Brother Martin Steven duduk ketiga dari kiri bersama para pembimbing PMG |
Lahad Datu – Pada
hari Sabtu yang lalu, bersamaan 11 Januari 2014, satu rekoleksi untuk para
pembimbing Pertemuan Minggu Gembira Bahasa Malaysia telah diadakan di Chapel gereja bermula pada 2.00 petang – 4.30 petang. Rekoleksi
ini diadakan untuk persiapan rohani para pembimbing PMG sebelum kelas minggu
mulai dibuka semula pada 19 Januari nanti. Rekoleksi dipimpin oleh
Brother Martin Steven yang disertai oleh 10 orang pembimbing PMG.
Penyampaian Brother Martin
meliputi 2 sesi. Bagi sesi yang pertama, para
pembimbing dibawa untuk merenung dari petikan Injil mengenai panggilan Tuhan Yesus kepada para
penjala ikan. Renungan ini dibawa ke dalam hidup setiap para pembimbing yang
telah dipanggil oleh Tuhan Yesus. Para pembimbing turut dibawa merenung dan
mengimbas kembali pengalaman masing-masing dalam melayani dan menghadapi
cabaran-cabaran di dalam pelayanan sebagai pembimbing dan situasi-situasi yang
ada kalanya membuat para pembimbing merasa diri tidak layak untuk melayani atau
merasa lelah, putus asa dan sebagainya.
Dalam sesi yang
kedua, Brother Martin membawa pembimbing bersama-sama di dalam doa Taize.
Kali ini, petikan
dari Injil Markus 1 : 16-20 dibaca oleh wakil pembimbing dan sekali lagi dibawa
ke dalam renungan iaitu Panggilan sebagai pengikut Yesus. Brother Martin
mengingatkan kembali para pembimbing mengenai tugas kita sebagai anakNya iaitu kita
dituntut untuk meneruskan misi Kristus dan mengambil bahagian dalam kehidupan
ilahi. Selepas renungan, para pembimbing mengungkapkan doa-doa singkat dan diakhiri
dengan doa penutup yang telah diajarkan sendiri oleh Tuhan Yesus iaitu doa Bapa
Kami.
No comments:
Post a Comment