Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 17, 2009

Respon Kepada Tahun Para Paderi

Telupid : Paroki Santo Martinus, Telupid yang terletak hampir 130 kilometer dari bandar Sandakan merupakan salah sebuah paroki di Keuskupan Sandakan dengan lebih kurang 6,000 orang umat yang majoritinya terdiri dari sukukaum Kadazandusun. Ia terbahagi kepada 5 zon dengan jumlah 19 buah chapel di stasiluar.




(Dari kiri barisan hadapan) Raymond Wong, Francis Tan, Fr Marcellinus Pongking, Fr Thomas Makajil, Bishop Julius Dusin Gitom, Fr Bruno Yasun dan Albert Matusin.

Pada Ahad, 12hb Julai 2009 sesuai dan sebagai tanda respon kepada Tahun Para Paderi, lebih dari 300 orang umat beriman telah berkumpul di Dewan Paroki Santo Martinus untuk merayakan hari Ulangtahun ke 50 Rev Fr Marcellinus Pongking, Rektor Paroki Santo Martinus. Turut hadir bersama ialah Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Rev Fr Thomas Makajil, Rektor Katedral St Mary, Sandakan dan Rev Fr Bruno Yasun, Rector Gereja St. Peter Claver, Ranau. Turut diraikan bersama dalam majlis tersebut ialah Puan Techla Gustin seorang umat yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan material bagi kemajuan Gereja Santo Martinus. Sambutan ulangtahun bersama ternyata bertambah seri dan meriah.



Saudara Albert Matusin ketika berucap.

Albert Matusin, selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki dalam ucapannya menyeru para umat sentiasa berdoa agar Fr Marcellinus, pemimpin dan gembala umat Paroki Santo Martinus dilindungi serta diberkati Kristus selalu dalam keadaan sihat walafiat untuk meneruskan misinya menyebarluas khabar gembira. Acara perayaan ini juga merupakan satu penghargaan kepada paderi yang sememangnya telah banyak mengorbankan diri untuk terus dengan misi penginjilan.



Fr Marcellinus bersyukur dan berterima kasih atas usaha AJK Penganjur bagi menjayakan sambutan Hari lahirnya yang ke 50 tahun.


Hari Lahir Puan Techla disambut bersama sebagai tanda menghargai segala sumbangan yang telah diberi kepada Gereja Santo Martinus.


Fr Marcellinus merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada AJK penganjur yang telah sudi dan berusaha merancang acara ulangtahunnya bersama Puan Techla. Kehadiran dan penglibatan umat memberi dorongan kepadanya untuk terus melaksanakan misi yang diamanahkannya. Menurut Fr Marcellinus, Paroki Santo Martinus kini giat dalam pembentukan KKD di semua zon selaras dengan visi Keuskupan Sandakan. Juga dalam rancangan tahun ini ialah pembinaan sebuah asrama dalam kawasan Gereja Santo Martinus dan sebuah gereja di Pekan Tongod yang terletak 52 Kilometer dari Pekan Telupid.




Meninjau tapak pembinaan asrama baru.

Bapa Uskup Julius dalam pembukaan ucapannya mengalu-alukan keahlian Fr Marcellinus dan Puan Techla ke Kelab Umat Umur 50 (KU50). Menurutnya, kemeriahan acara yang disusun rapi sememangnya mencerminkan kesatuan di kalangan umat dengan meletakkan Kristus sebagai paksi segalanya. Beliau menambah bahawa misi gereja bukan sekadar terletak di atas bahu paderi sahaja tetapi perlu sokongan semua umat. Perkara tersebut diharap bukan sekadar menjadi bualan mulut tetapi hendaklah dipraktikkan bersama dengan sungguh-sungguh.




Bapa Uskup Julius Dusin Gitom - "Kemajuan Gereja terletak pada tangan Paderi bersama umatnya dengan meletakkan Kristus sebagai paksi kepada segala usaha."


Selepas itu, majlis diteruskan dengan acara pemotongan kek oleh Fr Marcellinus dan Puan Techla dan diserikan dengan persembahan nyanyian yang diiringi kumpulan muzik belia Santo Martinus. Para hadirin kemudian dihidangkan dengan masakan tradisi yang disediakan oleh para ibu dari KKD pekan Telupid dan Kerasulan Wanita Katolik.





(Fr Marcellinus disuapi kek hari lahir sebagai tanda kasih dari ibu yang melahirkannya.)


Hari Lahir ialah satu sambutan penting bagi setiap insan yang lahir ke dunia. Kita telah diutus oleh Bapa di Syurga sebelum terbentukpun di rahim ibu kita.


Pada keesokan harinya, Bapa Uskup Julius, Fr Marcellinus dan rombongan dari Keuskupan Sandakan telah melawat ke tapak pembinaan gereja baru di Pekan Tongod.



Pekan Tongod



Pandangan kawasan tapak dari arah jalan raya.



Rombongan melawat ke tapak bagi gereja baru.

(Fr Marcellinus menunjukkan kedudukan tapak tersebut sambil Bapa Uskup Julius, saudara Raymond Wong dan Francis Tan meneliti kedudukan tempat pada peta.)



Oleh DS


No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent