Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 12, 2015

ST. JUDE SEMPORNA MENERIMA KUNJUNGAN KALI PERTAMA BAPA USKUP JULIUS DUSIN GITOM

Oleh Julita Kantod, SOCCOM Tawau
Semporna : Umat di St. Jude Semporna, salah sebuah gereja outstasi di bawah naungan Paroki Holy Trinity Tawau merasa amat diberkati  atas kunjungan kali pertama Bapa Uskup Julius Dusin Gitom sejak ditahbis sebagai Uskup, Keuskupan Sandakan. Kunjungan beliau adalah bersempena dengan sambutan Pesta Perayaan Gereja yang mengambil nama patron mereka iaitu St. Jude.
St. Jude Semporna terletak lebih kurang 96 kilometer dari Bandar Tawau dan mengambil masa selama satu jam setengah dengan menaiki kenderaan.
Kunjungan ini merupakan hari yang amat bermakna bagi umat-umat di St. Jude, memandangkan dua Sakramen utama; Komuni Pertama dan Penguatan diupacarakan sendiri oleh Bapa Uskup Julius. Seramai 300 umat hadir dalam upacara tersebut. Turut hadir bersama ialah sdra Andrew Kiat, Pengerusi MPP serta rombongan dari Gereja Holy Trinity.
Seramai 13 calon yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja menyambut Komuni Pertama sementara, seramai 15 yang lain menerima Sakramen Penguatan. 
Kedua-dua kumpulan ini telah menghadiri rekoleksi singkat yang telah diadakan pada malam 24 Oktober 2015 yang dikendalikan oleh Sdra. Melvin Lajanti dan Linda Bansil, wakil dari Tim Kateketikal Holy Trinity sebagai persediaan sempena hari besar mereka itu.
Perayaan Misa ini telah diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom bersama dengan Fr. Johnny Raju, pada 4.00 petang 25hb Oktober 2015.
Antara kata-kata yang disampaikan kepada umat di St. Jude ini semasa khotbah Bapa Uskup adalah tentang kesabaran dan harapan yang ada pada umat di St. Jude. Prelatus itu berkata, 'Saya amat kagum dengan kesetiaan dan kekuatan iman saudara-saudari sekalian yang tidak berkurangan, sesungguhnya kamu telah berkembang dan menjadi lebih dewasa dalam iman dan perbuatan. Dengan pelbagai kaum yang ada di St Jude, kamu mampu bertahan malah terus berjalan bersama dalam mendalami dan memuliakan nama Tuhan seperti yang saya lihat pada hari ini. Teruskanlah mengekalkan keutuhan ini sebagai satu komuniti Tuhan yang penuh harapan dan percaya.'
Prelatus itu mengakhiri khotbahnya dengan memberikan galakan dan motivasi kepada mereka yang menerima Sakramen Komuni Pertama dan Sakramen Penguatan, 'Teruskanlah  untuk mendalami dan mengenali Tuhan melalui para pembimbing kamu dan juga dari para ibubapa kamu.'
Bapa Uskup Julius turut merakamkan rasa terimakasih ke atas kesungguhan dan keprihatinan Fr. Johnny Raju yang mengambil berat ke atas semua kapela outstasi termasuklah St. Jude Semporna.
Sdra. Denis Ong salah seorang umat yang telah lama berada di Semporna mengongsikan perasaan gembiranya dan rasa amat diberkati atas kunjungan Bapa Uskup. 'Kehadiran Bapa Uskup amat menyentuh hati saya dan semestinya semua umat di St. Jude ini. Khotbah yang disampaikan amat memberi kesegaran dan kekuatan bagi kami untuk terus melayani dan memuliakan nama Tuhan,' katanya.
Secara amnya umat di St. Jude Semporna terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Indonesia, Filipina, Cina dan Kadazan Dusun Murut. Kebanyakan umatnya juga telah lama bermastautin di daerah ini serta mereka yang datang bertugas, berasal dari luar daerah Semporna.
Perayaan  Ekaristi ini berakhir sekitar jam 6.00 petang disusuli dengan jamuan  makan malam bersama Bapa Uskup di Dewan Gereja St. Jude. Beberapa persembahan telah di adakan.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent