Artikel oleh Dalius LL dan
gambar oleh George Bell
Sandakan: Tahun ini, Katedral St. Mary menganjurkan sambutan Hari Migran dan Perantau Sedunia Ke-101 peringkat Keuskupan Sandakan bertemakan, 'Gereja tanpa sempadan, Ibu kepada semua' pada Ahad, 27hb September 2015. Misa Kudus diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, dibantu oleh Fr. Sunny Chung dan Deacon Stanley William Matakim.
Perayaan Hari Migran Sedunia ini dikendalikan oleh Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) Sandakan diketuai oleh Sdra Hildi Poili dengan tujuan untuk menghargai sumbangan positif para migran dan kehadiran mereka di dalam komuniti kita. Dengan merayakan Hari Minggu Migran Sedunia, gereja juga menyatakan sokongan bagi membanteras penindasan dan perdagangan manusia.
Hampir 2,000 umat hadir dalam Perayaan Misa Kudus sempena Hari Migran Sedunia ini. Turut hadir ialah para migran dari Komuniti Filipina dan Indonesia, umat dari stasiluar, sub-paroki dan perwakilan KPIP dari Lahad Datu, Tawau, Telupid dan Sandakan. Suasana perayaan Misa juga menarik dengan umat mengenakan pakaian tradisi masing-masing mengikut suku kaum mereka, samada penduduk tempatan mahu pun migran.
Dalam masa yang sama kehadiran belia yang mengikuti seminar 'Unite Camp' untuk persediaan ke Sabah Youth Day-4 di Tawau juga turut memeriahkan sambutan Misa Hari Minggu Migran ini.
Di antara pesan Bapa Uskup sempena sambutan Hari Migran dan Perantau Sedunia 2015 menyatakan hari ini merupakan satu peringatan kepada setiap kita untuk menumpukan perhatian yang lebih kepada golongan miskin dan terpinggir, terutamanya migran dan perantau di seluruh keuskupan kita. Ia adalah satu kesempatan untuk memupuk budaya penerimaan dan perpaduan. Ia adalah juga peluang untuk mengukuhkan lagi ikatan perhubungan yang menyatukan kita semua. Bapa uskup menyatakan pintu gereja adalah sentiasa terbuka untuk semua migran dan perantau yang mencari rumah ibadah di keuskupan ini.
Doa umat disampaikan dalam pelbagai bahasa
Doa umat telah dibaca dalam pelbagai bahasa; Bahasa Indonesia, Bahasa Tagalog, Bahasa Cina, Bahasa Kadazan Dusun, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Pembawa persembahan terdiri dari pelbagai suku kaum dalam pakaian tradisi masing-masing yang juga melibatkan perwakilan-perwakilan KPIP setiap paroki.
Selesai Misa Kudus, lebih kurang 350 umat menyambung perayaan sambutan di Dewan Konferens Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan.
Pengerusi KPIP yang juga mewakili jawatankuasa penganjur, Hildi Poili mengalu-alukan kehadiran semua yang datang untuk memberi sokongan dalam meraikan Hari Migran ini. Beliau menjelaskan istilah migran ini bukan sahaja terhad kepada mereka yang datang dari luar Negara tetapi juga mereka yang berhijrah dari daerah lain ke Sandakan kerana mencari nafkah hidup. Beliau menyeru agar semua hadirin mengambil peluang untuk lebih mengenali sesama dan mengunjungi pameran-pameran yang disediakan oleh suku-kaum migran di lobi dewan.
Bapa Uskup Julius mengucapkan syabas kepada AJK Komiti Pembangunan Insan Paroki Katedral St Mary atas ushasama dalam melaksanakan perayaan Hari Migran Sedunia Ke-101 dengan penuh komitmen. Prelatus berkenaan memetik ucapan dari Bapa Suci tentang migran ketika lawatannya ke Philadelphia, Amerika Syarikat yang mengatakan orang berhijrah untuk tujuan memperbaiki kehidupan mereka. Maka Bapa Suci telah menyeru kita agar memberi peluang membantu para migran di mana sekali pun mereka berada, begitu juga di tempat kita khususnya migran dari Indonesia dan Filipina kerana ini juga menunjukkan kita adalah pengikut Kristus sejati.
Yunita Clemens Kewuren dengan sajaknya 'Gembala Kecil Menanti Fajar'
Sdra Kletus, Pengerusi KPIP St Dominic, Lahad Datu
Sdra Leonie, Juruacara Hari Migran Sedunia Peringkat Keuskupan Sandakan
Ferdee Mariano dari Filipina dengan perkongsiannya, 'Perjalanan hidup saya sebagai seorang migran.'
Ibu Juliana Ritan dari Flores Indonesia, 'Suka dan duka sebagai seorang migran.'
Sdra Nicholas, Pengerusi KPIP St Martin, Telupid
Selesai sahaja ucapan Bapa Uskup, acara diteruskan dengan mendengar dan menonton klip video aktiviti KPIP dari setiap paroki, persembahan-persembahan dari perwakilan umat migran dan tempatan serta perkongsian suka dan duka dari beberapa orang migran. Sebaik program dalam dewan selesai, para hadirin berpeluang melihat pameran serta merasai makanan tradisional dari komuniti-komuniti Indonesia, Filipina, Cina dan KadazanDusun di foyer Dewan. Acara sedemikian merupakan satu landasan untuk mengeratkan lagi perhubungan di antara para migran dan umat setempat.