Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 12, 2020

Perayaan 3 dalam 1 Peringkat Paroki

Oleh SOCCOM

SANDAKAN: Pada 20 Januari 2020, perasaan penat dari bekerja atau belajar tidak menghalang semangat umat Paroki Katedral St. Mary untuk menghadiri Perayaan 3 dalam 1 iaitu Acara Pembukaan Lawatan Pastoral KKD Paroki, Sambutan Tahun Baru 2020 dan Ulang Tahun Kepaderian Rev. Fr David A. Garaman dan Rev. Fr. Christopher Ireneus. Perayaan ini turut disertai oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan mantan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Sdra. Pilis Malim.
Acara dimulakan dengan sesi 4 langkah perkongsian Alkitab yang dipimpin oleh Sdra Pius Gorohom disusuli dengan sesi suai kenal ketua-ketua KKD.
Dalam ucapan Paderi Paroki Rev. Fr. David, beliau menekankan sebagai ketua atau ahli KKD perlu memupuk peranan dan komitmen di sebuah KKD. Beliau turut menceritakan tentang latar belakang KKD iaitu merupakan satu kumpulan kejiranan atau komuniti yang kecil untuk bertemu dan merenungkan sabda Allah serta menerapkan pengajarannya mengikut situasi dalam kawasan mereka. Akhir sekali, Keluarga Kristian Dasar juga merupakan satu bentuk komuniti berpusatkan ajaran Kristus dan perlu menerapkan tiga kepentingan iaitu menyebarkan Firman Tuhan, melayani dan penglibatan aktif (partisipasi). Fr. David berterima kasih kepada pihak penganjur atas perayaan 3 dalam 1 iaitu Acara Pembukaan Lawatan Pastoral KKD Paroki, Sambutan Tahun Baru 2020 dan Ulang Tahun Kepaderian kerana mempersiapkan acara pada malam tersebut.
Seterusnya, dalam ucapan singkat Fr Christopher Ireneus mengongsikan tentang panggilan kepaderian. Dalam tempoh tiga tahun pelayanannya sebagai Pembantu Paderi Paroki di Katedral St. Mary, Sandakan, menurut Fr Christopher, sebuah panggilan itu juga lahir dalam kehidupan sebagai sebuah keluarga atau komuniti yang didasari dengan pengorbanan dan cinta kasih Yesus. Beliau menyeru agar semua umat terus berdoa bagi mereka yang masih dalam pembentukan dan berharap lebih ramai lagi para belia menyahut panggilan dan melayani khususnya di Keuskupan Sandakan.
Dalam ucapan Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, beliau mengucapkan tahniah kepada Fr. David dan Fr. Christopher atas ulang tahun kepaderian ke-9 dan ke-3. Disamping itu, beliau mengatakan Keluarga Kristian Dasar(KKD) merupakan anugerah Tuhan untuk melayani dalam sesebuah komuniti dengan cinta kasih. Bapa Uskup juga mengucapkan syukur kepada Tuhan atas anugerah dan kesempatan yang diberikan dalam apa juga bentuk pelayanan dalam gereja.
Acara diteruskan dengan upacara pemotongan kek disusuli doa makan oleh Bapa Uskup. Beberapa persembahan oleh setiap KKD telah dipersembahkan. Acara tamat pada jam 10.45 malam dengan doa penutup oleh Rev. Fr. Christopher.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent