Oleh : Julita
Kantod
Seramai 30 orang
Pelayan Komuni Tak Lazim (Extraordinary Eucharistic Minister – EMC) Paroki Holy Trinity, Tawau dan 16 pemerhati telah menjalani 2 hari setengah Kursus pemimpin Ibadat Sabda dan juga pendedahan
kepada pelbagai upacara Doa yang bermula pada jumaat malam 4 Ogos hingga Ahad
petang 6 Ogos 2017.
Kursus yang dihadiri oleh semua EMC dari setiap Basis atau Kapela dibawah Paroki
Holy Trinity ini turut dihadiri oleh beberapa orang pemerhati dari Tim Liturgi
dan termasuklah para umat yang berpotensi untuk lantikan sebagai EMC.
Antara objektif Kursus ini adalah :
1. Memberikan
pendedahan kepada semua petugas Pelayan Komuni Tak Lazim (EMC) tentang kepentingan upacara Ibadat Sabda dan
penyampaian yang lebih efektif
2. Memberi
peluang kepada semua EMC untuk
memperdalamkan lagi pengetahuan yang sedia ada.
3. Memahirkan
diri dan meningkatkan keyakinan dalam persiapan memimpin Ibadat Sabda dan lain-lain upacara Doa
Kursus in diusahakan bersama Pelayan Komuni Tak Lazim
Paroki Holy Trinity dengan kerjasama Tim penceramah jemputan dari Keuskupan
Keningau iaitu Katekis John Lainsin, Katekis Aerickson Patrick Marius dan Sr.
Patricia Limun dari FSIC.
Walaupun formasi kepada para Pelayan Komuni Tak Lazim
sentiasa diadakan setiap tahun namun kursus seperti ini merupakan Kursus Ibadat
Sabda yang pertama kali diadakan di Paroki ini.
Program ini bermula jam 4 petang dengan sesi
pendaftaran diikuti dengan jamuan makan malam bersama disusuli dengan sesi input yang
pertama yang diadakan dibilik bawah gereja paroki.
Sesi pertama yang dikendalikan oleh Sr. Patricia Limun, FSIC menyampaikan topik berkenaan dengan Upacara memimpin dalam pelbagai
jenis upacara doa. Dalam penyampaian beliau antara lain yang dikongsikan adalah
seorang Pembantu Ibadat Sabda atau pelayan umat lain boleh melakukan upacara
doa dan pemberkatan apabila diperlukan oleh umat atau keluarga masing-masing. “Setiap kita yang telah
dibaptis boleh melakukan upacara doa dan pemberkatan dengan adanya mandat dari
Paderi Paroki kita, dan sebagai Katekis, pembantu Ibadat sabda, pelayan
Komuni Tak Lazim ataupun umat awam
seharusnya boleh melakukan doa-doa singkat mahupun doa meriah yang boleh
didapati dimana-mana buku Doa katolik yang tersedia" katanya.
Sr. Patricia turut menekankan tentang kredibiliti seorang
pemimpin Ibadat Sabda ataupun Pelayan Komuni Tak lazim yang mana mereka
seharusnya sentiasa bersedia, berkeyakinan dan mampu mengendalikan upacara doa
atau pemberkatan dengan kreatif dan tidak terikat dengan panduan yang ada malah
mampu mengubah dan mengolah perjalanan sesuatu upacara tersebut mengikut
kesesuaian dan keperluan setempat. Walau bagimanapun mereka yang telah diberikan mandat tidak dibenarkan untuk melakukan gerak atau simbol yang hanya
boleh digunakan oleh para Paderi.
Kerja kumpulan menyusul selepas input pertama ini dimana
setiap kumpulan diminta untuk membincangkan bagaimana mengendalikan upacara doa
mengikut keperluan.
Sesi pertama ini berakhir pada jam 10.45 malam dan
ditutup dengan doa malam yang dipimpin
oleh Sr. Patricia.
Hari kedua 5 Ogos 2017 program dimulakan dengan Misa
Kudus harian diupacarakan oleh Rev. Fr. Philip A. Muji pada jam 6.00 pagi di
chapel Gereja. Dalam homili singkat yang berdasarkan pada pembacaan Santo
Yohanes pembaptis beliau menekankan tentang keperibadian seorang Pelayan Komuni
Tak Lazim terutamanya dalam menghidupi pelayanan sebagai pembantu khas paderi
dalam mengendalikan sakramen maha kudus. “Contohilah Santo Yohanes dalam pelayanan
anda, menjadi saksi benar akan sabda Tuhan dan bersedia menghadapi
cabaran-cabaran yang mendatang sama seperti Santo Yohanes yang menjadi saksi
benar sehingga kematiannya. Tunjukkanlah contoh moral yang baik mencerminkan
keperibadian seorang pemimpin yang menginjil bukan hanya pada kata-kata tetapi
perbuatan" katanya.
Selepas perayaan Misa Kudus, semua peserta diajak untuk sarapan pagi dan sesi seterusnya.
Sesi kedua dikendalikan oleh Katekis John Lainsim dengan
topik bagaimana menyampaikan satu homili singkat dengan berkesan. Antara lain
perkongsian beliau adalah untuk menjadi seorang yang mampu menyampaikan khotbah
yang baik, menarik, mudah difahami dan diingati bergantung kepada pengalaman dan
pengetahuan iman seseorang melalui:
1. Informasi yang diterima dari pembacaan,
2. Seminar
atau formasi,
3. Usaha
kendiri dalam mendalami sabda Tuhan
4. Latihan
dan persiapan yang mencukupi
5. Cara
homili disampaikan termasuklah bagaimana ianya diatur
6. Keyakinan
dan kesungguhan dalam penyampaian
Beliau turut memberikan motivasi kepada para peserta
untuk sentiasa bersedia dan berkemampuan untuk menyampaikan maksud sabda kepada
para umat tanpa ragu-ragu. ”Pengkhotbah yang baik adalah seorang yang mempunyai
daya keyakinan diri, persediaan yang kukuh dan mampu menyentuh hati umat dengan
mendalam" katanya. Penyampaian yang berkesan boleh mengubah seseorang melalui
renungan peribadi mereka.
Kerja kumpulan menyusul dimana setiap kumpulan ditugaskan untuk menyediakan homili singkat dan melakukan praktikal bersama dan
secara keseluruhan.
Sesi kedua ini diakhiri pada jam 5.30petang untuk memberi
peluang kepada mereka yang ingin menghadiri Misa Kudus petang.
Progam disambung kembali pada 8.30 malam dengan input
yang ketiga iaitu Etika dan Spiritualiti yang disampaikan oleh Katekis Patrick
Marius. Antara kandungan input beliau
adalah tentang keperibadian seorang pelayan Tuhan iaitu :
1. Mempunyai
sikap yang benar dihadapan Tuhan – hidup dalam Roh
2. Mempunyai
nilai/norma yang boleh diikuti – rendah hati, jujur, tidak angkuh, mesra
3. Dapat
menseimbangkan kehidupan antara pelayanan dan tanggungjawab keluarga serta hal-hal duniawi dan Rohani
4. Memiliki
kepekaan, disiplin dan komitment dalam tugas yang dipercayakan
5. Sentiasa
berusaha memperbaiki dan mengembangkan diri sepanjang pelayanan
6. Memiliki
sikap seorang pemimpin yang menghormati sesama dan mewujudkan suasana aman
7. Menghidupi
Sabda Tuhan melalui perkataan dan perbuatan
8. Menghidupi panggilan sebagai pelayan
Tuhan
“Etika dan Kerohanian seorang Pelayan Tuhan tidak dapat
dipisahkan kerana ianya mempunyai maksud yang berbeza namun membantu dalam
memberikan kekuatan menuju kepada kesempurnaan peribadi seorang Pelayan Tuhan” katanya. Beliau turut
menambah “Kerohanian seseorang itu tidak dapat kita lihat dengan mata kasar kita tetapi ianya lebih diperlihatkan melalui aura dan perasaan yang kita rasai
melalui etika seseorang itu”.
Satu input singkat yang disampaikan oleh Sr. Patricia
iaitu Kehadiran nyata Kristus dalam Ekaristi mengakhiri sesi untuk hari
tersebut.
Hari terakhir kursus 6 Ogos 2017 ialah lawatan ke dua
stasi luar utama iaitu St. Thomas Bombalai dan St. Stephen Tass bagi perjalanan
Ibadat Sabda yang sebenarnya dimana hasil lawatan ini para peserta diberi
peluang untuk memerhati serta merenung perjalanan dan juga penyampaian Sabda.
Kursus berakhir pada jam 3 petang dengan sesi perkongsian dari beberapa peserta serta penggulungan ringkas dari katekis Patrick. Msgr Nicholas
Ong dalam penutupan kursus menyatakan terima kasih kepada Tim keuskupan
Keningau dan juga Tim Holy Trinity atas usaha yang dilakukan. ”Kepentingan
umat di Stasi luar merupakan satu kewajipan bersama, dengan adanya program
seperti ini sekurang-kurangnya keperluan di kawasan stasi luar dapat di penuhi
atas bantuan para Pelayan Komuni Tak Lazim (EMC-Extraordinary Eucharistic
Minister)" katanya.
Seterusnya penyampaian sijil kepada semua peserta diakhiri dengan doa pemberkatan dari Msgr. Nicholas.
No comments:
Post a Comment