Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 13, 2018

KESAKSIAN DARIPADA BAPTISAN BARU (BM) KATEDRAL ST. MARY’S SANDAKAN

Jordan Jamlin Sarawi
Saya Jordan Jamlin Sarawi berasal dari kampung Tinongian, Kaingaran Ulu Sugut Ranau. Sebelum ini saya adalah seorang kristian SIB dan kini sedang berkhidmat sebagai seorang anggota tentera berusia 40 tahun.
Sebelum mengikuti Kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD), sikap panas baran, susah bertolak ansur, dan sentiasa inginkan supaya kata-kata saya saja yang didengar dan dituruti oleh orang lain menyebabkan keluarga saya terutamanya isteri saya menghadapi kesukaran untuk berbincang. Hati dan perasaan dalam kehidupan peribadi saya sentiasa dalam keadaan kacau, jiwa tidak tenteram apabila ada individu yang tidak menerima pendapat ataupun cadangan saya. Saya kurang sikap optimis terhadap sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan harian saya. Selain daripada itu, saya juga sering tertanya-tanya dan berteka teki tentang Tuhan yang seharusnya saya percaya dan yakini dalam kehidupan saya.
Melalui iman Katolik, saya dapat mengenali Yesus Kristus Juruselamat kita. Saya juga mampu memahami, mendalami dan menerima kehidupan sebagai seorang kristian menurut kehendakNya kerana saya inginkan kehidupan kekal seperti yang Allah Bapa janjikan kepada kita dalam SabdaNya. Saya menyertai Kelas IKD kerana ingin dibaptis dan mengubah sikap buruk yang menyelubungi dalam perhubungan saya bersama keluarga dan orang lain. Kepekaan terhadap tanggungjawab dan amanah daripada-Nya makin saya rasai untuk membentuk keperibadian Rohani keluarga supaya dapat menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia dan dapat mengamalkan sikap yang Dia hendakkan.
Setelah dibaptis, kehadiran Roh Kudus dalam diri saya telah menyebabkan jiwa saya lebih tenteram dan sikap saya lebih berdiplomasi, optimis terhadap orang lain dan juga dalam perhubungan kami sekeluarga. Pemahaman tentang Tuhan menurut ajaran iman Katolik telah diperkasakan dalam jiwa saya dan segala persoalan tentang konsep Tri-Tunggal, Bonda Maria dan kehidupan Para Rasul sudah terjawab.
Harapan saya agar dapat terus berusaha penuh dalam memperdalamkan kefahaman saya tentang ajaran-Nya dan sekaligus melaksanakan kehendak-Nya demi kemuliaan nama-Nya dan membantu mereka yang masih belum mengenali Tuhan seturut iman Katolik.


Francis Wong
Saya Francis Wong Teck Sing, berusia 30 tahun.  Berasal daripada sebuah kampung di pedalaman Ulu Balingian, Selangau, Sarawak.  Dengan berkat saya telah menikah dengan Elzahra Josephine juga berasal dari Sarawak dan kami telah dikaruniakan dua orang anak perempuan iaitu Daniella Bella Wong dan Deanndra Cheryll Wong.
Pada tahun 2009, kami sekeluarga telah berpindah ke Sandakan, Sabah atas sebab pekerjaan. Kami sekeluarga gembira kerana cara hidup di Sabah tidak jauh beza seperti di Sarawak. Saya beserta ahli keluaraga masih berpegang pada kepercayaan adat kaum iban lama mengikut ibu saya, manakala isteri saya pula adalah asalnya adalah seorang Kristian Methodist. Saya dan isteri saya telah menyempurnakan perkahwinan kami mengikut adat kepercayaan nenek moyang kaum Iban dirumah panjang. Walaupun  isteri saya telah dibaptis di Gereja Methodist namun beliau sering tidak menghadirkan diri dalam Gereja, bahkan kami berdua masing-masing tidak pernah berfikir untuk meninggalkan kepercayaan kami.
Saya mula mengenal kristian Katolik semasa saya di sekolah menengah lagi, dimana pergaulan saya banyak bersama dengan belia yang aktif dalam Gereja Katolik. Pergaulan mereka sering kali tentang Yesus dan Katolik menyebabkan saya mula tertarik dan bersetuju untuk menyertai mereka. Pada awalnya, perasaan janggal memang jelas dirasai kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan tetapi saya tetap mengikuti mereka. Saya mula menyimpan hasrat untuk menjadi seorang katolik sehinggalah saya berkahwin.  Ibu saya juga tidak pernah membantah niat saya untuk menjadi seorang katolik malah menggalakkan saya supaya serius dengan apa yang saya percayai.  Demikian juga isteri saya, dia mula berminat dengan iman katolik ini melalui teman-temannya. 
Hal ini berlangsung pada pertama kalinya, saya telah mengajak anak dan isteri saya untuk turut serta dalam perayaan sambutan hari polis bagi polis beragama Kristian di Katedral St. Mary’s Sandakan pada hari minggu dan di hujung misa kudus tersebut, kami telah mendengar pengumuman bahawa pendaftaran dibuka untuk  mengikuti kelas IKD bagi mereka yang ingin mengikuti Yesus melalui iman Katolik. 
Kami telah membuat keputusan untuk mendaftarkan diri tetapi kami berasa agak kekok kerana mempunyai anak kecil yang kuat meragam. Puji dan syukur, kami semua dapat menyesuaikan diri di dalam kelas tersebut dan layak dibaptis menjadi warga Katolik. Setelah dibaptis, kedamaian yang lahir dalam jiwa kami dapat dirasai, ternyata Tuhan Yesus sentiasa tahu apa yang tersirat dihati dan membuka jalan untuk kami.
Percayalah bahawa panggilan daripada-Nya tetap ada, sahutlah Dia melalui iman katolik. Saya berharap agar iman kami akan terus bertumbuh dan keazaman untuk memuliakan nama Tuhan akan tetap ada. Jutaan terima kasih kepada para paderi, sister, barisan pembimbing dan teman-teman seiman yang sentiasa berjalan bersama kami dari awal sehinggalah saat ini.  Amen.


Gabriel Roland Yee
Saya Gabriel Roland Yee Choo Yie, berusia 20 Tahun, merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Identiti Tuhan Yesus memang saya tidak tahu kerana saya dibesarkan tanpa sebarang didikan rohani dan kurang diberi pendedahan terhadap ajaran agama malah sejak kecil hanya perayaan krismas sahaja yang akan saya hadiri dalam gereja. Ayah merupakan seorang kristian Basel, ibu saya pula seorang Kristian SDA, abang kedua saya seorang kristian Anglikan, manakala abang kedua saya adalah Kristian Katolik.
Bermula dengan ajakkan yang tidak pernah putus daripada rakan sebaya untuk menyertai misa kudus yang diadakan sebulan sekali di Gereja St. Joseph Sandakan untuk para pelajar sering ditolak kerana perasaan malu, sedih dan tersisih sering hadir dalam jiwa kerana saya tidak tahu bagaimana cara untuk sembahyang dalam iman Katolik.
Akhirnya, pada tahun 2013, saya bertekad untuk mengikuti ke Gereja St. Joseph bersama rakan saya. Dalam perjalanan misa kudus pelajar tersebut, saya berasa sungguh kagum melihat pelayanan para belia. Bermula daripada itu, panggilan untuk saya menghadirkan diri dalam misa kudus di Gereja St. Mary’s setiap hari ahad mula hadir dalam diri saya, sejak itu saya menyahut panggilan tersebut dan sering melibatkan diri di dalam Gereja Katolik dan timbullah niat untuk mengikuti kelas IKD namun banyak halangan yang saya tempuhi sehinggalah pada tahun 2017 melalui pertolongan daripada seorang rakan, akhirnya saya dapat mengikuti kelas IKD dan dibaptis pada paskah yang lepas.
Melalui kelas IKD tersebut saya telah mempelajari banyak perkara mengenai iman katolik.  Saya juga bersyukur kerana telah mengenal juruselamat kita Tuhan Yesus Kristus yang maha pengasih dan maha pengampun.  Setelah dibaptis, saya berharap akan dapat terus melayani Tuhan dalam gereja katolik. Amen.

Magdalena Anak Malaka



Nama saya Magdalena Anak Malaka. Saya berusia 37 tahun dan berasal dari Sileng Dayak Lundu Sarawak.  Agama asal saya adalah Kristian Anglikan namun saya telah berkahwin dengan suami saya yang seorang kristian Katolik.  Kami dikaruniakan 3 orang anak.  Kami sekeluarga berpindah ke Sabah mengikuti suami saya ditukarkan bertugas disini.  Suami saya bertugas sebagai seorang Tentera Laut (TLDM).  Walaupun saya adalah seorang kristian Anglikan dan suami saya adalah Katolik namun perkahwinan kami belum diberkati di mana-mana gereja.  Ini membuatkan saya merasa tidak tenang.  Sebelum mengikuti kelas IKD hati saya tidak senang, perasaan selalu saja gelisah.  Saya juga sering marah dan banyak berahsia di dalam keluarga. 

Namun melalui dorongan kawan, hati saya mula terbuka untuk mengikuti kelas IKD.  Saya dan anak-anak akhirnya mengikuti kelas ini atas kerelaan hati tanpa paksaan.  Suami saya juga gembira dan amat menyokong keputusan saya untuk menjadi keluarga katolik.  Kami amat bersyukur kerana melalui kelas ini juga, perkahwinan kami dapat diberkati di dalam gereja katolik dan suami saya dapat menerima komuni suci semula.
Akhirnya saya diterima masuk menjadi warga katolik dan telah menerima sakremen-sakramen suci.  Anak-anak saya juga telah dibaptis pada malam paskah yang lalu.  Kami sangat-sangat bersyukur kerana kami sekeluarga akhirnya telah memilih untuk mengikuti Yesus melalui satu iman iaitu iman Katolik.  Banyak yang telah saya pelajari tentang iman katolik ini yang selama ini tidak saya fahami.  Setelah menjadi seorang katolik saya merasakan suatu kedamaian serta ketenangan dalam hati saya kerana dosa-dosa saya telah dihapuskan.  Saya benar-benar merasakan seperti dilahirkan semula menjadi orang yang baru. 
Saya berharap agar iman kami sekeluarga akan semakin bertumbuh dan akhirnya berbuah menjadi berkat bagi orang lain.  Saya berazam untuk tetap setia mengikuti Yesus dan akan mendidik anak-anak saya dengan ajaran Katolik.  Semoga kesaksian saya ini akan memberi dorongan kepada orang lain untuk tidak ragu-ragu mengikuti Yesus melalui iman Katolik ini.  Amen..

Vanessa Lai

Nama saya Vanessa Lai.  Saya berusia 26 tahun. Saya berasal dari Sandakan merupakan anak ke-3 daripada 5 orang adik beradik.  Agama asal saya adalah kristian Basel.  Walaupun saya adalah seorang kristian Basel namun saya jarang pergi sembahyang di gereja.  Sebelum mengikuti kelas IKD saya tidak faham tentang Tritunggal Allah.  Saya tidak dapat membezakan Allah Bapa dan Yesus Kristus.  Saya juga tidak mengetahui apakah peranan Bonda Maria didalam kehidupan seorang Katolik itu.  Bahkan saya juga tidak mengetahui tentang perayaan-perayaan suci yang dirayakan didalam gereja Katolik.  Pendek kata saya tidak tahu langsung tentang apa itu kristian, Para Rasul dan injil-injil yang ada dalam alkitab. 

Apa yang mendorong saya untuk mengikuti kelas IKD ini adalah kerana saya ingin mengetahui dan mempelajari tentang ajaran Katolik ini.  Saya juga terdorong oleh kakak saya yang telah dibaptis menjadi seorang katolik dan telah menerima sakramen penguatan pada hujung tahun 2017 yang lalu.  Saya selalu hadir mengikuti misa kudus di gereja katolik namun selalu tidak dapat mengikutinya sehingga selesai kerana saya tidak dapat menerima komuni. Hal ini jugalah yang mendorong saya untuk menjadi seorang katolik kerana saya mempunyai keinginan untuk menerima Yesus yang hadir didalam Sakramen Ekaristi kudus itu.  Saya ingin sekali pergi mengaku dosa (pertobatan) kerana saya mahu mendapat pengampunan dosa melalui sakreman ini.
Akhirnya saya telah pun dibaptis menjadi seorang Katolik pada malam paskah yang lepas setelah mengikuti kelas IKD di Katedral St. Mary’s Sandakan.  Saya merasakan seperti menjadi manusia baru yang telah dilahirkan kembali.  Saya sangat bersyukur kerana melalui pembaptisan ini segala dosa-dosa saya dapat dihapuskan dan keinginan saya untuk menjadi seorang katolik akhirnya tercapai.
Saya berharap iman saya akan terus berkembang dan berharap akan dapat menyertai lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti yang ada dalam gereja dari masa ke semasa.  Amen.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent