Sandakan:
Bersempena dengan Perayaan St. Mark, 25 April 2018, Gereja St. Mark, sub-paroki
Katedral St. Mary telah merayakan ulang tahun ke-26. Selain itu, ia juga
merupakan ulang tahun ke-9 penubuhan Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI).
Perayaan
bermula dengan misa kudus kesyukuran pada jam 7.30 malam yang diselebrankan
oleh Fr. David A. Garaman, Paderi Paroki Katedral St. Mary. Kira-kira seramai
600 umat telah memenuhi ruang dalam gereja. Fr. David dalam homilinya
mengatakan Santo Markus dikenali kerana penulisannya. "Tanpa Santo Markus sebagai pengarang injil, mungkin kita tidak
akan mengenali siapakah Yesus? Kita sebagai umat Tuhan dipilih menjadi alat dimana
orang lain boleh mendengar pesanan misteri penyelamatan Yesus”.
Beliau
turut menegaskan kepada umat yang terlibat dalam pelayanan gereja, "ini merupakan panggilan kamu dan
lakukanlah dengan baik, penuh dedikasi dan jujur dalam pelayanan gereja. Kewujudan
pelbagai komuniti di gereja ini bertujuan mewartakan kabar gembira kewujudan
Kristus. Marilah kita mengambil iktibar agar kita sentiasa sedar bahawa Yesus
harus didahulukan dalam hidup kita. Tanpa Yesus dalam diri kita, kita tidak
mempunyai apa-apa. Namun, jika kita tidak mempunyai apa-apa tetapi ada Yesus
dalam diri kita maka kita ada semua".
Sejurus
selepas misa, semua umat dijemput ke Dewan Serbaguna Gereja untuk acara makan
malam secara ‘pot luck’, diikuti dengan persembahan dari kumpulan KBKI, dan
Belia.
Dimeh
Koyopo selaku Pengerusi, Komiti Pastoral St. Mark, dalam ucapannya mengucapkan
terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perayaan hari ulang
tahun. Beliau berharap agar para belia dapat meneruskan kesatuan
komuniti-komuniti yang terdapat di Gereja St. Mark. Beliau turut menambah "kita sebagai satu komuniti yang
berpusatkan kepada Yesus untuk melayani dan mengasihi sesama kita. Tanpa kasih,
kesatuan tidak akan wujud dalam diri kita".
Fr. David
yang menghadiri perayaan tersebut mengucapkan tahniah kepada komiti penganjur
kerana telah berjaya menganjurkan perayaan tersebut. Beliau juga berharap agar
perayaan seperti itu dapat diteruskan untuk generasi akan datang terutama
sekali para belia. Fr. David juga menegaskan kepada kaum ibu bapa agar dapat
memberi sokongan dan dorongan kepada para belia yang merupakan pelapis pemimpin
gereja untuk terus melibatkan diri secara aktif dalam pelayanan di gereja.
Persembahan belia "The Sin Chair"
Persembahan KBKI~ Tarian Jahe
No comments:
Post a Comment