SANDAKAN: Belia Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) berasa gembira dan bersyukur kerana telah selesai melalui satu pusingan Kursus Alpha Belia Tertutup yang telah dijalankan khasnya buat susulan kepada program pembentukan kepimpinan mereka. Pusat Kebajikan Good Shepherd, Sandakan yang telah menjemput The Forerunners Ministry, Katedral St Mary, Sandakan untuk mengaturkan program yang sesuai bagi tujuan pembentukan tersebut.
Kursus tersebut bermula sejak 20hb Mei 2012 dengan Sesi Pengenalan kepada Kursus Alpha Belia dan pelayanan Tim Penganjur iaitu, The Forerunners Ministry. Setelah sesi dijalankan selama tujuh minggu pada setiap Ahad di Gereja St. Mark, Sandakan, pusingan kursus tersebut diakhiri dengan satu Jamuan Kesyukuran pada Sabtu lalu, 25hb Ogos 2012.
Jamuan Kesyukuran yang sederhana telah diadakan dengan acara makan malam secara potluck dan dimeriahkan pula dengan susunan aturcara yang ringkas. Kira-kira jam 8.00 malam, sebelum acara pembuka tirai jamuan, saudari Jellferlyne Joseph, selaku Kordinator Program (Pendidikan), Seri Murni Crisis Centre, Sandakan mengambil kesempatan memberi sedikit penerangan mengenai satu kempen kesedaran untuk menghentikan keganasan yang diusahakan oleh Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS). Kempen ini dijalankan pada setiap 25hb pada setiap bulan sepanjang tahun. Tema adalah berbeza-beza pada setiap bulan di mana pada bulan Ogos 2012 ialah “Hentikan Keganasan terhadap Belia”. Sebagai tanda menyokong kempen tersebut, para hadirin digalakkan memakai apa-apa sahaja yang berwarna jingga atau oren pada tarikh tersebut. Jellferlyne turut mengumumkan bahawa pada bulan September 2012, tema kempen ialah “Hentikan Keganasan terhadap Wanita”.
Jellferlyne Joseph
Kemudian, dua buah lagu pujian dengan aksi dimainkan oleh Tim Muzik untuk mencetuskan suasana yang selesa serta meriah. Sr Lidwina Alyandu, rgs pula telah memimpin doa pembukaan sejurus itu.
Ini merupakan kursus pertama dalam Bahasa Malaysia yang dikendalikan oleh Forerunners sebagai sahutan Sr Barbara yang memohon agar Alpha Belia diadakan di Gereja St Mark susulan program pembentukan iman para sukarela belia KBKI pada 20hb Mei 2012.
Crispus Mosinoh
Menurut Crispus selaku Acting Coordinator Forerunners, perjalanan bersama belia KBKI setiap Ahad selama tiga bulan membawa banyak memori indah. "Kami bukan sekadar menyampaikan perkongsian tentang konsep lebih mengenali, lebih mengasihi dan lebih melayani Dia tetapi kami juga banyak belajar dari belia KBKI yang berfikiran terbuka."
"Kehebatan seseorang dalam ilmu pengetahuan Kristiani tidak lengkap tanpa menghidupkan Firman Tuhan kerana Yakobus 2: 20 berkata, “Iman tanpa perbuatan adalah sia-sia”. Harapan kami terhadap pembelajaran mengenai Tuhan tidak berakhir di sini tetapi di saat ini, baru bermula. Kita semua telah dibaharui oleh Roh Kudus. Jadilah terang bagi dunia yang penuh dengan kegelapan ini. Perjalanan dalam hidup kita masih jauh. Nikmatilah keindahan ciptaan Tuhan dan hidupkanlah cara hidup seorang Kristian."
Sebagai mengakhiri ucapan beliau, bagi pihak Forerunners Ministry, Crispus menyampaikan salam maaf dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perjalanan Kursus Alpha Belia Tertutup KBKI St Mark, Sandakan. Crispus mengajak para hadirin terutamanya para ahli Forerunners Ministry untuk melayani dengan penuh kerendahan hati dan kasih seperti pada Injil Yohanes bab 3, ayat 30, “Dia harus semakin besar dan aku harus semakin kecil.”
Sr Lidwina, RGS
Ucapan Sr Lidwina pula memetik petikan dari Alkitab, Matius 23:12 “Dan barangsiapa meninggikan diri, ia akan direndahkan dan barangsiapa merendahkan diri, ia akan ditinggikan”. Beliau mengatakan bahawa dengan jamuan pada malam itu, tidak bererti bahawa semuanya sudah berakhir atau ditutup tetapi merupakan satu langkah permulaan hidup baru.
“Selama tiga bulan kalian menjalani kursus ini dan diharapkan dengan pendalaman iman tidak hanya tinggal di sini sahaja tetapi kalian juga akan berubah dari segi tingkah laku.Yesus yang memberi kekuatan bagi kita. Yesus sentiasa mengetuk pintu hati kita hanya terpulang pada kita untuk membukakan pintu hati kita bagi Dia.”
Sr Lidwina mengakhiri ucapannya dengan mengajak para belia KBKI agar bergandingan tangan demi kepentingan Kerajaan Allah melalui sifat pelayanan yang rendah hati. "Lipatkan usaha kalian untuk menabur benih-benih iman ke ladang yang lain agar Gereja semakin membangun dan utuh."
Kemudian, sebelum acara makan malam, diadakan satu permainan Ice Breaking bertajuk, ‘Ku mau bersamamu”.
Aturcara pada malam itu diserikan dengan dua persembahan tarian ciptaan sendiri oleh para Belia KBKI dan dua persembahan tarian rohani oleh The Forerunners Ministry. Selain itu, para hadirin yang juga terdiri daripada beberapa ahli keluarga belia dan teman-teman mereka berkesempatan mendengar empat testimoni dari para peserta kursus pusingan ini. Berikut merupakan testimoni mereka:-
Irene
“Pada awalnya, Kursus Alpha Belia diperkenalkan semasa program pembentukan kami, saya masih kurang jelas apakah sebenarnya kursus tersebut. Selepas tiga bulan melalui kursus tersebut, saya mendapati bahawa kursus ini sememangnya menyeronokkan. Inilah kali pertama satu program yang dapat mengajar saya tentang banyak perkara berkenaan Kristian. Agak banyak juga perkara baru yang kami dapat ketahui melalui Kursus ini seperti mengenai doa dan alkitab. Saya paling tersentuh semasa Retret Hujung Minggu (Roh Kudus). Saya berasa amat tenang selepas menghadiri retret itu. Perasaan itu lain dari biasa. Saya merasai perubahan dalam diri saya. Saya bukan lagi seorang yang mudah marah. Saya percaya bahawa Roh Kudus yang membantu saya untuk berubah. Kini, apabila saya ingin memarahi sesorang, hati saya berbisik, “Apa yang engkau akan lakukan boleh menyakiti hati orang itu.” Saya juga sedang berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik. Saya berharap agar Alpha Belia dapat diteruskan agar kawan-kawan saya yang lain juga dapat mengalami seperti diri saya dan bukan hanya membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kami berharap agar dapat mengikuti pusingan yang seterusnya kerana ada banyak lagi perkara yang ingin kami kongsikan.”
Yanto
“Saya banyak belajar melalui kursus ini. Saya telah menyedari kesalahan-kesalahan yang saya lakukan sebelum ini. Retret Hujung Minggu adalah sesi yang paling saya gemari. Perasaan saya berbeza dari apa yang pernah saya rasai sebelum ini. Pelbagai pengalaman suka dan duka yang saya lalui sepanjang kursus ini.”
Fanny
“Selama tiga bulan menyertai Alpha Belia, saya bersyukur kerana berpeluang untuk menyertainya. Saya telah mempelajari tentang Yesus, Roh Kudus, Tuhan...Ajaran yang saya tidak tahu sebelum ini, kini saya telah mengetahui tentangnya. Saya berterima kasih kepada yang telah memberi sokongan kepada saya untuk menyertai kursus ini. Saya juga banyak mempelajarai siapakah sebenarnya Yesus. Retret Hujung Minggu itu telah membuat saya terharu namun saya rasa masih mahu mengikuti pusingan yang seterusnya. Apa yang membuatnya lebih menyeronokkan ialah ada sesi puji-pujian dengan nyanyian dan berdoa bersama serta ada permainan. Saya amat menyukai semua itu dan berharap agar ada lagi pusingan seterusnya.”
Petrus
“Kami telah menceritakan pengalaman kami mengikuti kursus ini kepada kawan-kawan yang lain dan mereka suka dengan apa yang kami beritahu. Sudah pasti mereka juga akan menyertai sekiranya ada lagi pusingan yang baru. Sebelum ini para belia KBKI menjalani hidup Kristiani mereka dengan bimbingan ibubapa dan mengikuti teman-teman namun tidak menganggoti mana-mana perkumpulan pelayanan di gereja. Pengalaman saya dalam Alpha Belia adalah sesuatu yang menyeronokkan. Saya dapat membawa kawan-kawan baru untuk turut menyertai kursus ini di mana ada di antara mereka yang merupakan pertama kali mengikuti program seumpama ini. Apabila saya menanyakan pengalaman mereka sepanjang kursus, mereka turut mengatakan ianya bagus. Mereka mempelajari perkara baru dan dapat mengenali kawan baru. Saya turut berasa gembira buat mereka kerana selama ini kebanyakan yang menyertai program kerohanian terdiri daripada golongan orang tua. Secara keseluruhannya saya berasa seronok bersama anda semua. Saya berharap agar lebih ramai yang menyertai kursus ini tidak kira dari segi peserta ataupun yang membantu tim penganjur.”
Acara diakhiri dengan nyanyian kemudian doa penutup yang dipimpin oleh saudari Clare Michael pada jam 9.40 malam.
Para belia KBKI memberi kejutan pada Jellferlyne untuk menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang jatuh pada hari tersebut.
Oleh DS/sj
No comments:
Post a Comment