Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 2, 2014

Wake Up! Asian Youth! The Glory Of The Martyrs Shines On You.- perkongsian daripada peserta

By Becker Ray Benedict 
Dikumpul dan disusun oleh DOSPO Sandakan
(Becker Ray Benedict merupakan salah seorang wakil dari Keuskupan Keningau yang telah menyertai Asian Youth Day di Korea Selatan. Becker juga merupakan antara belia yang bertuah dapat makan bersama Bapa Suci Paus Fransiskus ketika lawatan beliau ke Korea Selatan)
Perjalanan saya menuju ke Asian Youth Day (AYD) yang ke-6 di Korea Selatan bermula dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Saya berasal dari Kuala Penyu, Sabah dan atas komitmen kerja, saya sekarang melayani di Gereja St. Anthony, Kuala Lumpur. Saya cuba untuk mendaftar di bawah Keuskupan Agung Kuala Lumpur (KL) namun dukacita saya dimaklumkan bahawa kuota bagi Keuskupan Agung KL telah pun penuh. Namun saya masih beriktiar mencari cara untuk menyertai AYD kali ini kerana saya tidak dapat menyertai World Youth Day (WYD) di Rio Brazil pada tahun 2013. Sr Diana Buntau (bertugas di ASAYO pada masa itu) meminta saya untuk cuba berhubung dengan ketua wakil dari Malaysia, namun saya berasa hampa kerana kuota untuk Malaysia sudah penuh ketika itu. Lebih kurang sebulan berlalu dan saya sudah tidak lagi memikirkan hal yang berkaitan AYD sehingalah saya menerima panggilan daripada kakak Anna Teresa yang bertanya sekiranya saya masih mahu menyertai AYD. Semestinya saya sangat gembira pada saat itu dan mengatakan "Ya saya mahu!".
Namun, cabaran saya tidak tamat dengan begitu mudah. Pelbagai masalah peribadi dan ditempat kerja yang harus ditempuhi. Dalam masa saya berhadapan dengan masalah yang saya hadapi dan disaat saya sudah tidak bersemangat ketika itu, saya menerima satu "hadiah”. Saya bertanya pada diri saya sendiri kenapa saya yang terpilih dan adakah saya layak menerima hadiah ini? Namun ketika berada dalam situasi yang tidak menentu, saya berusaha untuk membuat persiapan peribadi dan berdoa agar diri saya diberikan kekuatan sebelum menghadiri AYD. Sr. Tauria yang bertugas di Keusukupan Keningau telah banyak membantu saya dengan nasihat-nasihat yang membakar kembali semangat saya untuk menghadiri AYD.  
Bersama keluarga angkat di Korea
Perjalanan saya di dalam AYD bermula di Keuskupan Busan untuk program "Days In The Diocese" selama 3 hari. Di dalam homili daripada salah seorang paderi yang berasal dari Philippines, benar-benar menyentuh hati saya, kata beliau "pasti kita semua datang disini untuk bersorak gembira, namun kita tidak harus lupa apa tujuan utama kita berada disini." Kata-kata itu menyedari saya dan membuka mata fikiran saya untuk merenung apakah tujuan saya berada disini? Adakah saya cuma datang untuk suka-suka dan melancong atau datang sebagai seorang belia yang haus akan sesuatu? Kami diberi peluang untuk mengunjungi beberapa tempat yang menarik dan mencuba makanan Korea di sekitar Busan.
Kami dibawa ke Oruyundae Martyrs Museum di mana relik-relik dan kubur para Martir dan ia telah memberi saya satu kekuatan baru. Melihat kepada peralatan dan senjata yg digunakan untuk menyeksa dan membunuh mereka, saya dapat merasakan bagaimana terseksanya mereka kerana iman mereka. Adakah kita mampu untuk mempertahankan iman kita sebagai belia pada masa sekarang? Persoalan yang mungkin menjadi tanda tanya bagi saya dan juga kita semua. Kami juga sempat merenung kesengsaraan Yesus dan para Martir di dalam doa Jalan Salib. Selepas itu, kami juga berkesempatan mempelajar alat muzik dan tarian tradisional mereka.
Bersama ahli kumpulan yang berasal dari lain-lain negara di Asia.
AYD bermula dengan meriahnya di Keuskupan Daejeon apabila belia dari 23 buah negara berkumpul bersama untuk merayakan misa kudus pembukaan oleh Bapa Uskup Lazzaro dari Keuskupan Daejeon. Walaupun hujan membasahi bumi Korea beberapa hari semasa AYD tetapi ianya tidak menghalang saya untuk bersaksi. Berkumpul di dalam kumpulan kecil daripada perlbagai bangsa dan bahasa, ia tidak menyukarkan kami untuk melakukan aktiviti di dalam kumpulan. Apa yang mengharukan dan membuat saya rasa dihargai didalam kumpulan adalah apabila mereka sentiasa mengambil berat dengan semua ahli di dalam kumpulan. Saya dapat mempelajari dan mengenali bagaimana Katolik mula bertapak di Asia dengan mengunjungi pameran-pameran daripada semua negara Asia yang menyertai. Namun saya masih tertanya-tanya siapakah Martir pertama di Malaysia? Saya merasakan ramai di antara belia kita di Malaysia tidak mengetahui bagaimana sejarah Katolik bermula dan siapakah martir pertama kita? 
Tema yang paling menyentuh saya adalah "Let's discover the roots of our FAITH" (Hari ke-dua). Sebuah drama yang dilakonkan mengenai bagaimana Katolik mula bertapak di Korea dan bagaimana kehidupan para Martir ketika itu. "Im ready to die as a Catholic!", kata seorang Matir. Nah! Sekali lagi kawan-kawan belia, bersediakah kita untuk "mati" untuk agama kita dan bersediakah kita untuk tidak meninggalkan iman kita sendiri? Saya merenung kembali dengan belia di negara kita sendiri, betapa mudahnya belia kita kehilangan iman dan begitu mudah kita jatuh!
Makan bersama Bapa Suci Paus Fransiskus 
Pada 15 Ogos 2014, merupakan hari di mana saya akan menerima "hadiah" saya. Pada hari itu saya merasakan sedikit gemuruh dan juga gembira. Saya dan 16 orang belia dari setiap negara di Asia dan seorang artis antarabangsa yang terkenal iaitu Boa diminta untuk menunggu di bilik yang telah disediakan. "He is here! The Pope is here!". Jantung saya bagaikan tercabut dari tubuh apabila mendengar bahawa Paus Fransiskus sudah tiba. Kesemua kami berdiri menyambut kedatangannya.
Saya tidak pernah terfikir untuk duduk semeja bersama Sri Paus Fransiskus dan makan bersama beliau. Saya sempat berkongsi denganya mengenai masalah yang dihadapi di Malaysia, contohnya  isu kalimah Allah dan respon beliau adalah, "Kita tidak boleh menggunakan nama Allah untuk berperang atau perpecahan, tetapi kita menggunakan nama Allah untuk keamanan!". Beliau juga sempat memberi pesanan kepada kami, “Bangun belia Asia, jangan takut untuk teruskan misi Kristus!”. Walaupun saya tidak berpeluang untuk ber "selfie" bersamanya namun saya berpeluang untuk bersalaman, mencium tanganya, dapat memeluknya dan menerima berkat daripada Sri Paus sendiri merupakan kenangan yang indah bagi saya. Ia juga merupakan peluang sekali dalam seumur hidup saya untuk makan bersama-sama dengan beliau. 
Ketika lawatan Sri Paus Fransiskus di Solmoe Shrine, semangat belia Asia bertambah membara dengan kehadiran Sri Paus dan mendengar sendiri amanat daripadanya.
Persembahan gabungan Malaysia dan Brunei terpilih untuk dipersembahkan semasa Knocking Festival, dan yang sangat membanggakan, mereka hanya mengambil masa beberapa jam untuk latihan koreografi tarian yang disediakan oleh delegasi dari Keuskupan Keningau. 
Pada hari ke-4 AYD, kami diminta untuk berjalan sejauh 5 kilometer, melalui jalan yang dilalui para martir sebelum mereka dihukum bunuh. Pengalaman tersebut membawa saya kembali merenung bagaimana mereka dapat melalui masa-masa terakhir mereka di dunia sebelum mereka dapat duduk bersama Bapa di Syurga. Saya berdoa rosari di sepanjang perjalanan dan ia  membuatkan saya tidak berasa sangat letih malahan masih mampu untuk meneruskan ke Haemi Castle dan melihat sendiri di mana tempat mereka dipenjarakan dan dibunuh. Final Festival berlangsung dengan penuh kemeriahan dan persembahan dari beberapa buah negara dan artis dari Korea sendiri amat mengagumkan.
Hari yang saya nanti-nantikan adalah Misa Kudus penutup AYD bersama dengan Sri Paus Fransiskus. Keinginan saya merasa dan bersama-sama dalam Misa Kudus yang dirayakan oleh Sri Paus Fransiskus sendiri amat bermakna bagi saya. Misa Kudus penutup ini juga dihadiri oleh peserta Korean Youth Day (KYD) dan umat dari sekitar Haemi Castle. Seruan Sri Paus yang menyentuh saya semasa homili beliau adalah, "Kamu tidak boleh menari, menyanyi dan menjadi gembira jika anda tidur! Bangun, belia Asia!". 
Bersedia untuk balik ke Malaysia! 
Kenangan dan pengalaman yang saya dapat dari menyertai AYD ini pasti saya tidak akan lupa sampai bila-bila dan saya berkata untuk diri saya sendiri, ini adalah landasan bagi saya untuk meneruskan pelayanan dalam bidang katekatikal dan belia. Semangat saya semasa berada di Korea sudah berkembang mekar. Saya juga berharap pada suatu hari nanti akan adanya Malaysian Youth Day (MYD)! 
WAKE UP ASIAN YOUTH! IT'S OUR TIME! Kita ketemu lagi di Indonesia untuk AYD ke-7 pada tahun 2017!

Gamsahabnida! (Terima kasih)

3 comments:

  1. Amen. Sharing yang amat membangunkan. Thanks Becker. Semoga Smua belia bangun dan marilah menjayakan misi Yesus. Mari kita sama2 berjaga-jaga untuk menanti kedatangan Kristus.

    ReplyDelete
  2. It is truly very touching & inspiring me. Can't hold my tears back. Thank you for sharing your wonderful experiences with God. To God be the glory. Amen!

    ReplyDelete
  3. nice sharing...very inspiring..some powerful advices that we can live by in our every day life...Thank you Lord, daddy God..

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent