Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 17, 2017

SAMBUTAN HARI PAROKI ST.DOMINIC YANG KE-65 TAHUN

Artikel Oleh Dominggus
Gambar Oleh Jaymar, Farnandes, Mateus dan Simon.


LAHAD DATU – Pada 6hb ogos yang lalu, paroki St. Dominic telah merayakan Hari Ulangtahun yang ke-65 bermula dengan misa kesyukuran pada jam 9:00 pagi dalam Bahasa Malaysia. Misa ini di selebrankan oleh Yang Mulia Uskup Julius Dusin Gitom dan dibantu oleh Rev. Fr. Simon Kontou serta Rev. Fr. Marcellinus Pongking dengan kehadiran umat lebih 1000 orang. Misa bermula dengan perarakan dari lapangan gereja hingga ke hadapan altar dengan iringan lagu pembukaan.
Bapa Uskup berkata di dalam homili beliau bahawa “Gunung adalah lambang perjamuan di antara manusia dengan Allah, dimana di dalam Alkitabiah kita dapat mendengar peristiwa-peristiwa di atas gunung. Musa bertemu dengan Tuhan di atas gunung Sinai, dan Penampakan Tuhan Yesus, kita melihat dimana Dia memperlihatkan Kemuliaan-Nya serta Penyalipan-Nya di gunung Golgota. Semua tempat-tempat ini adalah tempat yang Suci, merupakan pertemuan Allah dengan Manusia. Tempat yang suci bagi kita ialah di gereja ini, disinilah tempat pertemuan kita dengan Kristus dan Allah. Disinilah gunung suci bagi kita, dimana kita pergi ke gereja dan sekecil apa pun gereja itu adalah tempat suci untuk kita.” Kemudian dalam homili itu, Bapa Uskup juga menyentuh tentang Visi dan Misi Diosis yang berteraskan hidup berkomuniti dan berpusatkan Kristus sebagai pelayanan terhadap sesama dengan kasih. “Sebenarnya saudara-saudari yang terkasih, banyak yang boleh kita lakukan bersama jika kita di dalam komuniti. Walau perkara-perkara kecil sahaja kalau kita lakukan dengan sendiri sangat sulit untuk dilakukan tetapi jika kita lakukan bersama dalam komuniti ianya sangat mudah sekali untuk melakukan perkara itu. Jadi inilah iman yang dikatakan Yesus sendiri bahawa iman yang dapat memindahkan gunung. Seperti di dalam ‘Mat 17 : 20 Sesungguhnya sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sesawi saja kamu dapat berkata kepada gunung ini: Pindah dari tempat ini ke sana,- maka gunung ini akan pindah, dan takkan ada yang mustahil bagimu.’ Inilah iman yang dikatakan oleh Yesus, sebagai iman yang kuat, iman yang teguh dimana dengan berkomuniti. Ia tidak bermaksud bahawa kita melakukan sendiri tetapi melakukan bersama sebagai komuniti jadi dengan itu kita dapat memindahkan gunung dan membina gunung itu. Dengan itu kita dapat memperlihatkan iman gereja dengan hidup sebagai komuniti.
Selepas misa berakhir, Pengerusi Majlis saudara Willie Binati dijemput untuk menyampaikan ucapan beliau. Dalam ucapan itu, dia menyampaikan rasa syukur dan gembira serta mewakili semua umat di paroki ini mengucapkan selamat datang kepada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom kerana sudi merayakan bersama-sama perayaan pesta Santo Dominic. Selain itu, beliau juga memberi sedikit imbasan dari sejarah paroki Santo Dominic. “Kita bersyukur kepada Tuhan kerana memberi hari yang baik ini untuk kita merayakan pesta santo dominic. Pada hari ini paroki kita telah berusia 65 tahun, kita tahu juga bahawa angka bukanlah penting tapi sejarah yang paling penting. Gereja kita bermula dengan 40 orang atau 2 buah keluarga sahaja pada awal tahun 1952. Walau dengan jumlah umat itulah gereja kita telah berkembang pesat, yang bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi perkembangan rohani. Kita juga bersyukur kepada pelayan-pelayan yang terdahulu dan memuliakan Tuhan kerana telah menjaga mereka dan membantu mereka dengan Roh Kudus dan melalui pelayanan mereka, terbukalah jalan bagi perkembangan rohani di paroki ini seperti pelayanan Yohanes Pembaptis. Dalam misa ini juga kita memuji dan bersyukur kepada Tuhan kerana telah menjaga umat-umat Nya, dengan merayakan misa kesyukuran oleh kerana kelimpahan yang diberi oleh Allah Bapa kepada kita selama ini. Jadi saya menjemput saudara-saudari di paroki ini, walau apa sahaja pelayanan di dalam keluarga atau di dalam komuniti haruslah kita melayani dengan cintakasih Yesus. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada Fr. Simon dan Fr. Marcel kerana telah memberi kami panduan serta tunjuk ajar di dalam perayaan kita ini. Tidak lupa juga ahli jawatan kuasa pelaksana, yang mengambil berat tentang tugas-tugas pelayanan mereka untuk perayaan kita pada hari ini. Terima kasih juga kepada semua petugas-petugas pada perayaan misa kita pada hari ini, dan juga kepada komiti-komiti, ahli-ahli koir, dan kepada semua umat yang datang dari jauh dan yang dekat bersama-sama merayakan perayaan kita ini. Jika ada kekurangan kami dari pihak penganjur mohon maaf sebab kelemahan kami. Saya mengucapkan kepada semua selamat menyambut perayaan ulang tahun paroki yang ke 65 tahun.”
Selepas itu Rektor Paroki Rev. Fr. Simon Kontou diberi kesempatan untuk memberi ucapan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada umat-umat yang hadir dan kepada Bapa Uskup atas kehadirannya di paroki St. Dominic kerana selalu datang bila ada perayaan besar. Selain itu dalam ucapan beliau, “Saya berterima kasih juga kepada Fr. Marcel sebab bertungkus lumus untuk persiapan perayaan ini bila saya tiada di paroki dan kepada kedua religius sister iaitu Sr. Sylvia dan Sr. Evelyn. Saya gembira dapat meluangkan masa bagi perayaan kesyukuran hari paroki ini. Perayaan hari paroki adalah sangat penting, kerana ini adalah perayaan kita dan dapat berkumpul sebagai satu keluarga juga sebagai satu komuniti. Dalam partisipasi kita di perayaan paroki ini, sebenarnya kita terlibat juga dalam kejayaan atau pelaksanaan Visi dan Misi Diosis yang mana merupakan komuniti yang melayani sesama dengan kasih Allah. Dengan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua dan selamat menyambut hari paroki. Tuhan memberkati.”
Sejurus itu kesempatan diberi kepada Bapa Uskup untuk memberi ucapan dan berkata “Saya sungguh kagum dan bangga atas semangat yang telah ditunjukkan oleh keluarga paroki Santo Dominic. Kepada ahli-ahli koir kita dan yang sanggup hadir untuk menyertai perayaan ini maka saya percaya bahawa kita sudah menetapkan perkembangan di tempat masing-masing untuk datang sebagai anggota paroki Santo Dominic ini. Semasa saya menjadi pembantu paderi paroki pada lebih 20 tahun yang lalu di paroki ini, saya melihat ramai muda-mudi pada masa itu. Kemudian pada pertandingan koir(5hb) semalam, sudah tentu saya tidak mengenali mereka lagi tetapi mungkin saya mengenali ibu bapa mereka. Dengan itu kita dapat melihat perkembangan dari semangat mereka untuk paroki St. Dominic sebagai keluarga. Saya juga berterima kasih kepada Fr. Simon dan Fr. Marcel kerana telah mengundang saya hadir dalam perayaan ini dan kepada semua umat yang hadir, saya mengucapkan selamat menyambut hari paroki yang ke 65 tahun.”
Acara pentas bermula dengan tarian iringan dari lapangan gereja hingga ke pentas. Tarian iringan dimulai dengan komiti Tukad selepas itu diteruskan dengan iringan tarian dari komiti Filipino dan terakhir dengan iringan tarian dari komiti Indonesia.
Acara dirasmi dengan pemotongan kek ulang tahun disusuli persembahan-persembahan pentas dari komiti-komiti dan KKD masing-masing. Cabutan tiket bertuah juga menjadi tarikan utama dalam acara ini dan jualan dari berbagai gerai menyerikan dan memeriahkan lagi suasana perayaan ini. Acara berakhir kira-kira jam 6:00pm.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent