Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 3, 2020

JOURNEYING WITH YOU


Sandakan - Pada 23 sehingga 26 Januari 2020 yang lalu satu program khusus telah diadakan untuk para pelajar lelaki Asrama St Mary Sandakan bertempat di Pusat Katekatikal Fr. Mulder. Ini merupakan program kemuncak bagi lawatan - lawatan yang telah diadakan bermula pada bulan Jun 2019 sehingga November 2019. Seramai 42 pelajar Kristian termasuk 4 pelajar lepasan SPM 2019 telah mengikuti program ini. 

Program ini telah dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan para pelajar berdasarkan kepada renungan dan perkongsian yang telah diterima semasa lawatan - lawatan pada tahun 2019. Ini merupakan penganjuran usahasama pihak Pentadbiran Asrama St Mary, Kerasulan Belia Keuskupan (DYA) dan Kerasulan Belia Paroki (PYA) yang dipimpin oleh Saudara Ronald Aloysius Premus selaku Kordinator program.


Tarian Simbolik Kesatuan dengan lagu Hinei Mah Tov yang bermaksud 'Behold how Good and pleasant it is...'
Saudara Ferdy Brian Amigo mengendalikan Time of Life
Program 'Journeying with You' telah dimulakan dengan ketibaan dan pendaftaran peserta pada hari pertama. Aktiviti pada 23 Januari 2020 lebih kepada pengenalan, Time of Life,  ice breaking / games dan Sesi 'Expectation Check'. Dalam sesi 'Expectation Check', para peserta diajak untuk mengongsikan harapan mereka untuk program ini. Oleh kerana pada masa itu merupakan cuti sekolah bagi perayaan Tahun Baharu Cina, maka ramai yang merasakan ingin pulang dan tidak mahu mengikuti program. Ada juga mengongsikan agar program ini selesai dengan cepat, namun ada juga yang ingin mengetahui apa yang akan mereka terima. Meskipun perasaan mereka ketika itu bercampur aduk, masing - masing ingin memberi peluang untuk mencuba. Sesi 'Expectation Check' ini diakhiri dengan tarian simbolik kesatuan dengan lagu 'Hinei Mah Tov'.

Selesai sesi, peserta kemudiannya diagihkan kepada 4 kumpulan iaitu FAITH, HOPE, JOY, dan LOVE untuk melaksanakan tugasan mereka seperti membersih kawasan dan memasak. Ini merupakan rutin harian mereka sepanjang berada dalam program tersebut. Disebelah malam, semua peserta diajak untuk menyerahkan semua harapan, permasalahan, gangguan dalam Adorasi yang berlangsung di Katedral St. Mary, Sandakan. Selesai sahaja Adorasi, peserta diberikan sedikit penjelasan untuk hari esok dan penggunaan telefon bimbit selama 15 minit sebelum tidur.


Para peserta dari Asrama Lelaki St Mary, Sandakan bertugas untuk memasak


Peserta memasak sambil dibantu oleh salah satu penganjur iaitu Jason Alexander Degullacion
(Tengah berbaju putih)
Hari kedua dimulakan dengan doa pagi (Divine Office) yang dipimpin oleh Sr. Rusiah Garuk. fsic. Sesi di waktu pagi semua menjurus kepada keperibadian para peserta. Dikon Stephen Esguerra selaku penyampai sesi pada masa itu membawa peserta untuk melihat kedalam hati mereka untuk mengenali siapakah diri mereka. Masing - masing telah diberikan kertas untuk melukis siapa mereka dan memperkongsikan hasil lukisan mereka kepada sesama. 


Dikon Stephen Esguerra menyampaikan sesi pertama iaitu 'Siapa saya?'
Perkongsian oleh peserta tentang siapakah diri mereka.


Outdoor games

Disebelah petang, para peserta disajikan dengan sebuah video yang bertajuk "Father's Love Letter". Sesi yang dikendalikan oleh saudara Justine Marcus ini, mengajak para peserta mengetahui bahawa mereka adalah kasih karunia dari Allah Bapa. Kewujudan mereka di dunia ini bukanlah satu kesilapan malah satu anugerah. Anugerah yang perlu  mereka ketahui dan hargai. Selesai perkongsian, para peserta dibawa untuk berdoa Rosari sambil merenungkan surat dari Allah Bapa di Bukit Marian.


Sesi 'Father's Love Letter' yang disampaikan oleh Saudara Justine Marcus


Mendaki Bukit Marian sambil berdoa Rosari
Sesi tiga menyusul di sebelah malam dengan soalan 'Adakah Yesus mencintai saya?' yang disampaikan oleh Saudari Vanessa William. Tidak dinafikan para peserta ini merasakan tidak layak, serba kekurangan dan merasakan mereka penuh dengan dosa. Namun seperti cerita - cerita dalam alkitab dan para Santa - Santo. Mereka juga manusia biasa yang penuh dengan dugaan, kehampaan, kelemahan dan kekurangan. Namun Allah Bapa tetap mengangkat mereka dan menyayangi mereka kerana mereka adalah anak - anakNya. Sesi yang berbentuk perkongsian berdasarkan kepada soalan telah sedikit sebanyak membantu para peserta untuk melihat hati Allah Bapa yang mengasihi mereka. Sesi diakhiri dengan mendoakan sesama.


Saudari Vanessa William menyampaikans sesi 'Adakah Yesus mencintai saya?'
Setelah peserta dibawa mengenali diri mereka dan mengenal hati Allah yang tidak ada tandingannya pada hari kedua, mereka kini dibawa untuk lebih mendalami keperibadian mereka melalui sesi keluarga. Keluarga juga merupakan anugerah dari Allah Bapa dan wujud kerana kasih. Namun secara realitinya tidak ada keluarga yang sempurna akan tetapi ia adalah panggilan bagi semua ahli dalam keluarga untuk sama - sama menjadi penyempurna bagi keluarga itu walaupun terdapat kekurangan. 


Sesi: Apakah itu Keluarga? yang disampaikan oleh Puan Eva Siruno
Puan Eva Siruno, selaku penyampai sesi keluarga yang juga melayani sepenuh masa dalam Komisi Pelayanan Hidup Keluarga Keuskupan Sandakan, telah membawa para peserta untuk mengenali keluarga mereka masing - masing. Setiap ahli dalam keluarga terutama sekali seorang bapa dan ibu mempunyai peranan yang khusus dalam keluarga namun misi utama tetap sama iaitu membawa kasih. Sesi ini banyak menyentuh keperibadian para peserta kerana kebanyakan mereka datang dari keluarga yang serba kekurangan dan mempunyai masalah.

Acap kali, apabila melihat anak muda remaja, mereka selalu memperlihatkan keadaan mereka yang gembira dan tidak mempunyai masalah serta berfikiran bahawa hal yang bermasalah itu akan berlalu. Namun 'luka yang tidak disembuhkan' akan sentiasa kembali sakit apabila 'terlanggar', 'terhantuk' atau 'terjatuh'. Oleh itu melalui rahmat Allah Bapa, dalam program ini, para peserta ini disedarkan akan 'sakit' itu, mengakui 'sakit' itu dan memohon pengampunan melalui pengakuan yang diadakan selepas sesi keluarga.


Menonton wayang 'The Shack'
Sesi kemudianya diteruskan dengan menonton wayang yang bertajuk 'The Shack' yang mengisahkan perjalanan sebuah keluarga yang kehilangan seorang anak akibat dibunuh dengan kejam dan bagaimana Tuhan bekerja dengan cara-Nya untuk mengapai keluarga ini. Mesej utama yang ingin disampaikan dalam wayang ini adalah kasih Allah yang besar dan pengampunan yang membebaskan kehidupan yang telah diikat serta dikaburi oleh kebencian, kesakitan, rasa bersalah dan ego. Banyak reaksi yang dapat dilihat dari wajah - wajah anak muda yang menonton wayang ini dan semua dibawa dalam doa Taize yang diadakan pada sebelah malam mengahkiri hari yang ketiga.

