Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 28, 2011

PERAYAAN MALAM PASKAH BERSEJARAH - GEREJA ST. MARK

Sandakan23 April 2011. Selama 18 tahun Gereja St. Mark didirikan dan inilah buat kali pertama umat dapat menyambut perayaan Misa Kudus Malam Paskah dalam Bahasa Malaysia dan merasakan kegembiraan dalam merayakan kebangkitan Yesus Kristus.  Gereja tersebut telah dibanjiri oleh kira-kira 700 orang.  Misa Kudus bermula pada jam 7:00 malam diselebrankan oleh Rev. Fr. Erik Jerome. Peristiwa ini adalah merupakan sejarah baru bagi Gereja St. Mark. 


"Keputusan Fr. Thomas Makajil selaku Rektor Paroki Katedral St. Mary Sandakan untuk mengadakan Misa Kudus Malam Paskah yang dirayakan dalam Bahasa Malaysia di Gereja ini adalah sangat tepat bagi memudahkan para umat Katolik persekitaran Gereja St. Mark dapat hadir. Usaha ini dapat membantu umat Katolik untuk terus berkembang." Kata beberapa komen dan harapan umat setempat. 


Selama ini, umat Katolik menyambut Malam Paskah sama ada di Katedral St. Mary, Gereja St. Joseph ataupun Gereja St. Paul, Ulu Dusun sahaja. Tetapi kali ini bilangan umat semakin berkembang dan keperluan tersebut mula menampakkan hasil ekoran berkembangnya pergerakan Komuniti Kristian Dasar (KKD) yang terdiri daripada KKD Taman Rimba, KKD Sepilok, KKD Batu 10, KKD Merak dan juga penubuhan kumpulan Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) yang bergiat secara aktif di Gereja St. Mark.
Pemberkatan api dan lilin paskah sambil mendengar Pujian Paskah
Upacara Perayaan Malam Paskah bermula di hadapan gereja dalam keadaan yang gelap. Semua lampu dimatikan, tiada sebarang cahaya yang mencuri tumpuan umat kecuali cahaya unggun api. Lilin paskah dinyalakan setelah paderi memberkati api dan juga lilin paskah tersebut. Kemudian Lilin Paskah tersebut diarak masuk ke dalam bangunan Gereja yang membawa maksud Cahaya Kristus lalu disusuli dengan semua umat. 

Madah pujian paskah dinyanyikan buat kali pertama di Gereja St. Mark oleh Rev. Fr Erik Jerome.

Pewartaan dari Kitab Perjanjian Lama
Pewartaan INJIL
Selepas tiga perwartaan dari Kitab Perjanjian Lama dan dua daripada Kitab Perjanjian Baru termasuklah Pewartaan Injil, Rev. Fr. Erik Jerome menyampaikan homilinya dengan jelas dan mudah difahami oleh umat. 


Dalam homili tersebut, paderi mengaitkan pewartaan dengan realiti kehidupan Kristian Katolik masa kini.  Paderi juga mempromosikan panggilan kepaderian dan religius. 


Katanya, "Ibubapa harus berdoa untuk menyokong dan menggalakkan anak-anak mereka sendiri serta semua belia untuk mengikuti seminar panggilan agar suatu hari nanti ramai yang menyahut panggilan menjadi paderi dan dapat menampung keperluan umat,  terutama sekali di Diosis Sandakan ini."


Kelihatan Fr Erik sedang menyampaikan homili,
pembaharuan janji baptis dan pembaptisan
Misa Malam Paskah di Gereja St. Mark dimeriahkan lagi dengan pembaptisan para katekumen seramai 49 orang yang kebanyakkannya dari KBKI yang dipimpin oleh  Saudara Petrus Bean dan pengurusan katekumen oleh Sdri Margaretha Fransiska Barek. 


Paderi dalam homilinya menasihatkan para baptisan baru agar terus menghidupi Krisma melalui semangat pelayanan kekeluargaan, kegerejaan dan kemasyarakatan.  Seterusnya paderi menekankan tanggungjawab setiap penanggung agar memainkan peranan  membimbing baptisan baru ini di dalam kehidupan berdoa. 
Persembahan yang dibawa oleh para katekumen
Semasa komuni
Misa Kudus Malam Paskah di Gereja St Mark ini adalah merupakan pengalaman kali pertama para ahli Komiti Pastoral. "Kita telah mempelajari perkara yang baru walaupun kita di dalam serba kekurangan" kata Sdra George Majawat selaku ahli Komiti Pastoral St. Mark.
Koir dari gabungan kumpulan belia Mark-Peter
Para belia St. Mark (juga dikenali sebagai belia Mark-Peter) bersyukur kerana diberi peluang melayani dalam gabungan koir buat pertama kali di Gereja St. Mark oleh pihak pengurusan Liturgi Gereja St. Mark.
Pihak Komiti Pastoral menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Fr. Erik dan seterusnya Jamuan Makan Malam Hari Raya Paskah bersama baptisan baru.
Selepas Perayaan Ekaristi selesai pada pukul 9:30 malam, Paderi dan semua umat serta para baptisan baru mengadakan makan malam bersama. Program  berakhir pada jam 10:30 malam.

Disediakan oleh: Roland Henry
Jurugambar: Zeenlee Edesius

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent