(sejak 17 AGUSTUS 1945)
“BERSATU
KITA TEGUH, BERCERAI KITA RUNTUH!”
SANDAKAN: Pada 19 Ogos 2012
(Ahad), Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) telah menyambut Ulang Tahun
Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang Ke-67 di dewan mini Gereja Katolik St.
Mark, Bt. 12, Sandakan. Acara ini telah diatur dan dianjurkan hasil daripada
kerjasama di antara Tim Penganjur dan tenaga sukarela Program Pembelajaran
Kanak-kanak Gembala Baik serta Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) sendiri.
Kelancaran dan kejayaan di dalam menyambut ulang tahun ini juga adalah hasil
sokongan dan galakan daripada Paderi Paroki Sandakan iaitu Rev. Fr. Thomas
Makajil yang telah mengizinkan pihak penganjur untuk meneruskan acara ini.
Acara dimulakan
dengan doa pembukaan yang telah dipimpin oleh Rev. Fr. Thomas Makajil. Selepas
doa pembukaan, tetamu jemputan khas dan umat yang dijemput untuk menjamu
selera.
Selepas menjamu
hidangan makanan tengah hari, acara diteruskan dengan ucapan daripada Rev. Fr.
Thomas Makajil. Pada awal ucapan beliau, pujian diberikan kepada KBKI di atas
usaha mereka untuk hidup berkomuniti yang dapat dilihat melalui sambutan Hari
Kemerdekaan ini. Walau bagaimanapun, Fr. Thomas memberi galakan agar komuniti KBKI
akan terus giat terlibat di dalam pelayanan gereja dengan menjalin hubungan
erat dengan komuniti-komuniti lain yang ada di Gereja St. Mark. Menurut beliau,
kehidupan berkeluarga bukanlah hanya bersama atau bersatu dengan ahli komuniti
masing-masing tetapi adalah dengan bersatu menjadi satu gereja yang berjalan
bersama di dalam menghidupi firman Tuhan.
Selepas ucapan dari
Rev. Fr. Thomas Makajil, Pengerusi KBKI iaitu Bapa Petrus Bean meneruskan
dengan ucapan beliau yang sungguh terharu, berterima kasih dan bersyukur di
atas penerimaan, sokongan dan kesempatan yang telah diberikan kepada KBKI oleh
para Paderi, para Biarawati, dan lain-lain komuniti.
Sr. Maria Dipal,
RGS juga telah dijemput untuk memberikan ucapan. Maksud “Bersatu kita teguh,
bercerai kita runtuh!” diterangkan dengan lebih dalam lagi oleh Sr. Maria
melalui sebuah cerita yang mengajak setiap peribadi yang hadir pada hari itu
untuk menjadi seperti seorang bapa yang berkata “Marilah pergi bersama dan bapa
akan tunjukkan untuk apakah pelita ini.” kepada anaknya dengan penuh kasih.
Menurutnya, setiap peribadi mempunyai cahaya kecil ini di dalam diri kita
masing-masing. Oleh itu, beliau mengatakan “Marilah kita juga mengajak atau
membawa satu sama lain berjalan bersama
menuju pada Yesus sumber terang dunia kita.”
Selepas semua
ucapan, acara diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia iaitu
‘Negara-ku’ dan lagu-lagu kebangsaan Republik Indonesia seperti ‘Indonesia
Raya’, ‘Hening Cipta’ dan ’17 Agustus’. Nyanyian lagu-lagu kebangsaan ini telah
dipimpin oleh kanak-kanak yang telah berdaftar dengan Program Pembelajaran
Kanak-kanak Gembala Baik iaitu seramai 50 orang. Pakaian seragam merah putih
yang dipakai melambangkan warna bendera Republik Indonesia. Di mana Putih
melambangkan kesucian dan merah melambangkan keberanian.
Kemudian, acara
diteruskan lagi dengan pelbagai persembahan daripada kanak-kanak, belia, dan
ibu bapa yang mewakili basis (KKD) masing-masing. Komuniti Filipino juga turut
hadir dan dijemput untuk membuat persembahan.
Acara persembahan
diakhiri dengan tarian tradisi Indonesia iaitu ‘dolo-dolo’. Kemudian, doa penutup yang dipimpin oleh Sr.
Maria dan gotong-royong membersihkan kawasan dewan.
No comments:
Post a Comment