Dalam masa tiga hari bersama, pihak penganjur juga berusaha untuk terus menjadi  kawan yang setia sebagai seorang pendengar kepada para peserta ini. Selain membuat perkongsian dalam sesi, ia juga di teruskan semasa makan dan masa - masa terluang. Ini agar para peserta merasa diterima dan mereka juga percaya akan persahabatan yang terjalin atas nama cinta kasih.


Makan sambil berkongsi cerita.
Perjalanan yang dilalui selama tiga hari ini telah membawa mereka ke hari terakhir iaitu merayakan kasih. Hari keempat ini, telah dimulakan dengan misa hari Ahad dan diteruskan dengan sesi penutup. Kordinator program iaitu saudara Ronald Aloysius yang juga melayani sebagai staf sepenuh masa di Asrama Lelaki St Mary, Sandakan telah membawa para peserta mengimbas kembali tiga hari program melalui satu video singkat.

Setelah itu, mereka kemudiannya dibawa dalam sesi 'cradling'. Dalam sesi ini, mereka dibahagikan kepada enam kmpulan dan ditempatkan di bilik yang berasingan. Setiap para peserta akan disambut oleh kawan - kawan mereka sementara para penganjur mendoakan serta memberi peneguhan kepada mereka semasa berada dalam 'gendongan yang diayun' itu. 


Saudari Anna mengendalikan perkongsian selepas sesi 'Cradling'.
Pengalaman yang dilalui selama empat hari itu telah simpulkan dalam sesi ini. Semua orang mempunyai cerita tersendiri baik dan tidak baik. Namun itu tidak menentukan siapakah mereka sebenarnya. Tuhan melihat bahawa setiap yang dicipta berdasarkan kasih-Nya adalah anak - anak kesayangan-Nya dan agar mereka mengetahui betapa besarnya kasih-Nya itu sudah mencukupi bagi-Nya. Sesi diteruskan dengan perkongsian dan berakhir dengan perdamaian dan doa.

Semoga melalui pengalaman ini para peserta akan mulai mengenali Tuhan sebagai Allah Bapa yang penuh kasih dan menerima kekurangan diri sebagai satu berkat dan menjadi cahaya kasih Kristus dalam keluarga mereka yang tidak sempurna.


PERKONGSIAN PESERTA PROGRAM 'JOURNEYING WITH YOU'

Christian Jason Han
Pelajar Tingkatan 3 (15 Tahun)

1. Apakah perasaan saya mengikuti Program?
Saya rasa bersyukur, bebas dan lebih memahami.

2. Apa yang paling menyentuh hati saya?

Aktiviti terakhir adalah aktivit yan paling menyentuh hati saya. Saya ibaratkan mereka yang menyambut adalah ibu saya yang telah menjaga saya dari kecil. Ini adalah kerana ayah saya telah meninggal apabila saya berumur 10 bulan. Saya dapat merasakan betapa beratnya bebanan ibu saya. Namun saya berterima kasih sungguh - sungguh kerana masih ada orang di sekeliling saya yang menyayangi saya. Ada Tuhan yang sentiasa menyayangi saya, ada kawan yang berada di sisi saya, dan ada tim penganjur yang memberikan saya semangat. Saya janji akan teruskan pelayanan dari masa ke masa. Saya juga memohon doa daripada tim penganjur dalam setiap perjalanan saya. Terima kasih. I love u guys so much. 

3. Apa yang mencabar / menganggu / masalah yang saya hadapi sepanjang program?

Saya tercabar apabila menyedari yang saya sering menyalahkan Tuhan kerana kematian ayah saya. Saya berasa serba salah, dan merasakan tidak lagi di sayang Tuhan. Saya rasa kecewa kerana selama ini, saya rasa sepatutnya saya yang patut diambil, namun mulai dari kesedaran saya itu, saya cuba faham yang kehilangan akan akhirnya menimbulkan sebuah kebahagiaan. 

4. (Setelah selesai program) Apakah jemputan Tuhan bagi saya?


Pelayanan. Yeah. Saya harap suatu hari nanti saya dapat menjadi salah satu ahli dalam kumpulan Kakak Anna dan tidak lagi menjadi 'hakim'. Saya juga akan mencuba untuk sentiasa mengampuni walaupun sukar.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent