Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 26, 2015

KUNJUNGAN PASTORAL KKD INDAH JAYA KE CHAPEL ST. THOMAS, KG. KAIBOTON, PAITAN

Oleh Dalius LL, SOCCOM Sandakan
Sandakan: Seramai 12 umat dari Komuniti Kristian Dasar (KKD) Taman Indah Jaya Sandakan telah melakukan kunjungan pastoral ke Chapel St. Thomas, Kg. Kaiboton selama 2 hari, 19hb dan 20hb September 2015. Kampong Kaiboton terletak di Sugut, Paitan kira-kira 250KM dari Sandakan. Perjalanan ke kawasan ini memakan masa lebih dari 3 jam dengan hampir 30 minit perjalanan mengikut jalan gravel. Chapel St. Thomas Kg. Kaiboton adalah salah satu dari 12 chapel dalam Misi Paitan.
KKD ini lebih dikenali sebagai KKD Blessed Mother Teresa Indah Jaya (KKDMTIJ), telah mengambil keputusan untuk menjadikan Chapel St Thomas sebagai chapel angkat dalam pelan pastoral mereka. Tindakan sedemikian adalah selaras  dengan usaha pendekatan “Gereja Partisipatif” yang diamalkan oleh paroki Katedral St. Mary Sandakan. 
Mereka berharap aktiviti seumpama ini akan mendorong KKD yang lain untuk bergiat secara aktif dalam penginjilan. Penjangkauan di kalangan umat Kristian di Paitan adalah salah satu pendekatan cara baru menggereja. Disamping itu, KKD ini juga menyokong dan mendokong usaha paderi paroki Katedral St. Mary, Fr. Thomas Makajil di dalam pelayanannya di Paitan.
Rombongan KKD ini sedar adalah tidak mungkin untuk seorang paderi menjaga 12 Chapel yang terletak berpuluhan batu di antara satu chapel dengan yang lain yang terletak di kawasan yang sangat luas (Sugut-Paitan). Sesetengah hanya boleh dihubungi melalui sungai. Atas kesedaran inilah KKD Mother Teresa Indah Jaya mengambil inisiatif untuk menjangkau ke Chapel di Misi Paitan.



Hari pertama, 19hb September rombongan ini melakukan gotong royong meratakan tapak tanah depan pintu masuk ke chapel, membersihkan laluan jalan agar kenderaan boleh sampai ke hadapan chapel, menebas rumput dan belukar di persekitaran chapel. Mereka juga memperdalamkan dasar anak sungai di tepi gereja.
Manakala di sebelah malamnya diadakan sesi suai kenal dengan katekis dan umat di kampong ini dan kemudian disusuli tayangan video kisah Tuhan Yesus.
Hari kedua, 20hb September, para ahli rombongan menghadiri Misa Kudus bersama dengan umat Katolik di Kg. Kaiboton dan beberapa umat yang bekerja di estet berdekatan. Rombongan KKD ini juga telah membantu di dalam persiapan misa yang kali pertama dirayakan di chapel ini. Rombongan tersebut juga  mengambil bahagian dalam koir. 

Selesai misa, rombongan ini mengagih-agihkan pakaian terpakai yang masih elok kepada keluarga-keluarga yang memerlukan. Selepas itu, acara diteruskan dengan permainan ice-breaker untuk tujuan mengeratkan hubungan antara pelawat dan umat Katolik di sana. Permainan tersebut akhirnya dapat menambat hati mereka untuk melibatkan diri dan mengurangkan rasa malu kepada pelawat dan berinteraksi secara aktif sesama mereka. 
Kemudiannya semua yang hadir dijemput untuk makan tengah hari bersama dengan Fr. Thomas. Rombongan bertolak kembali ke Sandakan pada jam 1.30pm, manakala Fr. Thomas meneruskan pelayanannya di Chapel St. Francis Assisi, Sukang Paitan. 
Pertemuan KKD Mother Teresa Indah Jaya dengan umat seiman di Kg. Kaiboton adalah petanda yang sihat ke arah membangunkan gereja yang mantap di Misi Paitan. Bukan sahaja lawatan ini dapat memantapkan iman sesama tetapi juga mereka mengimani kata-kata dari Surat Yakobus 2 : 17, 'Jika iman itu tidak disertai perbuatan, maka iman itu pada hakikatnya adalah mati.'

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent