAU

MARYCIA LISA GONDUNGAN

Secara jujurnya, perasaan saya bercampur - baur. Pada awalnya perasaan panik, risau dan sedih tidak dapat dielakkan apabila negara kita mulai diserang oleh wabak Covid - 19 ini. Namun atas berkat doa kepada Tuhan dan kepercayaan kepada Tuhan bahwa Dia akan selalu bersama - sama umat-Nya terutama sekali pada saat - saat genting ini, maka perasaan panik dan risau itu berkurangan.

Perkara yang paling mencabar adalah berjauhan dengan keluarga dan tidak dapat bercuti untuk balik menziarahi mereka. Tetapi saya amat bersyukur, walaupun saya tidak dapat berjumpa dengan mereka, Tuhan sentiasa melindungi kami semua dan dijauhi daripada wabak ini. Salah satu cabaran besar bagi umat Katolik adalah tidak dapat menghadiri misa hari minggu. Tetapi saya bersyukur kepada Tuhan, kerana masih boleh berdoa di rumah bersama kawan-kawan melalui misa ‘online’ yang diadakan di setiap paroki.

Apa yang saya pelajari dari situasi ini adalah saya haruslah sentiasa bersyukur atas semua yang telah diberikan kepada saya. Walaupun pada situasi ini, Tuhan masih lagi menyayangi dan melindungi saya supaya jauh dari serangan wabak Covid-19 ini. Kadangkala saya harus berkorban sesuatu, misalnya mengorbankan keinginan berjumpa keluarga, kerana takut menjadi punca penyebaran penyakit Covid-19.

Saya amat bersyukur kerana masih sihat dan masih lagi boleh menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Apabila PKP dimulakan, ada kekangan pergerakan keluar rumah dan sebagainya. Tetapi semua itu adalah untuk kebaikan semua penduduk Malaysia. Harapan saya agar wabak Covid-19 ini berkurangan di Malaysia mahupun di seluruh dunia, dan semoga semakin ramai yang akan sembuh dari penyakit Covid-19 ini.


AGATHA ALEXANDER

Shalom, saya Agatha Alexander dari Paroki St Holy Trinity Tawau. Saya ingin mengongsikan pengalaman saya sepanjang PKP ini, dan terlebih dahulu saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kawan-kawan sepelayanan saya atas kesempatan ini.

Pertama sekali berasa takut dan sedih di mana banyak nyawa terkorban ekoran daripada Covid-19 ini. Saya takut sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat menghidap penyakit ini. Selain itu, cabaran yang paling mencabar dalam hidup apabila berada dalam situasi ini adalah susahnya untuk melayani Tuhan disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan ini. Saya terkadang lupa tentang hari-hari penting terutamanya hari Ahad kerana leka dengan hiburan media sosial dan televisyen sehinggakan saya sering terlupa untuk berdoa walaupun untuk seketika.

Namun begitu, Iman Katolik saya tetap diperteguhkan dengan adanya sahabat seperjuangan kerana mereka selalu mengirimkan doa-doa setiap harian melalui group whatsapp gereja kami. Berkenaan Sunday Mass, mereka selalu membantu dalam mengirimkan pautan (link) untuk kami bersama-sama berdoa.

Apa yang dapat saya belajar dari situasi ini adalah saya sendiri dapat belajar untuk lebih peka tentang keadaan sekeliling terutamanya kebersihan dan keselamatan. Saya juga lebih patuh berkaitan peraturan sepanjang Covid19 ini.

Sepanjang PKP ini, saya rasa sangat bersyukur kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga terutamanya adik-beradik yang bersekolah jauh dari rumah dan menetap di asrama. Mereka hanya balik ke rumah dalam dua minggu sekali dan ini merupakan waktu terpanjang mereka berada di rumah. Saya juga bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang terkena dengan virus Covid-19 ini.

Memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020, harapan saya adalah semoga keadaan bertambah pulih sekaligus mencapai penurunan 100% dan kita akhirnya bebas dari Covid-19 ini.

Semoga Tuhan memberkati kita semua, Amen.


ADELIA NONA FRANSISCUS

Shalom dan salam sejahtera, saya Adelia Nona Fransiscus dari Paroki Holy Trinity Tawau ingin berkongsi pengalaman yang saya lalui sepanjang PKP dilaksanakan di negara kita.

Sepanjang PKP berlangsung saya merasa sangat sedih kerana banyak hal yang saya terpaksa tangguhkan disebabkan oleh wabak Covid-19 ini. Namun begitu saya juga merasa sangat-sangat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama-sama anggota keluarga. Dengan ini hubungan saya dan keluarga menjadi bertambah erat.

Namun demikian, banyak cabaran yang terpaksa saya lalui, saya terpaksa menjaga jarak dengan ahli keluarga saya, namun begitu ini bukanlah halangan saya untuk selalu berinteraksi dengan anggota keluarga saya.

Meskipun PKP dilaksanakan oleh pihak kerajaan, tidak bermakna iman saya juga harus terbatas. Cara saya menghidupi iman katolik saya adalah dengan berdoa, membaca alkitab dan membuat renungan bersama ahli keluarga. Setiap hujung minggu, saya dan keluarga akan mengikuti misa secara online. Dengan ini iman saya dan keluarga akan semakin bertumbuh dalam Kristus.

Dengan adanya wabak Covid-19 ini banyak hal yang saya dapat pelajari secara peribadi, iaitu sikap saling memberi dan berkongsi antara satu sama lain. Selain itu, saya juga dapat belajar akan pentingnya menyimpan wang, merancang perbelanjaan dan tidak mengamalkan sikap membazir.

Sangatlah jelas bahwa kesihatan yang saya dan keluarga miliki pada saat ini adalah hal yang patut saya syukuri. Walaupun segalanya terbatas, tidaklah membuat saya untuk selalu mengeluh dalam hidup sebaliknya mahu selalu bersyukur dan mau menikmati kebersamaan ini.

Harapan saya, semoga wabak Covid-19 ini segera berakhir agar saya dan keluarga dapat menjalankan kehidupan seperti biasa. Saya juga berharap dengan kerjasama kita semua untuk selalu mahu mematuhi PKPB yang dilaksanakan pada hari ini demi kesejahteraan bersama pada masa mendatang.



DEBIT LEBA

Situasi ini membuat saya rasa sedih, gembira dan rindu. Perkara yang paling mencabar saya adalah masalah kewangan dalam keluarga, terbatas pergerakkan dan sering merasa risau.

Puji Tuhan Sepanjang PKP ini rutin harian saya berubah. Saya dapat membaca pembacaan harian dengan teratur dan berdoa bersama keluarga dalam Misa online 

Perkara yang saya telah belajar dari keadaan ini adalah saya perlu sentiasa bersiap sedia denagn sebarang kemungkinan yang berlaku, dan perlu sentiasa kuat dalam doa. Sehingga ke hari ini saya sangat bersyukur kerana diberi kesihatan keluarga yang baik. Akhir sekali, saya berharap disepanjang PKP ini, saya akan berjimat cermat, sentiasa kuat dalam doa dan menjaga keselmatan diri.


JULIME ESGUERRA
Pada mula saya sangat risau kerana tidak bekerja dan tanpa gaji. Namun saya tetap bersyukur sebab diarahkan untuk duduk rumah. Seumpama mendapat cuti yang panjang. Ketika berada dalam situasi PKP ini, perkara yang paling mencabar adalah timbul rasa malas dalam diri, tidak ada kesedaran akan kebaikan duduk rumah dan mulai timbulnya penghakiman. 

Namun demikian adalah juga kebaikannya, saya kini rajin berdoa Rosari, mengikuti Misa secara online di rumah bersama keluarga meskipun ada kesukaraan untuk melayani keluarga sendiri. Apa pun saya belajar untuk bersabar dan bersyukur dengan apa yang ada, belajar untuk merendahkan diri dan belajar menghargai diri sendiri sebelum melayani orang lain.

Saya juga bersyukur kerana diberikan masa yang panjang untuk berehat serta kesihatan yang baik, mempunyai tempat yang selesa untuk berteduh dari hujan panas dan makanan dan minuman serba berkecukupan serta berpeluang untuk berkumpul bersama keluarga di dalam satu rumah setiap hari.

Saya berharap kesedaran itu ada dalam setiap peribadi semua pihak. Janganlah pentingkan diri kerana selepas ini cara hidup kita tidak akan sama seperti sebelum ini. Selau beringat untuk mengawasi jarak, kerap menjaga kebersihan dan elakkan untuk berada di tempat-tempat ramai orang demi kebaikan diri dan orang-orang disekeliling kita. Selain itu saya juga berharap agar kita dapat mengunakan masa yangg ada semasa PKP sebaik-baiknya dan mencuba untuk belajar sesuatu yang baru serta skill yang baru.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent