Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 10, 2015

“Kamu akan Ku berikan hati yang baru dan roh yang baru di dalam Batinmu” (Yez 36:26).

Laporan oleh Roland Henry
Gambar disumbangkan oleh Philippa Philip @ Pipa

TAWAU – “Kamu akan Ku berikan hati yang baru dan roh yang baru di dalam batinmu” (Yez 36:26). Demikanlah tema rekoleksi untuk penganjur Kem Rakan Belia SYD-4 yang telah diadakan pada 30 hingga 31 Ogos 2015 di Bilik Atas Dewan Paroki Gereja Katolik Holy Trinity Tawau yang dihadiri oleh seramai 34 orang belia termasuk Sr. Liza Jamat fsic selaku penyampai keseluruhan sesi rekoleksi dan wakil daripada Pejabat Belia Keuskupan Sandakan iaitu Saudari Sharon Tan dan Saudari Anna Peter Amandus.

Tujuan rekoleksi ini diadakan adalah untuk keluar dari kesibukan harian untuk berdoa dan mempersiapkan diri secara peribadi dan berjalan sebagai satu tim bersama menuju ke Kem Rakan Belia SYD-4. Selain itu, memahami lebih mendalam tentang panggilan untuk melayani semasa Kem Rakan Belia serta persiapan menuju SYD-4 khasnya agar dapat melaksanakan tanggungjawab melalui jalan Yesus. 
Rekoleksi ini terbahagi kepada empat sesi. Sesi pertama mengajak para peserta untuk mengenali diri sendiri dengan mempelajari nilai-nilai Yesus untuk bertumbuh di dalam rohani melalui proses renungan dengan penyerahan diri secara total kepada Yesus dan menyedari akan keberadaan Yesus yang selalu membantu dalam segala perkara yang berlaku dalam kehidupan walaupun tidak melihatNya seperti petikan Yoh 20:29 “..berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!” 
Sesi ke-2 mengajak peserta untuk belajar mengampuni diri sendiri terlebih dahulu dan sesama agar memperolehi kebebasan. “Kita mengampuni kerana kita taat kepada Allah. Ianya adalah pilihan yang kita pilih” kata Sr. Liza sewaktu memberikan sesi tersebut. Pengampunan merupakan satu pilihan yang dipilih oleh kita semua dan kadang kala proses tersebut memakan masa yang agak panjang. Akan tetapi ketaatan kita kepada Allah telah membina iman kita dan melalui iman ini sahaja yang dapat membantu kita dalam proses pengampunan seperti perumpamaan tentang pengampunan yang terdapat dalam petikan Mat 18:21-22. 


Dalam sesi yang ke-3 pula, peserta dibawa untuk merenung semula pelayanan yang dilakukan selama ini melalui proses-proses yang diberi iaitu berterima kasih, meminta maaf, permohonan hidup baru dan memperbaharui komitmen. Mengetahui kesemua proses ini membantu peserta memahami pelayanan dan menghargai bakat-bakat yang ada pada diri sendiri dengan lebih mendalam dan melakukan dengan lebih sungguh kerana menyedari bahawa “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit” (Mat 9:36-37). Maka peserta diberi peluang untuk memperbaharui semula komitmen di dalam pelayanan agar terus bertumbuh di dalam iman dan saling menyokong serta membantu rakan belia lain untuk meneruskan pelayanan. 
Para peserta diberi masa untuk berkongsi di dalam kumpulan semasa sesi yang terakhir berdasarkan soalan-soalan yang telah diberi. Selain itu, aktiviti seperti ‘Appreciation Corner’ yang dijalankan sepanjang rekoleksi ini menaikkan semangat pelayanan, persahabatan dan kekeluargaan di antara peserta sebagai tim penganjur Kem Rakan Belia SYD-4 ini kerana melalui kata-kata semangat yang membina menjadikan seseorang menjadi lebih positif. 

Program Kem Rakan Belia adalah merupakan persiapan diri para sukarelawan atau lebih dikenali sebagai Rakan Belia untuk sambutan Hari Belia Sabah Ke-4 (SYD4) pada 6 hingga 10 Jun 2016. Program akan diadakan pada akhir bulan November 2015 dan promosinya akan berlansung di seluruh paroki di Keuskupan Sandakan bermula pada 20 September 2015 di Paroki Holy Trinity Tawau, 25 September 2015 di Paroki St. Martin Telupid, 26 September 2015 Di Katedral St. Mary Sandakan dan 27 September 2015 di Paroki St. Dominic Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent